Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 20 >> 

Sepuluh Perintah Allah

1Lalu Allah berfirman semua kata ini:

2“Akulah TUHAN, Allahmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan.

3Jangan ada padamu tuhan-tuhan lain selain Aku.

4Jangan buat patung ukiran untuk dirimu atau wujudkan apa-apa pun yang ada di langit di atas, atau yang ada di bumi di bawah, atau di dalam air di bawah bumi.

5Jangan sujud menyembahnya atau beribadat kepadanya, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, Allah yang cemburu, yang membalas kesalahan ayah kepada anak-anaknya, kepada keturunan ketiga dan keempat dalam kalangan mereka yang membenci Aku.

6Namun demikian, Aku menunjukkan kasih setia-Ku kepada keturunan yang keseribu dalam kalangan mereka yang mengasihi Aku dan yang taat berpegang teguh pada segala perintah-Ku.

7Jangan gunakan nama TUHAN, Allahmu, dengan sembarangan, kerana TUHAN akan memandang bersalah orang yang menggunakan nama-Nya dengan sembarangan.

8Ingatlah hari Sabat dan jagalah kesuciannya.

9Enam hari lamanya engkau harus bekerja dan melakukan segala pekerjaanmu,

10tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat bagi TUHAN, Allahmu. Pada hari itu jangan melakukan pekerjaan apa-apa pun baik kamu, anak lelakimu, anak perempuanmu, hamba lelakimu, hamba perempuanmu, haiwanmu, mahupun pendatang yang ada di kotamu.

11Kerana enam hari lamanya TUHAN menjadikan langit dan bumi, laut dan segala isinya, lalu Dia beristirahat pada hari ketujuh. Itulah sebabnya TUHAN memberkati hari Sabat dan menjadikannya suci.

12Hormatilah ibu bapamu, supaya lanjut usiamu di bumi yang TUHAN, Allahmu, kurniakan kepadamu.

13Jangan membunuh.

14Jangan berzina.

15Jangan mencuri.

16Jangan memberi kesaksian palsu terhadap sesamamu.

17Jangan mendambakan rumah jiranmu. Jangan ingini isteri jiranmu, hambanya baik yang lelaki mahupun yang perempuan, lembunya, keldainya, atau apa-apa pun yang dimiliki oleh sesamamu.”

Orang Israel takut menghadapi kedatangan Allah

18Seluruh umat itu menyaksikan guruh dan kilat, bunyi sangkakala, dan gunung yang berasap. Maka gementarlah mereka dalam ketakutan lalu berdiri jauh-jauh.

19Kata mereka kepada Musa, “Engkau sajalah yang berbicara kepada kami, kami akan mendengar kata-katamu, tetapi janganlah Allah yang berbicara kepada kami, nanti kami mati.”

20Kata Musa kepada umat itu, “Jangan takut, kerana Allah telah datang untuk menguji kamu supaya kamu sentiasa takut kepada-Nya lantas kamu tidak berbuat dosa.”

21Umat itu berdiri jauh-jauh, tetapi Musa menghampiri kepekatan yang menyelubungi hadirat Allah.

Peraturan tentang mazbah

22TUHAN berfirman kepada Musa, “Beginilah harus kamu katakan kepada orang Israel, ‘Kamu telah menyaksikan bahawa Aku berfirman kepadamu dari langit.

23Jangan buat sesuatu yang menduakan Aku. Jangan buat untuk dirimu tuhan-tuhan perak ataupun tuhan-tuhan emas,

24tetapi buatlah bagi-Ku suatu mazbah daripada tanah, lalu persembahkanlah di atasnya korban bakaranmu dan korban kedamaianmu, iaitu domba dan lembumu. Di setiap tempat yang Kujadikan nama-Ku diingat, di situlah Aku akan datang kepadamu dan memberkati kamu.

25Jika kamu hendak membuat suatu mazbah daripada batu bagi-Ku, janganlah membangunkannya daripada batu yang dipahat, kerana jika kamu mengenakan pahatmu padanya maka kamu menajiskannya.

26Jangan naik tangga ke mazbah-Ku, supaya jangan terselak auratmu di atasnya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 20 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel