Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 40 >> 

Yusuf mentafsir mimpi jururasa dan pembuat roti

1Tidak lama sesudah peristiwa-peristiwa itu, jururasa santapan dan pembuat roti raja Mesir melakukan kesalahan terhadap tuan mereka, raja Mesir.

2Maka murkalah Firaun kepada kedua-dua orang pegawai istananya itu, iaitu kepada ketua jururasa santapan serta ketua pembuat rotinya.

3Dia menempatkan mereka dalam tahanan di rumah ketua pengawal diraja, iaitu ke dalam penjara tempat Yusuf ditahan.

4Lalu kepala pengawal diraja menyuruh Yusuf untuk menjadi pengiring mereka dan Yusuf pun melayani mereka. Mereka berada dalam tahanan selama beberapa waktu.

5Maka terjadilah pada malam yang sama, jururasa santapan serta pembuat roti raja Mesir yang ditahan di dalam penjara itu bermimpi. Mimpi mereka masing-masing memiliki erti yang berbeza.

6Pada pagi harinya, ketika Yusuf datang menemui mereka dan memperhatikan mereka, tampak mereka sedang bersusah hati.

7Maka bertanyalah Yusuf kepada para pegawai istana Firaun yang bersama-sama ditahan dengannya dalam penjara di rumah tuannya itu, “Mengapakah wajah kamu muram hari ini?”

8Jawab mereka kepadanya, “Kami bermimpi, tetapi tiada seorang pun dapat mentafsirkannya.” Kata Yusuf kepada mereka, “Bukankah tafsiran mimpi itu adalah daripada Allah? Ceritakanlah mimpi itu kepadaku.”

9Lalu ketua jururasa santapan menceritakan mimpinya kepada Yusuf, katanya, “Dalam mimpiku itu kelihatan sebuah pokok anggur di hadapanku.

10Pokok anggur itu bercabang tiga. Begitu pokok itu bertunas, bunganya langsung tumbuh dan tandan-tandannya pun mengeluarkan buah anggur yang masak.

11Pada waktu itu cawan Firaun ada di tanganku. Lalu buah anggur itu kuambil dan kuperah ke dalam cawan Firaun. Lalu kupersembahkan cawan itu kepada tangan Firaun.”

12Kata Yusuf kepadanya, “Inilah tafsir bagi mimpimu: tiga cabang itu bererti tiga hari.

13Dalam masa tiga hari ini, Firaun akan membebaskan kamu dan mengembalikan pangkatmu yang dahulu kepada kamu. Lalu kamu akan kembali mempersembahkan cawan kepada tangan Firaun, seperti yang biasa kamu lakukan sebelumnya ketika kamu menjadi jururasa santapannya.

14Tetapi ingatlah aku apabila keadaanmu sudah baik nanti dan berbuat baiklah kepadaku. Ceritakanlah perihalku kepada Firaun dan tolong keluarkan aku dari rumah ini,

15kerana sebenarnya aku ini diculik dari negeri orang Ibrani, dan di sini pun aku tidak pernah berbuat sesuatu pun yang menyebabkan aku patut dimasukkan ke dalam kurungan.”

16Apabila kepala pembuat roti melihat kebaikan tafsiran mimpi itu, dia pun berkata kepada Yusuf, “Aku juga bermimpi: Kelihatan tiga bakul roti di atas kepalaku.

17Di dalam bakul teratas ada segala jenis santapan Firaun buatan pembuat roti, tetapi burung-burung memakannya daripada bakul yang ada di atas kepalaku itu.”

18Jawab Yusuf, “Inilah tafsiran bagi mimpimu: tiga bakul itu bererti tiga hari.

19Dalam tiga hari ini, Firaun akan memancung kamu dan menggantung kamu pada sebuah tiang lalu burung-burung akan memakan daging tubuhmu.”

20Pada hari ketiga ternyata hari itu hari ulang tahun kelahiran Firaun. Maka Firaun mengadakan jamuan untuk meraikan kesemua pegawainya. Dia membebaskan ketua jururasa santapan serta kepala pembuat roti di hadapan para pegawainya.

21Kemudian dia memulihkan kedudukan ketua jururasa santapan, maka dapatlah dia kembali mempersembahkan cawan kepada tangan Firaun.

22Akan tetapi, kepala pembuat roti digantungnya, seperti yang ditafsirkan Yusuf kepada mereka.

23Namun begitu, ketua jururasa santapan tidak teringat akan Yusuf, malah dia melupakannya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kejadian 40 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
© 2010-2021
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran