Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Hakim-hakim 7 >> 

Tiga ratus wira Gideon

1Maka Yerubaal, iaitu Gideon dan kesemua orang yang menyertainya bangun pagi-pagi lalu mereka berkhemah di sisi mata air Harod manakala orang Midian berkhemah di lembah dekat bukit More, di utara tempat itu.

2Berfirmanlah TUHAN kepada Gideon, “Terlalu ramai warga bersama-samamu daripada jumlah yang Aku kehendaki untuk menyerahkan orang Midian ke dalam tangan mereka, kelak orang Israel bukan memuliakan Aku tetapi memegah-megahkan diri mereka dan berkata, ‘Tanganku sendirilah yang menyelamatkan aku.’

3Maka sekarang, serukanlah begini kepada semua warga itu, ‘Siapakah yang takut dan gentar, biarlah dia pulang dan tinggalkan pergunungan Gilead.’ ” Lalu pulanglah dua puluh dua ribu orang dan tinggallah sepuluh ribu orang.

4TUHAN berfirman lagi kepada Gideon, “Masih terlalu ramai orang; suruhlah mereka turun ke air, dan Aku akan menguji mereka untukmu di sana. Jika Aku berfirman kepadamu, ‘Orang ini akan pergi bersama-samamu,’ maka dialah yang akan pergi bersama-samamu. Tetapi jika Aku berfirman kepadamu, ‘Orang ini tidak akan pergi bersama-samamu,’ maka dia tidak akan pergi.”

5Gideon pun menyuruh kesemua warga itu turun ke air, dan berfirmanlah TUHAN kepadanya, “Kumpulkan sesiapa yang menghirup air dengan menjilatnya seperti anjing, dan juga kumpulkan semua orang yang berlutut untuk minum.”

6Jumlah orang yang menghirup air yang disauk dengan tangan dan dibawa ke mulut mereka ialah tiga ratus orang manakala kesemua yang lain berlutut untuk minum air.

7Lalu berfirmanlah TUHAN kepada Gideon, “Akan Aku selamatkan kamu dengan tiga ratus orang yang menghirup itu dan ke dalam tangan kamu akan Aku serahkan orang Midian itu; jadi biarkanlah kesemua warga yang lain itu pulang ke kediaman masing-masing.”

8Warga tiga ratus orang itu mengambil bekal dan sangkakala dan Gideon menyuruh kesemua orang Israel selebihnya untuk pulang ke khemah masing-masing, tetapi warga tiga ratus orang itu dikekalkan bersama-samanya. Adapun perkhemahan orang Midian terletak di lembah di bawah tempat dia berada.

9Pada malam itu berfirmanlah TUHAN kepadanya, “Bangunlah, turunlah menyerbu perkhemahan mereka yang telah Aku serahkan ke dalam tanganmu.

10Tetapi jika engkau takut untuk turun menyerbu, turunlah bersama-sama hambamu, Pura, ke perkhemahan mereka.

11Dengarlah engkau apa yang dikatakan mereka; kemudian engkau akan mendapat keberanian untuk turun menyerbu perkhemahan itu.” Lalu turunlah dia bersama-sama Pura, hambanya, ke kota kara perkhemahan itu.

12Orang Midian dan orang Amalek dan semua orang dari sebelah timur itu bergelimpangan di lembah itu, seperti belalang yang berkerumun dan unta mereka tidak terhitung seperti pasir di tepi laut.

13Ketika Gideon sampai di situ, kebetulan seseorang sedang menceritakan mimpinya kepada temannya. Katanya, “Aku bermimpi, bahawa ada sekeping roti barli menggolek masuk ke perkhemahan orang Midian lalu melanggar, menterbalikkan dan meranapkan khemah itu.”

14Temannya menjawab, “Itu tidak lain daripada pedang Gideon anak Yoas, orang Israel itu; Allah telah menyerahkan orang Midian dan seluruh perkhemahan ini ke dalam tangannya.”

15Segera sesudah Gideon mendengar mimpi itu diceritakan dengan maknanya, sujudlah dia menyembah Allah. Kemudian dia kembali ke perkhemahan orang Israel, lalu berkata, “Bangunlah, kerana TUHAN telah menyerahkan perkhemahan orang Midian ke dalam tanganmu.”

16Maka dia membahagikan tiga ratus orang itu kepada tiga pasukan dan kepada tangan mereka semua diberikannya sangkakala dan buyung kosong dengan jamung di dalamnya.

17Dia berkata kepada mereka, “Perhatikanlah aku dan ikut seperti yang aku lakukan. Apabila aku tiba di hujung perkhemahan itu, kamu mesti melakukan seperti yang aku lakukan.

18Apabila aku dan semua anggota pasukanku meniup sangkakala, kamu juga mesti meniup sangkakala di sekeliling perkhemahan itu, dan berseru, ‘Demi TUHAN dan demi Gideon!’ ”

Gideon menumpaskan bani Midian

19Lalu Gideon dan pasukan seratus orangnya tiba di hujung perkhemahan itu pada permulaan giliran kawalan tengah malam, ketika para pengawal baru sahaja ditempatkan. Lalu mereka meniup sangkakala sambil memecahkan buyung di tangan mereka.

20Ketiga-tiga pasukan itu pun meniup sangkakala, dan memecahkan buyung. Mereka memegang obor di tangan kiri dan sangkakala di tangan kanan untuk ditiup lalu berseru, “Pedang demi TUHAN dan demi Gideon!”

21Setiap warga berdiri di tempat masing-masing di sekeliling perkhemahan itu. Kacau-bilaulah seluruh tentera musuh yang berteriak-teriak dan bertempiaran melarikan diri.

22Apabila kesemua tiga ratus orang itu meniup sangkakala di perkhemahan itu, TUHAN membuat tentera musuh berlawan sesama sendiri lantas larilah tentera musuh sampai Bet-Sita ke arah Zerera hingga pinggir Abel-Mehola dekat Tabat.

23Kemudian dikerahkanlah orang Israel daripada suku Naftali dan suku Asyer serta seluruh suku Manasye untuk mengejar orang Midian itu.

24Gideon turut mengutus orang ke seluruh pergunungan Efraim dengan pesanan, “Turunlah menentang orang Midian, dan kuasailah semua batang air sampai Bet-Bara, dan Sungai Yordan.” Dengan itu, semua orang Efraim dikerahkan lalu mereka menguasai semua batang air sampai ke Bet-Bara dan juga Sungai Yordan.

25Mereka juga berjaya menawan dua orang raja Midian, iaitu Oreb dan Zeeb. Oreb dibunuh di batuan Oreb dan Zeeb dibunuh di tempat pemerah anggur Zeeb. Mereka mengejar orang Midian dan membawa kepala Oreb dan kepala Zeeb kepada Gideon di seberang Sungai Yordan.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Hakim-hakim 7 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel