Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Hosea 8 >> 

Keruntuhan orang Israel akibat kederhakaan

1“Bersiaplah untuk meniup sangkakala! Ada serangan seperti rajawali atas Bait TUHAN, kerana bangsa itu telah melanggar perjanjian-Ku dan menderhaka terhadap hukum-Ku.

2Mereka akan berseru kepada-Ku, ‘Ya Allahku, kami orang Israel mengenal Engkau.’

3Israel telah menolak dengan angkuh hal-hal yang baik. Musuh akan mengejar dia.

4Mereka mengangkat raja-raja, tetapi tanpa restu-Ku. Mereka mengangkat para pembesar, tetapi tanpa persetujuan-Ku. Daripada emas dan perak mereka membuat berhala-berhala untuk diri mereka, sehingga mereka dilenyapkan.

5Patung anak lembumu telah dibuang, wahai Samaria. Murka-Ku menyala-nyala terhadap mereka itu. Sampai bilakah mereka tidak dapat disucikan?

6Patung itu berasal dari Israel. Itu dibuat oleh tukang, bukan oleh Allah! Patung anak lembu Samaria itu akan menjadi sekadar kepingan serpihan.

7Kerana angin yang disemai mereka, maka puting beliung kelak dituai. Tiada batang gandum yang menerbitkan bulir, maka tiada tunas yang menghasilkan tepung. Kalaupun ada penghasilan, ia akan ditelan orang asing.

8Israel ditelan. Sekarang mereka berada di antara bangsa, seperti wadah yang tidak diingini orang.

9Mereka telah pergi ke Asyur seperti keldai liar mengembara sendirian; Efraim mengupah pelacur untuk menjadi kekasih.

10Sekalipun mereka mengupah sekutu daripada kalangan bangsa, sekarang Aku akan mengumpulkan mereka. Mereka akan semakin susut di bawah tekanan raja serta para pembesar itu.

11Lantaran Efraim terus memperbanyak bilangan mazbah berhala sehingga berdosa; mazbah-mazbah itu telah menjadikan mereka berdosa.

12Biarpun Aku menuliskan baginya banyak pengajaran hukum-Ku, tetapi semua itu dianggap hal yang aneh.

13Mengenai korban sembelihan yang dibawa mereka kepada-Ku: mereka mempersembahkan daging dan memakannya, tetapi TUHAN tidak berkenan kepada mereka. Sekarang Dia akan mengingat kesalahan mereka dan membalas dosa mereka; mereka akan kembali ke Mesir.

14Israel telah melupakan Penciptanya dan membangunkan istana-istana. Yehuda memperbanyak kota berkubu, tetapi Aku akan menujukan api ke kota-kotanya yang akan memakan hangus puri-purinya.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Hosea 8 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel