Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Hakim-hakim 6 >> 

Bani Midian menganiaya Israel

1Akan tetapi, orang Israel berbuat jahat lagi di mata TUHAN lalu TUHAN menyerahkan mereka ke dalam tangan bani Midian selama tujuh tahun.

2Kuasa penaklukan warga Midian terhadap orang Israel memaksa orang Israel membuat tempat-tempat perlindungan dan berkubu di kawasan pergunungan serta gua-gua.

3Setiap kali orang Israel selesai menyemai benih tanaman, orang Midian, orang Amalek dan orang dari sebelah timur akan tiba menggempur mereka.

4Bani penentang berkhemah setentang dengan orang Israel lalu memusnahkan hasil tanaman secara meluas sampai Gaza, maka di Israel tiada bahan makanan, domba, lembu ataupun keldai.

5Sebabnya para penentang mara bersama-sama ternakan dan khemah mereka, dan teramat ramai yang menyerbu seperti belalang. Tidak terkira jumlah orang dan unta mereka yang mendatangi dan memusnahkan bumi Israel.

6Amat melarat sekali orang Israel akibat perbuatan warga Midian itu lalu berserulah orang Israel kepada TUHAN.

7Ketika orang Israel berseru kepada TUHAN lantaran petaka daripada warga Midian itu,

8TUHAN mengutus seorang nabi kepada orang Israel yang berkata kepada mereka, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Akulah yang membawa kamu keluar dari Mesir dan yang membawa kamu keluar daripada kancah perhambaan.

9Aku melepaskan kamu daripada cengkaman orang Mesir dan daripada tangan semua orang yang menindas kamu, bahkan Aku mengusir mereka dari depanmu dan negeri mereka Kuberikan kepadamu.

10Dan Aku berfirman kepadamu, bahawa Akulah TUHAN, Allahmu, maka janganlah kamu menyembah tuhan orang Amori, yang negeri mereka kamu diami ini. Tetapi kamu tidak mentaati firman-Ku itu.’ ”

Gideon diangkat menjadi hakim

11Kemudian datanglah Malaikat TUHAN dan duduk di bawah pokok oak di Ofra, kepunyaan Yoas, orang Abiezer itu, sedang Gideon, anaknya, mengirik gandum di tempat pemerasan anggur agar terselamat hasilnya daripada orang Midian.

12Malaikat TUHAN menjelma di hadapannya lalu berkata kepadanya, “TUHAN menyertai engkau, wahai pahlawan yang gagah berani.”

13Gideon pun menjawab, “Ya, Tuan, jika TUHAN menyertai kami, mengapakah kesemua petaka ini menimpa kami? Di manakah segala mukjizat-Nya yang diceritakan nenek moyang kami kepada kami, ketika mereka berkata, ‘Bukankah TUHAN telah membawa kita keluar dari Mesir?’ Tetapi sekarang TUHAN meninggalkan kami dan menyerahkan kami ke dalam cengkaman orang Midian.”

14TUHAN berpaling kepadanya dan berfirman, “Pergilah dengan kekuatanmu ini dan selamatkanlah orang Israel daripada cengkaman orang Midian. Bukankah Aku mengutus engkau?”

15Namun begitu, Gideon menjawab-Nya, “Ya Tuhan, bagaimanakah dapat aku selamatkan orang Israel? Lihatlah, kaumku yang terkecil antara semua suku Manasye, malah aku pula yang paling muda antara kaum keluargaku.”

16Berfirmanlah TUHAN kepadanya, “Pasti Aku akan menyertai engkau dan engkau akan menumpaskan kaum Midian itu.”

17Maka Gideon berkata lagi kepada-Nya, “Sekiranya aku mendapat kasih kurnia di mata-Mu, berikanlah tanda kepadaku, bahawa Engkau sendiri yang berfirman kepadaku.

18Janganlah beredar dari sini, sampai aku datang kepada-Mu membawa persembahanku dan meletakkannya di hadapan-Mu.” Lalu Dia berfirman, “Aku akan menanti sampai engkau kembali.”

19Gideon masuk ke dalam dan menyediakan seekor anak kambing dan roti yang tidak beragi daripada satu efa tepung. Daging diletaknya di dalam bakul dan kuahnya di dalam periuk lalu disembahkan kepada-Nya di bawah pokok oak itu.

20Berfirmanlah Malaikat Allah kepadanya, “Ambil dan letakkan daging serta roti yang tidak beragi itu di atas batu ini, dan curahkan kuahnya.” Maka diperbuatnya demikian.

21Maka Malaikat TUHAN menyentuh hujung tongkat yang ada di tangan-Nya pada daging dan roti tanpa ragi itu; lalu keluar api daripada batu itu dan menghanguskan kesemua daging serta roti itu. Kemudian hilanglah Malaikat TUHAN daripada pandangannya.

22Tahulah Gideon bahawa itulah Malaikat TUHAN, lalu katanya, “Aduhai ya Tuhan ALLAH! Aku baru sahaja bersemuka dengan Malaikat TUHAN.”

23Namun demikian, TUHAN berfirman kepadanya, “Salam sejahtera kepada engkau! Jangan takut, engkau tidak akan mati.”

24Lalu Gideon membina mazbah untuk TUHAN di situ dan menamainya, TUHAN itu Kesejahteraan. Mazbah itu masih ada sampai sekarang di Ofra, kota bani Abiezer.

25Pada malam itu juga TUHAN berfirman kepadanya, “Ambillah seekor lembu jantan kepunyaan ayahmu, yakni lembu jantan kedua yang berumur tujuh tahun, dan robohkan mazbah Baal kepunyaan ayahmu dan tebanglah tiang berhala Asyera di sisinya.

26Kemudian dirikanlah mazbah bagi TUHAN, Allahmu di atas kubu pertahanan ini secara teratur, dan seterusnya, ambillah lembu jantan yang kedua dan persembahkanlah korban bakaran dengan kayu tiang berhala Asyera yang telah kautebang itu.”

27Gideon membawa sepuluh orang hamba lelakinya dan melakukan seperti yang TUHAN firmankan kepadanya. Tetapi kerana takut kepada kaum keluarganya dan kepada orang kota itu, kerja itu dilakukannya pada malam hari.

Gideon memusnahkan mazbah Baal

28Kelihatan pada para warga kota yang bangun pada awal pagi betapa mazbah Baal itu telah dirobohkan dan tiang berhala Asyera di sisinya ditebang dan lembu jantan yang kedua dikorbankan di atas mazbah yang didirikan itu.

29Mereka tertanya-tanya antara satu sama lain, “Siapakah yang melakukan hal ini?” Setelah diselidiki dan ditanya-tanya, maka kata mereka, “Gideon anak Yoas, dialah yang melakukan perkara ini.”

30Maka berkatalah para warga kota kepada Yoas, “Bawa anakmu keluar ke mari; dia harus mati kerana merobohkan mazbah Baal dan menebang tiang berhala Asyera di sisinya.”

31Tetapi Yoas menjawab kepada semua orang yang mengerumuninya itu, “Kamu mahu membela Baal itu atau kamu mahu menyelamatkan dia? Sesiapa yang berjuang membela Baal akan dihukum mati sebelum pagi. Jika Baal itu tuhan, dia mampu membela dirinya sendiri, setelah orang merobohkan mazbahnya.”

32Dan pada hari itu Gideon diberikan nama Yerubaal, yang bererti, “Biarlah Baal berjuang dengan dia, setelah mazbah dirobohkannya.”

33Maka berhimpunlah kesemua orang Midian dan orang Amalek serta puak-puak dari sebelah timur; lalu mereka menyeberang dan berkhemah di Lembah Yizreel.

34Pada waktu itu Roh TUHAN menguasai Gideon lalu dia meniup sangkakala dan menyeru supaya bani Abiezer mengikutinya.

35Dia menghantar utusan kepada bani Manasye dan mengerahkan mereka juga untuk mengikutinya. Utusan juga dihantar kepada bani Asyer, bani Zebulon dan bani Naftali, dan ketiga-tiganya datang untuk bergabung dengan bani Abiezer.

Alamat pada bulu domba

36Kemudian Gideon berkata kepada Allah, “Jika Engkau mahu menyelamatkan orang Israel dengan perantaraanku, seperti yang Kaufirmankan itu,

37aku akan membentangkan bulu domba di tempat pembantingan; apabila embun hanya ada di atas bulu domba itu walhal seluruh tanah di situ kekal kering, tahulah aku bahawa Engkau mahu menyelamatkan orang Israel dengan perantaraanku, seperti yang Kaufirmankan.”

38Dan demikianlah terjadi. Keesokan harinya pagi-pagi dia bangun dan memerah bulu domba dan semangkuk penuh air embun dapat diperahnya daripada bulu domba itu.

39Gideon pun berkata kepada Allah, “Semoga tidak berbangkit kemurkaan-Mu terhadap aku apabila aku berkata sekali lagi sahaja; biarkanlah aku sekali lagi sahaja menguji bulu domba ini, kali ini semoga kekeringan hanya pada bulu domba ini sedangkan ada embun di atas seluruh tanah itu.”

40Demikianlah Allah lakukan pada malam itu tatkala hanya bulu domba itu yang kering walhal embun berada di atas seluruh tanah itu.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Hakim-hakim 6 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel