Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 7 >> 

Yesus menyembuhkan hamba ketua tentera

1Setelah Yesus habis mengatakan semua perkara ini kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum.

2Terdapat seorang hamba ketua tentera yang amat disayangi oleh tuannya; hamba itu sedang sakit tenat dan hampir mati.

3Apabila ketua tentera itu mendengar tentang Yesus, dia menyuruh beberapa tua-tua Yahudi mendapatkan Yesus untuk meminta-Nya datang menyembuhkan hambanya itu.

4Ketika mendapatkan Yesus, mereka merayu kepada-Nya, “Dia wajar mendapat pertolongan-Mu,

5kerana dia mencintai bangsa kita dan telah mendirikan sebuah saumaah bagi kami.”

6Lalu Yesus pun pergi bersama mereka. Tatkala Dia tidak berapa jauh dari rumah, ketua tentera itu menyuruh beberapa orang sahabat memberitahu Yesus, “Tuan, tidak usah Tuan menyusahkan diri kerana aku tidak layak menyambut Tuan ke rumahku.

7Aku juga tidak layak datang untuk menemui Tuan. Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh.

8Aku juga di bawah perintah orang atasan dan aku ada askar di bawah tanganku. Apabila aku menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, ‘Mari!’ dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, ‘Buat ini!’ dia melakukannya.”

9Yesus terkagum mendengarnya lalu Dia berpaling kepada orang ramai yang mengikut-Nya sambil berkata, “Aku berkata kepadamu, Belum pernah Kutemui orang yang demikian teguh imannya, walau di Israel pun.”

10Apabila mereka yang disuruh itu kembali ke rumah ketua tentera itu, mereka mendapati hamba itu telah sembuh.

Yesus menghidupkan anak lelaki seorang balu

11Tidak lama kemudian, Yesus pergi ke sebuah bandar yang bernama Nain; murid-murid-Nya dan orang ramai pergi bersama-Nya.

12Ketika Dia mendekati pintu gerbang bandar itu, mayat anak lelaki tunggal seorang balu sedang diusung keluar dan sekumpulan besar orang dari bandar itu bersama dengan wanita itu.

13Apabila Tuhan melihat balu itu, Dia berbelas kasihan terhadapnya lalu Dia berkata kepadanya, “Janganlah menangis.”

14Dia berjalan ke hadapan dan menyentuh keranda itu. Orang yang mengusung keranda itu pun berhenti. Lalu Yesus berkata, “Hai pemuda, Aku berkata kepadamu – bangun!”

15Orang yang sudah mati itu pun bangun dan mula bercakap; lalu Yesus mengembalikannya kepada ibunya.

16Setiap orang ketakutan lalu memuji Allah: “Seorang nabi yang agung telah muncul dalam kalangan kita!” dan “Allah telah mendatangi umat-Nya.”

17Khabar tentang Yesus ini tersebar ke seluruh jajahan Yudea dan daerah di sekelilingnya.

Murid-murid Yohanes Pembaptis

18Murid-murid Yohanes memaklumkan segala perkara ini kepadanya.

19Yohanes memanggil dua orang pengikutnya lalu menyuruh mereka bertanya kepada Tuhan, “Adakah Tuan ini orang yang akan datang itu, atau perlukah kami menunggu seorang yang lain?”

20Apabila mereka datang kepada Yesus, mereka berkata, “Yohanes Pembaptis itu menyuruh kami bertanya kepada Tuan, ‘Adakah Tuan ini orang yang akan datang itu, atau perlukah kami menunggu seorang yang lain?’ ”

21Pada masa itu, Yesus sedang menyembuhkan ramai orang yang menderitai penyakit, wabak dan kerasukan roh iblis serta mencelikkan mata ramai orang buta.

22Lalu Yesus menjawab mereka, “Pulanglah, beritahu Yohanes apa yang telah kamu lihat dan dengar: Orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang kusta ditahirkan, orang tuli mendengar, orang mati dihidupkan semula serta perkhabaran baik disampaikan kepada orang miskin.

23Diberkatilah orang yang tidak berpaling daripada Aku.”

24Setelah utusan-utusan Yohanes pulang, Yesus mula berkata kepada orang ramai tentang Yohanes, “Apabila kamu mendapatkan Yohanes di gurun, apakah yang ingin kamu lihat? Sehelai rumput mensiang yang ditiup angin?

25Kamu ke sana hendak melihat apa? Seorang yang berpakaian mewah? Ketahuilah, orang yang berpakaian mewah dan hidup dalam kekayaan ada di istana.

26Oleh itu, kamu ke sana untuk melihat apa? Seorang nabi? Betul, malah Aku berkata kepadamu, lebih daripada seorang nabi.

27Tentang orang itulah telah tersurat dalam Kitab Suci: ‘Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu; dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu.’

28Aku berkata kepadamu bahawa Yohanes itu lebih besar daripada semua orang yang pernah dilahirkan. Akan tetapi, orang yang terkecil dalam kerajaan Allah lebih besar daripadanya.”

29Orang ramai itu, termasuk pemungut-pemungut cukai, mendengar Yesus. Mereka mengakui cara Allah adalah benar kerana mereka telah menerima baptisan Yohanes.

30Tetapi orang Farisi dan ahli-ahli Taurat enggan menerima baptisan Yohanes, maka mereka menolak kehendak Allah untuk mereka.

31“Dengan apakah dapat Kubandingkan orang zaman ini? Bagaimanakah keadaan mereka?

32Mereka umpama anak-anak yang duduk di pasar dan berseru-seru sesama sendiri: ‘Kami memainkan seruling untukmu, tetapi kamu enggan menari; kami menyanyi lagu ratap untukmu, tetapi kamu enggan menangis.’

33Kerana Yohanes Pembaptis telah datang dengan berpuasa dan tidak minum air anggur, lalu kamu berkata, ‘Dia dirasuk roh iblis.’

34Ketika Anak Manusia datang, Dia makan dan minum lalu kamu berkata, ‘Lihatlah Dia ini: pelahap, pemabuk, kawan kepada pemungut cukai dan orang berdosa.’

35Namun demikian, kebijaksanaan terbukti benar oleh semua orang yang menerimanya.”

Yesus di rumah Simon, seorang Farisi

36Salah seorang Farisi menjemput Yesus makan di rumahnya. Yesus masuk ke rumah orang Farisi itu lalu duduk bertelekan di meja.

37Di dalam kota itu ada seorang perempuan yang hidup dalam dosa. Setelah dia mendengar bahawa Yesus makan di rumah orang Farisi itu, dia membawa sebuah kendi pualam berisi minyak wangi.

38Dia berdiri di belakang Yesus dekat dengan kaki-Nya dan menangis lalu membasahi kaki Yesus dengan air matanya. Dia mengeringkan kaki Yesus dengan menggunakan rambutnya, mencium kaki-Nya lalu menuang minyak wangi itu pada kaki-Nya.

39Apabila melihat perkara ini, orang Farisi yang menjemput Yesus berkata-kata dalam hatinya, “Jika orang ini seorang nabi, tentulah Dia mengetahui perempuan yang menyentuh-Nya seorang yang hidup berdosa.”

40Yesus menjawabnya, “Simon, ada sesuatu yang hendak Aku katakan kepadamu.” Simon berkata, “Ya Guru, katakanlah.”

41“Ada dua orang berhutang kepada seorang pemiutang wang. Seorang berhutang lima ratus keping wang dinar dan seorang lagi lima puluh.

42Oleh sebab mereka tidak dapat membayar hutang itu, dia pun menghapuskan hutang kedua-dua penghutang wang itu. Antara mereka, yang manakah akan lebih mengasihinya?”

43Simon menjawab, “Aku rasa orang yang dihapuskan hutangnya yang lebih besar itu.” Yesus berkata kepadanya, “Betullah anggapanmu.”

44Lalu Yesus berpaling kepada perempuan itu dan berkata kepada Simon, “Engkau melihat perempuan ini? Aku masuk ke rumahmu dan engkau tidak memberikan air untuk membasuh kaki-Ku tetapi perempuan ini telah membasahi kaki-Ku dengan air matanya lalu mengeringkannya dengan rambutnya.

45Engkau tidak menyambut Aku dengan ciuman, tetapi semenjak Aku masuk, perempuan ini tidak berhenti-henti mencium kaki-Ku.

46Engkau tidak menuang minyak pada kepala-Ku, tetapi perempuan ini telah menuang minyak wangi pada kaki-Ku.

47Oleh sebab itu, Aku berkata kepadamu bahawa kerana kasihnya yang besar, dosanya yang banyak itu telah diampunkan, tetapi orang yang telah diampuni sedikit sahaja, mengasihi sedikit juga.”

48Yesus berkata kepada perempuan itu, “Dosa-dosamu telah diampunkan.”

49Mereka yang makan bersama Yesus berkata sesama sendiri, “Siapakah orang ini yang mengampunkan dosa pula?”

50Yesus berkata kepada perempuan itu, “Imanmu telah menyelamatkanmu. Pergilah dengan damai sejahtera.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Lukas 7 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel