Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 24 >> 

Allah mengesahkan perjanjian-Nya

1Berfirmanlah Dia kepada Musa, “Naiklah menghadap TUHAN, kamu dan Harun, Nadab dan Abihu, berserta tujuh puluh orang dalam kalangan tua-tua Israel dan sujudlah menyembah dari jarak yang jauh.

2Musa sahaja yang boleh menghampiri TUHAN, tetapi umat yang lain tidak boleh datang dekat-dekat. Umat itu juga tidak boleh naik bersama-samanya.”

3Maka pergilah Musa menyampaikan kepada umat itu semua perintah dan peraturan yang difirmankan TUHAN. Seluruh umat itu pun menjawab dengan suara serentak, “Segala yang telah difirmankan TUHAN akan kami laksanakan.”

4Kemudian Musa menulis segala firman TUHAN itu. Keesokan harinya pagi-pagi lagi dia bangun lalu mendirikan sebuah mazbah di kaki gunung itu lengkap dengan dua belas batang tiang, setara dengan jumlah suku orang Israel iaitu dua belas semuanya.

5Dia mengarahkan beberapa orang muda orang Israel untuk mempersembahkan korban bakaran serta menyembelih lembu-lembu jantan sebagai korban kedamaian untuk TUHAN.

6Musa mengambil sebahagian daripada darah itu dan menuangkannya ke dalam beberapa buah bejana, manakala sebahagian lagi darah dipercikkan pada mazbah.

7Lalu dia mengambil kitab perjanjian itu dan membacanya di hadapan seluruh umat yang mendengarkannya. Lalu mereka berkata, “Segala firman TUHAN akan kami laksanakan dan kami patuhi.”

8Selepas itu Musa mengambil darah itu lalu memercikkannya ke atas umat itu dan berkata, “Inilah darah perjanjian yang dimateraikan TUHAN dengan kamu sehubungan dengan segala firman-Nya ini.”

9Lalu Musa, Harun, Nadab dan Abihu, serta tujuh puluh orang daripada kalangan tua-tua orang Israel mendaki gunung.

10Mereka nampak Allah Israel dan di bawah kaki-Nya kelihatan sesuatu seperti turapan batu nilam yang tampak terang seperti langit.

11Namun begitu, Allah tidak membinasakan para pemuka orang Israel itu. Setelah mereka memandang Allah, mereka pun makan dan minum.

Musa di Gunung Sinai

12TUHAN berfirman kepada Musa, “Naiklah menghadap Aku di atas gunung dan tunggulah di situ. Aku akan memberimu loh-loh batu yang telah Kutulis hukum dan perintah yang harus diajarkan kepada mereka.”

13Maka bangkitlah Musa, demikian juga Yosua, penolongnya, lalu Musa naik ke gunung Allah.

14Sebelumnya, kepada para tua-tua itu dia berkata, “Tunggulah di sini sampai kami kembali kepadamu. Lihat, Harun dan Hur ada bersama-samamu. Sesiapa yang ada perkara berbangkit, biarlah dia pergi mengadukannya kepada mereka.”

15Musa pun mendaki gunung, lalu awan melitupi gunung itu.

16Kemuliaan hadirat TUHAN bersemayam di atas Gunung Sinai, dan awan melitupinya selama enam hari. Pada hari ketujuh Dia memanggil Musa dari tengah-tengah awan itu.

17Pada pandangan orang Israel, kemuliaan TUHAN di puncak gunung itu kelihatan seperti api yang menghanguskan.

18Musa masuk ke tengah-tengah awan itu dan naik ke atas gunung. Dia berada di atas gunung itu selama empat puluh hari empat puluh malam.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 24 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel