Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Hakim-hakim 21 >> 

Bani Benyamin dapat terus hidup

1Maka seluruh orang Israel bersumpah di Mizpa, demikian, “Tiada seorang pun daripada kita yang akan memberikan anak perempuannya untuk menjadi isteri kepada warga bani Benyamin.”

2Datanglah umat Israel ke Betel lalu duduk di hadapan Allah sampai petang, lalu mereka menyaringkan suara dan menangis dengan sepenuh perasaan mereka.

3Mereka berkata, “Mengapa, ya TUHAN, Allah Israel, terjadi hal yang begini di antara orang Israel, yakni bahawa hari ini hilang satu suku daripada orang Israel?”

4Keesokan harinya bangunlah seluruh umat pagi-pagi lagi lalu mendirikan mazbah di situ dan seterusnya mempersembahkan korban bakaran dan korban kedamaian.

5Pada waktu itu berkatalah warga orang Israel, “Siapakah daripada seluruh suku Israel yang tidak ikut datang dengan jemaah ini untuk menghadap TUHAN?” Sebabnya mereka telah bersumpah dengan sungguh-sungguh mengenai orang yang tidak datang menghadap TUHAN di Mizpa, demikian, “Pastilah dia dihukum mati.”

6Maka orang Israel berasa belas kasihan terhadap suku Benyamin, saudara mereka itu, maka kata mereka, “Hari ini satu suku terputus daripada orang Israel.

7Apakah yang dapat kita lakukan kepada kalangan yang tertinggal itu dalam hal mencari isteri kerana kita bersumpah demi TUHAN bahawa kita tidak akan memberikan seorang pun anak perempuan kita kepada mereka untuk dijadikan isteri mereka?”

8Lalu bertanyalah mereka, “Dari seluruh suku Israel adakah satu suku yang tidak datang menghadap TUHAN di Mizpa?” Lalu disahkanlah bahawa tiada seorang pun yang datang dari Yabesh-Gilead ke perkhemahan jemaah itu.

9Lalu setelah dihitung memang sah bahawa tiada seorang pun daripada penduduk Yabesh-Gilead yang hadir.

10Maka perkumpulan itu mengerah dua belas ribu perwira yang gagah perkasa untuk pergi ke situ lalu kepada mereka dikeluarkan perintah, “Pergilah, pukullah penduduk Yabesh-Gilead, termasuk kaum wanita dan anak-anak, dengan mata pedang.

11Dan lakukanlah begini: kamu tumpaskan semua lelaki sahaja dan semua perempuan yang pernah tidur dengan lelaki.”

12Mereka menemukan empat ratus orang anak gadis, perawan yang belum pernah tidur dengan orang lelaki antara penduduk Yabesh-Gilead, lalu kesemua gadis itu dibawa mereka ke perkhemahan di Silo, di Tanah Kanaan.

13Sesudah itu seluruh umat itu mengirim utusan untuk berbicara dengan bani Benyamin yang berada di bukit batu Rimon dan memaklumkan kedamaian kepada mereka.

14Pada waktu itu kembalilah suku Benyamin, dan kepada mereka diberikan perempuan-perempuan Yabesh-Gilead yang telah dibiarkan hidup. Akan tetapi, jumlah perempuan itu belum cukup bagi mereka.

15Bangsa itu berasa kasihan kepada suku Benyamin, kerana TUHAN membuat keretakan antara suku Israel.

16Kemudian berkatalah umat tua-tua mereka, “Apakah yang dapat kita lakukan kepada yang tinggal ini dalam hal mencari isteri untuk mereka? Sebabnya kaum perempuan telah punah daripada kalangan suku Benyamin.”

17Kata mereka lagi, “Harta pusaka semua orang yang terkorban itu patut tetap bersama-sama suku Benyamin, supaya jangan ada suku yang terhapus daripada orang Israel.

18Tetapi kita ini tidak dapat memberikan isteri kepada mereka daripada kalangan anak perempuan kita.” Sebabnya orang Israel telah bersumpah, demikian, “Terkutuklah orang yang memberikan isteri kepada suku Benyamin!”

19Kemudian mereka berkata, “Setiap tahun ada perayaan bagi TUHAN di Silo yang terletak di sebelah utara Betel, di sebelah timur jalan raya yang menuju dari Betel ke Sikhem dan di sebelah selatan Lebona.”

20Maka mereka berpesan kepada bani Benyamin, demikian, “Pergilah untuk menyerang hendap di kebun-kebun anggur.

21Perhatikanlah baik-baik; jika anak-anak perempuan Silo muncul untuk menari, keluarlah kamu dari kebun-kebun anggur itu, dan hendaklah masing-masing menangkap seorang daripada anak-anak perempuan Silo itu untuk dijadikan isteri dan pergi ke Tanah Benyamin.

22Apabila ayah atau saudara lelaki mereka datang untuk menuntut mereka daripada kami, kami akan berkata kepada mereka: Kasihanilah mereka demi kami, kerana kita tidak menawan isteri-isteri bagi mereka dalam peperangan. Namun, kamu tidak bersalah kerana kamu tidak memberikan anak-anak perempuan itu kepada mereka.”

23Oleh itu, bani Benyamin berbuat demikian. Gadis-gadis yang menari itu dirampas mereka untuk dijadikan isteri. Jumlahnya sama dengan jumlah mereka. Kemudian mereka pulang ke harta pusaka mereka lalu membina kota-kota mereka kembali dan mendiami kota-kota itu.

24Pada waktu itu pulanglah orang Israel dari sana kepada suku dan kaum mereka, ke harta pusaka masing-masing.

25Pada zaman itu tiada raja yang memerintah orang Israel. Setiap orang melakukan apa yang dianggap benar menurut pandangan sendiri.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Hakim-hakim 21 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel