Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 44 >> 

Yusuf menguji saudaranya

1Setelah itu, Yusuf memberikan perintah kepada pengawas rumah tangganya, katanya, “Isikan bahan makanan ke dalam karung para lelaki itu sebanyak yang dapat dibawa mereka, dan letakkan wang masing-masing di mulut karungnya.

2Selepas itu simpan pialaku, iaitu piala perak itu, berserta dengan wang gandumnya, di mulut karung lelaki yang termuda.” Pengawas itu pun melakukan arahan Yusuf itu.

3Sebaik sahaja pagi hari, para lelaki itu berserta keldai mereka dilepaskan.

4Belum beberapa jauh mereka keluar dari kota itu, Yusuf berkata kepada pengawas rumah tangganya, “Cepatlah kejar kumpulan orang itu, dan ketika kamu sudah memintas mereka, katakan kepada mereka, ‘Mengapakah kamu membalas kebaikan dengan kejahatan?

5Bukankah itu piala yang digunakan tuanku untuk minum dan untuk bernujum? Kamu telah melakukan perbuatan jahat!’ ”

6Maka setelah pengawas itu memintas mereka dikatakannyalah kepada mereka sebagaimana kata-kata Yusuf itu tadi.

7Jawab mereka kepadanya, “Mengapa tuanku mengucapkan kata-kata seperti itu? Jangan sekali-kali hamba-hambamu ini melakukan hal semacam itu!

8Malahan wang yang kami temui di mulut karung kami dahulu pun telah kami bawa dari Tanah Kanaan dan kembalikan kepada tuan. Masakan kami mencuri perak atau emas dari rumah majikan tuan?

9Jika ada sesiapa antara hambamu ini didapati menyimpan barang itu, biarlah dia dihukum mati dan biarlah kami menjadi hamba tuanku.”

10Jawab orang itu, “Baik, kamu telah mengusul hukumanmu. Sesiapa yang didapati menyimpan barang itu akan menjadi hambaku, tetapi yang lain bebas daripada kesalahan.”

11Maka mereka dengan segera menurunkan karung masing-masing ke tanah lalu membukanya.

12Pengawas itu memeriksa, mulai yang tertua hingga yang termuda. Akhirnya cawan itu ditemukan di dalam karung Benyamin.

13Mereka pun mengoyakkan pakaian mereka. Kemudian masing-masing memuati keldainya, dan kembali semula ke kota.

14Maka Yehuda dan para saudaranya masuk ke rumah Yusuf dan mereka mendapati Yusuf masih ada di situ. Lalu sujudlah mereka di hadapannya.

15Kata Yusuf kepada mereka, “Perbuatan apakah yang kamu lakukan ini? Tidakkah kamu tahu bahawa orang seperti aku ini benar-benar dapat bernujum?”

16Jawab Yehuda, “Apakah yang dapat kami katakan kepada tuanku? Bagaimanakah kami harus berbicara? Bagaimanakah kami dapat membebaskan diri daripada hal ini? Allah telah memperlihatkan kesalahan hamba-hambamu ini. Sekarang, biarlah kami menjadi hamba tuanku, baik kami mahupun dia, yang di dalam karungnya telah ditemukan piala tuan.”

17Tetapi jawab Yusuf, “Janganlah aku sekali-kali berbuat demikian! Hanya orang yang didapati membawa piala itu sajalah yang akan menjadi hambaku manakala kamu yang lain, pulanglah dengan sejahtera kepada ayahmu.”

18Kemudian Yehuda maju mendekati Yusuf dan berkata, “Ya tuanku, mohon izinkan hambamu ini menyampaikan sepatah kata kepada tuanku. Janganlah amarah tuanku menyala ke atas hambamu ini, kerana tuanku sama dengan Firaun sendiri.

19Dahulu tuanku bertanya kepada hamba-hamba tuanku ini, ‘Apakah kamu masih mempunyai ayah atau saudara lagi?’

20Jawab kami kepada tuanku, ‘Kami mempunyai seorang ayah yang sudah tua. Ada juga seorang anaknya yang muda, yang lahir pada masa tuanya. Abangnya sudah meninggal, dan daripada anak-anak ibunya hanya dialah yang tinggal. Oleh itu, ayahnya menyayanginya.’

21Kemudian tuanku berkata kepada hamba-hambamu ini, ‘Bawalah dia kepadaku supaya aku dapat melihatnya.’

22Jawab kami kepada tuanku, ‘Anak muda itu tidak dapat meninggalkan ayahnya kerana jika dia berpergian tentu ayahnya akan mati.’

23Tetapi tuanku berkata kepada hamba-hambamu ini, ‘Jika adikmu yang bongsu itu tidak datang bersama-samamu, maka kamu tidak boleh melihat mukaku lagi.’

24Jadi, ketika kami pulang kepada hambamu, iaitu ayah hamba, kami menyampaikan kata-kata tuanku kepadanya.

25Suatu kali ayah kami berkata, ‘Kembalilah, belilah sedikit bahan makanan untuk kita.’

26Tetapi kami berkata kepadanya, ‘Kami tidak boleh pergi. Jika adik kami yang bongsu ada bersama-sama kami barulah kami akan pergi, kerana kami tidak boleh melihat muka orang itu jika adik kami yang bongsu tiada bersama-sama kami.’

27Lalu hambamu, iaitu ayah hamba, berkata kepada kami, ‘Kamu tahu bahawa isteriku telah melahirkan dua orang anak untukku.

28Seorang sudah pergi meninggalkanku. Fikirku, “Pasti dia telah dikoyak-koyakkan oleh binatang buas,” dan sampai sekarang aku memang tidak pernah melihatnya lagi.

29Jika kamu mengambil anak ini juga daripadaku dan dia ditimpa kemalangan, maka kamu akan membuat aku yang beruban ini turun ke alam kubur dalam keadaan yang amat menyedihkan.’

30“Maka sekarang, jika hamba datang kepada hambamu, iaitu ayah hamba, dan anak muda ini tidak bersama-sama kami memandangkan ayah hamba itu tidak dapat hidup tanpanya,

31tentunya apabila dilihatnya anak muda ini tidak ada, dia akan mati. Dengan demikian, hamba-hambamu ini akan membuat hambamu, iaitu ayah kami yang beruban itu, turun ke alam kubur dengan penuh dukacita.

32Akan tetapi, hambamu ini telah menjamin keselamatan anak muda ini di hadapan ayah hamba dengan berkata, ‘Jika aku tidak membawanya kembali kepada ayah, biarlah aku menanggung dosa itu terhadap ayah seumur hidup.’

33Jadi sekarang, izinkan hambamu ini tinggal menggantikan anak muda ini untuk menjadi hamba tuanku, dan biarlah anak muda ini pulang dengan para saudaranya.

34Kerana bagaimana hamba boleh kembali kepada ayah hamba jika anak muda ini tidak bersama-sama hamba? Hamba tidak sanggup melihat ayah hamba menderita lantaran kesedihannya.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kejadian 44 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel