Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kolose 3 >> 

Peraturan untuk hidup suci

1Dengan demikian, jika kamu telah dibangkitkan bersama Kristus, carilah perkara-perkara yang berkaitan dengan syurga, tempat Kristus duduk di sebelah kanan Allah.

2Tumpukan pemikiranmu kepada hal-hal di syurga, bukan hal-hal di bumi.

3Kerana kamu telah mati, dan hidupmu tersembunyi bersama Kristus dalam Allah.

4Apabila Kristus yang merupakan kehidupan kamu itu muncul, kamu akan muncul bersama-Nya dalam kemuliaan.

5Oleh itu, matikanlah dalam dirimu segala yang bersifat dunia: perbuatan cabul, kecemaran, hawa nafsu, keinginan jahat dan tamak haloba, yang sama dengan menyembah berhala.

6Disebabkan semua inilah kemurkaan Allah akan menimpa anak-anak derhaka.

7Dulu kamu pun berkelakuan demikian, pada masa kamu masih dalam kehidupan itu.

8Tetapi sekarang kamu haruslah menyingkirkan segalanya seperti: marah, geram, niat jahat, menghina Allah, mengeluarkan kata-kata kotor dari mulutmu.

9Jangan bercakap bohong satu sama lain, kerana kamu sudah melucutkan dirimu yang lama itu dengan segala kelakuannya

10dan mengenakan diri yang baru, yang terus-menerus diperbaharu dengan pengetahuan menurut rupa Allah yang menjadikannya.

11Dengan demikian tiada lagi orang Yunani atau orang Yahudi, orang bersunat atau orang tidak bersunat, orang gasar, orang Skit, hamba atau merdeka. Kristus segala-galanya dan dalam segala-galanya.

12Sebagai orang pilihan Allah yang suci dan amat dikasihi-Nya kamu haruslah bersifat belas kasih, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar.

13Bersabarlah terhadap satu sama lain, maaf-memaafi, jika seseorang ada sesuatu aduan terhadap yang lain. Sebagaimana Tuhan telah mengampuni kamu, demikianlah kamu harus mengampuni sesama sendiri.

14Paling utama amalkanlah kasih, ikatan dan penyatu yang sempurna.

15Biarlah damai Kristus menguasai hatimu. Kamu telah dipanggil untuk mendapat damai itu dalam satu tubuh. Kamu haruslah bersyukur.

16Biarlah sabda Kristus menetap dalam dirimu dengan segala kekayaan dan kebijaksanaannya. Ajar dan nasihati satu sama lain dengan mazmur, lagu pujian dan nyanyian rohani, serta nyanyikanlah lagu rohani dengan rasa syukur kepada Allah dalam hatimu.

17Segala yang kamu katakan dan lakukan haruslah dengan nama Tuhan Yesus sambil mengucap syukur kepada Bapa kita Allah melalui-Nya.

Corak kehidupan dan rumah tangga

18Isteri, tunduklah kepada suamimu, sebagaimana yang patut dalam Tuhan.

19Suami, kasihilah isterimu dan jangan berlaku keras terhadapnya.

20Anak-anak, turutlah perintah ibu bapamu dalam segala perkara, kerana demikianlah yang diredai Tuhan.

21Bapa, jangan sakitkan hati anak-anakmu, supaya mereka tidak tawar hati.

22Hamba sahaya, dalam segala hal turutlah perintah orang yang menjadi tuanmu dalam perkara dunia; bukan secara bermuka-muka, untuk menyukakan hati manusia, tetapi dengan tulus ikhlas dan takut akan Allah.

23Lakukan segala kerja dengan sebulat hatimu untuk Tuhan, bukan untuk manusia,

24kerana kamu tahu bahawa daripada Tuhan kamu akan menerima warisan sebagai ganjaranmu. Kristus ialah Tuanmu dan kamu hamba-Nya.

25Orang yang melakukan kesalahan akan mendapat balasan yang setimpal, tidak kira siapa dia.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kolose 3 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel