Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 31 >> 

Yakub lari meninggalkan Laban

1Yakub terdengar anak-anak Laban merungut, “Yakub telah mengambil segala sesuatu yang dimiliki ayah kita, dan dia menjadi kaya raya hasil daripada harta milik ayah kita.”

2Dan Yakub nampak wajah Laban terhadapnya tidak kelihatan seramah dahulu.

3TUHAN berfirman kepada Yakub, “Pulanglah ke negeri nenek moyangmu, kepada sanak saudaramu. Aku akan menyertaimu.”

4Lalu Yakub menyuruh orang memanggil Rahel dan Lea ke padang, ke tempat kawanan ternakan dombanya.

5Katanya kepada mereka, “Aku lihat wajah ayahmu tidak seramah dahulu lagi terhadapku. Namun demikian, Allah ayahku menyertaiku.”

6Kamu pun tahu bahawa aku telah mengabdi pada ayahmu dengan sekuat tenaga.

7Meskipun begitu, ayahmu telah menipu aku. Dia mengubah upahku sampai sepuluh kali. Akan tetapi, Allah tidak mengizinkannya berbuat jahat terhadap aku.

8Jika dia berkata, ‘Haiwan yang berbintik-bintik akan menjadi upahmu,’ maka seluruh kawanan domba itu melahirkan anak yang berbintik-bintik. Jika dia berkata, ‘Haiwan yang bercelorong-celoreng akan menjadi upahmu,’ maka seluruh kawanan domba itu melahirkan anak yang bercelorong-celoreng.

9Demikianlah Allah mengambil ternak ayahmu dan memberikannya kepadaku.

10Pernah pada musim persenyawaan segala ternakan itu, aku bermimpi. Dalam mimpi itu kulihat kambing jantan yang sedang bersenyawa itu bercelorong-celoreng dan berbintik-bintik dan berbelang-belang.

11Kemudian dalam mimpi itu malaikat Allah bersabda kepadaku, ‘Yakub!’ Jawabku, ‘Ya, aku ada di sini.’

12Sabda-Nya, ‘Angkatlah wajahmu dan lihatlah, semua kambing jantan yang sedang bersenyawa itu bercelorong-celoreng, berbintik-bintik dan berbelang-belang, kerana telah Kulihat semua yang dilakukan Laban terhadap kamu.

13Akulah Allah yang menunjukkan diri di Betel. Di tempat itu kamu mencurahkan minyak pada sebuah tugu batu, dan kamu bernazar kepada-Ku. Sekarang, bersiaplah, keluarlah dari negeri ini dan pulanglah ke tanah kelahiranmu.’ ”

14Lalu jawab Rahel dan Lea kepadanya, “Masih adakah bahagian atau harta pusaka milik kami dalam rumah ayah kami?

15Bukankah kami ini dianggapnya orang asing? Dia telah menjual kami, bahkan bahagian milik kami pun telah dihabiskannya.

16Sesungguhnya, segala kekayaan yang diambil Allah daripada ayah kami ialah milik kami dan anak-anak kami. Sekarang, lakukanlah semua yang difirmankan Allah kepadamu.”

17Maka Yakub terus menaikkan para isteri serta anak-anaknya ke atas unta.

18Dibawanyalah semua ternaknya dan segala harta benda yang diperolehnya, iaitu ternak miliknya yang diperolehnya di Padan-Aram, untuk pergi kepada Ishak, ayahnya, di Tanah Kanaan.

19Dan ketika Laban pergi menggunting bulu domba-dombanya, Rahel sempat mencuri terafim milik ayahnya itu.

20Yakub mengakali Laban, orang Aram itu, dengan tidak memberitahu kepadanya bahawa dia berhasrat untuk lari.

21Maka larilah Yakub dengan segala sesuatu yang dimilikinya. Dia menyeberangi Sungai Efrat, lalu berjalan ke arah Pergunungan Gilead.

22Pada hari ketiga Laban diberitahu bahawa Yakub telah lari.

23Lalu Laban mengajak sanak saudaranya dan mengejar Yakub sejauh tujuh hari perjalanan sehingga dia berjaya memintasnya di Pergunungan Gilead.

24Namun demikian, pada malam harinya Allah datang dalam suatu mimpi kepada Laban, orang Aram itu, serta berfirman kepadanya, “Awas, jangan katakan apa-apa pun, sama ada yang baik atau yang buruk kepada Yakub!”

25Maka sampailah Laban di tempat Yakub. Apabila Yakub mendirikan khemahnya di Pergunungan Gilead, Laban dan saudara-saudaranya juga mendirikan khemah mereka di pergunungan itu.

26Kata Laban kepada Yakub, “Apakah yang kamu lakukan ini? Kamu mengakaliku dan membawa lari anak-anak perempuanku seolah-olah mereka tawanan.

27Mengapakah kamu lari secara senyap-senyap dan mengakaliku? Mengapakah kamu tidak memberitahu aku agar dapat aku menghantar kamu dengan senang hati diiringi nyanyian, rebana, dan kecapi?

28Kamu pun tidak memberiku kesempatan mencium cucu-cucuku serta anak-anakku. Kali ini perbuatanmu amat bodoh sekali!

29Aku berkuasa untuk menyakitimu, tetapi semalam Allah ayahmu berfirman kepadaku, ‘Awas, jangan katakan apa-apa pun sama ada yang baik atau yang buruk kepada Yakub!’

30Sekarang, kalau memang kamu harus pergi kerana sudah begitu merindukan rumah ayahmu, mengapakah kamu mencuri tuhan-tuhanku?”

31Jawab Yakub kepada Laban, “Sebab aku takut sekiranya pak cik akan merebut anak-anak pak cik daripadaku.

32Namun demikian, sesiapa pun yang pak cik dapati membawa tuhan-tuhan pak cik itu, dia tidak akan dibiarkan hidup. Jadi, periksalah di hadapan saudara-saudara kita apakah ada barang-barang pak cik padaku, dan ambillah.” Yakub tidak tahu bahawa memang Rahel yang mencuri barang-barang itu.

33Maka masuklah Laban ke dalam khemah Yakub, khemah Lea, dan khemah kedua-dua hamba perempuan anak-anaknya, tetapi tidak ditemukannya. Setelah keluar dari khemah Lea, dia masuk pula ke dalam khemah Rahel.

34Tetapi Rahel sudah lebih dahulu mengambil terafim itu dan memasukkannya ke dalam pelana unta lalu duduk di atasnya. Laban menggeledah seluruh khemah itu tetapi tidak juga menemukan barang berkenaan.

35Kata Rahel kepada ayahnya, “Janganlah ayah marah kerana aku tidak dapat berdiri di hadapan ayah. Aku sedang haid.” Laban memeriksa lagi, tetapi dia tidak menemui terafim itu.

36Yakub menjadi marah lalu berbantah-bantahan dengan Laban. Katanya kepada Laban, “Apakah salahku dan apa dosaku hingga pak cik mengejar aku segigih ini?

37Setelah pak cik menggeledah semua barangku, apakah pak cik menjumpai barang-barang rumah pak cik? Letakkanlah di sini, di hadapan saudara-saudaraku dan saudara-saudara pak cik. Biarlah mereka memutuskan perkara antara kita berdua.

38Dua puluh tahun lamanya aku bersama pak cik. Domba dan kambing betina pak cik tidak pernah keguguran, kambing jantan pak cik tidak pernah kumakan.

39Tidak pernah kubawa kepada pak cik ternakan yang telah dikoyak-koyakkan oleh binatang buas. Aku sendirilah yang menggantinya. Ternakan yang dicuri pada siang atau malam hari pun pak cik tuntut daripadaku.

40Siang hari aku dilayur oleh teriknya panas matahari, dan malam hari disiat-siat oleh udara dingin. Mataku sering tidak terpejam.

41Dua puluh tahun lamanya aku di rumah pak cik. Empat belas tahun aku bekerja dengan pak cik demi kedua-dua anak pak cik, dan enam tahun demi ternakan pak cik. Selama itu, sudah sepuluh kali pak cik mengubah upahku.

42Kalau Allah ayahku, Allah Abraham dan Yang Dijunjung Tinggi oleh Ishak tidak menyertaiku, tentulah sekarang pak cik melepaskan aku pergi dengan tangan kosong. Akan tetapi, Allah melihat betapa aku teraniaya serta jerih lelahku, maka Dia menegur pak cik semalam.”

43Jawab Laban kepada Yakub, “Perempuan-perempuan ini anakku, anak-anak ini cucuku, kawanan ternakan ini milikku, demikian pula semua yang kaulihat ini. Tetapi apa yang boleh kulakukan hari ini untuk anak-anakku atau untuk anak-anak yang dilahirkan mereka?

44Sekarang, marilah kita mengikat perjanjian antara aku dengan kamu, dan biarlah perjanjian itu menjadi saksi antara kita.”

45Maka Yakub mengambil sebuah batu dan mendirikannya menjadi sebuah tugu.

46Kata Yakub kepada sanak saudaranya, “Kumpulkanlah batu-batu.” Lalu mereka mengambil batu-batu dan membuat suatu timbunan. Setelah itu, mereka makan berdekatan dengan timbunan batu itu.

47Laban menamai timbunan batu itu Yegar-Sahaduta, tetapi Yakub menamainya Galed.

48Kata Laban, “Pada hari ini, timbunan batu ini menjadi saksi antara aku dengan kamu.” Itulah sebabnya timbunan batu itu dinamai Galed

49dan juga Mizpa, kerana katanya, “Semoga TUHAN mengawas antara aku dengan kamu semasa kita tidak bersama-sama.

50Jika kamu menganiaya anak-anakku, dan jika kamu mengambil isteri lain selain anak-anakku, ingatlah, Allah menjadi saksi antara aku dengan kamu, sekalipun tiada orang berada di hadapan kita.”

51Kata Laban pula kepada Yakub, “Lihat, inilah timbunan batu dan inilah tugu yang telah kudirikan antara aku dengan kamu.

52Timbunan batu inilah saksi, juga tugu inilah saksi, bahawa aku tidak akan melintas timbunan batu ini untuk mendatangimu dengan niat jahat, dan kamu pun tidak akan melintas timbunan batu ini serta tugu ini untuk mendatangiku dengan niat serupa.

53Allah Abraham, dan Allah Nahor, dan Allah ayah mereka menjadi hakim antara kita.” Lalu bersumpahlah Yakub demi Yang Dijunjung Tinggi oleh Ishak, ayahnya.

54Setelah itu, Yakub mempersembahkan korban sembelihan di pergunungan itu dan mengundang saudara-saudaranya untuk makan. Mereka pun makan dan bermalam di pergunungan itu.

55Keesokan harinya Laban bangun pagi-pagi. Diciumnya para cucu serta anak-anaknya, dan dia mendoakan keberkatan bagi mereka. Setelah itu, Laban pun berangkat pulang.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kejadian 31 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel