Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 4 >> 

Tanda keajaiban terlihat pada Musa

1Jawab Musa pula, “Tetapi mereka tidak akan mempercayai aku atau mendengar kata-kataku bahkan mereka akan berkata, ‘TUHAN tidak menampakkan diri kepadamu!”

2Firman TUHAN kepadanya, “Apakah yang ada di tanganmu itu?” Jawab Musa, “Tongkat.”

3Firman-Nya, “Campakkannya ke tanah.” Musa mencampakkannya ke tanah, lalu tongkat itu menjadi ular lantas larilah Musa meninggalkannya.

4Firman TUHAN kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu dan tangkaplah ekornya.” Musa menghulurkan tangannya dan menangkapnya, lalu ular itu menjadi tongkat semula di tangannya.

5“Lakukanlah hal itu supaya mereka percaya bahawa TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Allah Ishak dan Allah Yakub, telah menampakkan diri kepadamu.”

6Firman TUHAN lagi kepadanya, “Masukkanlah tanganmu ke dalam bajumu.” Musa memasukkan tangannya ke dalam bajunya. Setelah dikeluarkan, tampak tangannya dijangkiti kusta, putih seperti salji.

7Firman Allah, “Masukkan tanganmu semula ke dalam bajumu.” Dia pun memasukkan tangannya semula ke dalam bajunya. Setelah dikeluarkan lagi dari dalam bajunya, kelihatan tangannya itu pulih kembali, sama seperti kulitnya yang sediakala.

8“Maka, sekiranya mereka tidak mempercayai kamu dan tidak meyakini keajaiban yang pertama, mereka akan percaya setelah melihat keajaiban berikutnya.

9Akan tetapi, jika mereka masih tidak percaya setelah melihat kedua-dua tanda itu dan enggan mendengar kata-katamu, ambillah air Sungai Nil dan curahkanlah ke tanah yang kering, maka air Sungai Nil itu akan menjadi darah di tanah yang kering itu.”

10Namun begitu, kata Musa kepada TUHAN, “Ya Tuhan, hamba-Mu ini bukan seorang yang pandai berbicara, baik dahulu mahupun sekarang, saat Engkau berfirman kepada hamba-Mu ini, kerana hamba-Mu ini berat mulut dan berat lidah.”

11Firman TUHAN kepadanya, “Siapakah yang menjadikan mulut manusia? Siapakah yang menjadikan orang bisu atau pekak, boleh melihat atau buta? Bukankah Aku, iaitu TUHAN?

12Sekarang, pergilah. Aku akan menolong kamu berbicara dan Aku akan mengajarmu apa yang patut kamu katakan.”

13Akan tetapi, Musa berkata, “Ya Tuhan, hamba mohon utuslah orang lain, sesiapa sahaja yang patut Kauutus.”

14Maka menyalalah murka TUHAN terhadap Musa, firman-Nya, “Bukankah ada Harun, abangmu, orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia pandai berbicara. Apatah lagi dia telah berangkat untuk menemuimu. Apabila dia melihat kamu, akan sukacitalah hatinya.

15Kamu harus berbicara dengannya dan memberitahukan kata-kata tadi kepadanya. Aku akan menolong kamu dan dia untuk berbicara, dan Aku akan memberitahumu apa yang harus kamu lakukan.

16Dia harus menjadi jurucakap kamu untuk berbicara kepada orang Israel. Bagi kamu dia bagaikan mulutmu, dan baginya kamu seolah-olah Allah.

17Kamu bawalah tongkat ini kerana dengan tongkat inilah kamu akan menunjukkan segala keajaiban itu.”

Musa kembali ke Mesir

18Lalu Musa kembali kepada mertuanya, Yitro, dan berkata kepadanya, “Izinkanlah aku kembali kepada para saudaraku yang berada di Mesir untuk melihat sama ada mereka masih hidup.” Kata Yitro kepada Musa, “Pergilah dengan selamat.”

19Maka berfirmanlah TUHAN kepada Musa yang masih di Midian, “Kembalilah ke Mesir, kerana orang yang mengancam nyawamu sudah mati.”

20Kemudian Musa membawa isteri bersama-sama anak-anaknya dan menaikkan mereka ke atas seekor keldai lalu dia berangkat bersama-sama mereka, dan kembali ke Tanah Mesir dengan membawa tongkat Allah di tangannya.

21Firman TUHAN kepada Musa, “Bersedialah apabila kamu kembali ke Mesir, segala keajaiban yang telah Kuserahkan ke dalam tanganmu, lakukanlah kesemuanya di hadapan Firaun. Akan tetapi Aku akan membuat dia keras hati dan tidak mengizinkan orang Israel pergi.

22Maka katakanlah kepada Firaun, ‘Beginilah firman TUHAN, “Israel itu anak-Ku yang sulung,

23dan telah Kufirman kepadamu: Benarkanlah anak-Ku itu pergi supaya dia menyembah Aku tetapi kamu enggan melepaskannya. Lihatlah, Aku akan membunuh anak lelakimu yang sulung.’ ”

24Lalu dalam perjalanan, di sebuah tempat bermalam, TUHAN bertemu dengan Musa dan hendak mengambil nyawanya.

25Tetapi Zipora mengambil pisau batu, lalu mengkhatankan kulup anaknya. Setelah itu, dia menyentuh kulup itu pada kaki Musa, sambil berkata, “Sesungguhnya, kamu pengantin darah bagiku.”

26Maka Tuhan tidak mengapa-apakan anak itu. Pada waktu itulah, sehubungan dengan persunatan itu, perempuan itu berkata, “Kamu pengantin darah.”

27Ketika itu TUHAN berfirman kepada Harun, “Pergilah menemui Musa di gurun.” Maka Harun pun pergi. Dia bertemu dengan Musa di gunung Allah, lalu menciumnya.

28Lalu Musa memberitahu Harun tentang semua kata yang TUHAN suruh disampaikannya dan semua keajaiban yang harus dibuatnya, seperti yang diperintahkan-Nya.

29Maka Musa dan Harun berangkat dan mengumpulkan semua tua-tua orang Israel.

30Lalu Harun menyampaikan kepada mereka semua yang difirmankan TUHAN kepada Musa, serta menunjukkan keajaiban itu di hadapan mata orang Israel.

31Maka percayalah mereka, dan ketika mereka mendengar bahawa TUHAN memang prihatin terhadap orang Israel serta maklum akan segala penderitaan mereka, terus sahaja mereka membongkok lantas sujud menyembah.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 4 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel