Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 26 >> 

Rancangan untuk membunuh Yesus

1Setelah selesai Yesus menyampaikan semua ini, Dia pun berkata kepada murid-murid-Nya,

2“Kamu tahu bahawa dua hari lagi Perayaan Paskah menjelang, dan Anak Manusia akan diserahkan untuk disalib.”

3Ketua-ketua imam, ahli Taurat dan tua-tua berhimpun di istana imam besar yang bernama Kayafas.

4Mereka berpakat untuk memerangkap Yesus secara tipu daya dan membunuh-Nya.

5Tetapi mereka berkata, “Janganlah pada waktu perayaan, takut orang merusuh.”

Yesus dituangi minyak

6Apabila Yesus berada di Betania di rumah Simon, yang menghidap penyakit kusta,

7seorang wanita mendekati-Nya dengan membawa kendi pualam berisi minyak wangi yang amat mahal, lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala-Nya ketika Dia sedang duduk bertelekan di meja.

8Apabila murid-murid-Nya melihat perbuatan wanita itu, mereka marah lalu berkata, “Mengapa membazir begini?

9Minyak wangi ini boleh dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya dapat disedekahkan kepada orang miskin.”

10Tetapi apabila Yesus mengetahui kemarahan mereka, Dia berkata, “Mengapakah kamu menyusahkan wanita ini? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku.

11Orang miskin akan sentiasa ada di sekitarmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa ada bersamamu.

12Dengan menuangkan minyak wangi ini ke atas tubuh-Ku, dia membuat persiapan untuk pengebumian-Ku.

13Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana pun kelak Injil ini disebarkan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan dikisahkan juga sebagai kenangan kepadanya.”

Yudas mengkhianati Yesus

14Selepas itu, seorang daripada dua belas murid Yesus, bernama Yudas Iskariot, pergi kepada ketua-ketua imam.

15Dia berkata kepada mereka, “Apakah yang sanggup kamu berikan kepadaku kalau kuserahkan Dia kepadamu?” Mereka memberinya tiga puluh keping wang perak.

16Sejak itu dia pun mencari peluang untuk mengkhianati Yesus.

Perjamuan Tuhan

17Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, murid-murid Yesus mendapatkan-Nya lalu berkata, “Di manakah Engkau mahu kami sediakan jamuan Paskah untuk-Mu?”

18Yesus berkata, “Pergilah ke kota kepada seorang tertentu dan katakanlah kepadanya, ‘Guru berkata, Masa-Ku sudah hampir; Aku akan menyambut Perayaan Paskah di rumahmu bersama para murid-Ku.’ ”

19Murid-murid Yesus menjalankan arahan-Nya lalu menyediakan jamuan Perayaan Paskah.

20Menjelang malam, Dia pun duduk bertelekan di meja bersama murid-Nya yang dua belas itu.

21Sambil makan itu Dia berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.”

22Mereka sungguh berdukacita, dan setiap orang daripada mereka berkata kepada-Nya, “Tuhan, tentunya aku bukan orang itu?”

23Yesus menjawab, “Orang yang mencecahkan tangannya bersama-Ku ke dalam bekas akan mengkhianati-Ku.

24Anak Manusia memanglah harus pergi seperti yang tersurat tentang-Nya, tetapi malanglah orang yang mengkhianati-Nya! Lebih baik baginya jika dia tidak dilahirkan.”

25Ketika itu Yudas yang akan mengkhianati-Nya bertanya, “Rabbi, akukah orangnya?” Yesus berkata kepadanya, “Kamu telah mengatakannya.”

26Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan dan memberikannya kepada murid-murid-Nya sambil berkata, “Ambil dan makanlah, ini tubuh-Ku.”

27Kemudian Dia mengambil cawan air anggur dan mengucap syukur lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Minumlah dari cawan ini, kamu semua.

28Inilah darah perjanjian yang ditumpahkan bagi ramai orang untuk pengampunan dosa.

29Tetapi, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah pada hari Aku minum yang baru bersamamu dalam kerajaan Bapa-Ku.”

30Setelah menyanyikan sebuah lagu suci mereka pun beredar ke Bukit Zaitun.

31Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Kamu semua akan goyah kerana-Ku malam ini, seperti yang telah tersurat: ‘Aku akan merebahkan Gembala, dan kawanan domba akan bertempiaran.’

32Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan mendahului kamu ke Galilea.”

33Petrus menjawab, “Kalaupun semua yang lain goyah kerana-Mu, aku tidak akan goyah.”

34Yesus berkata kepadanya, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pada malam ini juga, sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.”

35Petrus berkata kepada Yesus, “Kalaupun aku terpaksa mati bersama-Mu, aku tidak akan menyangkal-Mu!” Semua murid yang lain pun berkata demikian.

Di taman Getsemani

36Selepas itu, Yesus pergi bersama mereka ke sebuah tempat bernama Getsemani, lalu Dia berkata kepada murid-murid-Nya, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa di sana.”

37Yesus membawa bersama-Nya Petrus dan kedua-dua anak Zebedeus. Dia mula berasa dukacita dan resah.

38Dia berkata kepada mereka, “Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini berjaga bersama-Ku.”

39Yesus pergi jauh sedikit dari situ lalu sujud menyembamkan muka ke tanah dan berdoa, “Ya Bapa-Ku, kalaulah dapat, edarkanlah cawan ini daripada-Ku; namun, bukanlah seperti yang Kukehendaki, melainkan seperti yang Kaukehendaki.”

40Kemudian Dia kembali kepada murid-murid-Nya dan mendapati mereka tertidur; lalu Dia berkata kepada Petrus, “Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga bersama-Ku?

41Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.”

42Bagi kali kedua, Dia pergi dan berdoa, “Ya Bapa-Ku, jika cawan ini tidak mungkin beredar daripada-Ku melainkan Kuminum, terlaksanalah kehendak-Mu.”

43Selepas itu, Dia mendapati mereka tidur lagi, kerana mata mereka sungguh mengantuk.

44Dia pun meninggalkan mereka dan pergi berdoa lagi, bagi kali ketiga. Dia mengucapkan kata-kata yang sama.

45Setelah itu, Dia mendapatkan murid-murid-Nya lalu berkata, “Adakah kamu masih tidur dan berehat? Lihatlah, masanya telah menjelang, dan Anak Manusia sedang dikhianati untuk diserahkan ke tangan orang berdosa.

46Bangunlah, mari kita pergi. Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba.”

Yesus ditangkap

47Ketika Dia sedang berkata-kata itu, seorang daripada murid-Nya yang dua belas, Yudas, datang diiringi orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam dan tua-tua.

48Pengkhianat Yesus telah menetapkan satu isyarat dengan mereka, “Yang kucium nanti, itulah Dia; tangkaplah Dia.”

49Dengan segera dia menghampiri Yesus sambil berkata, “Selamat sejahtera, Rabbi!” lalu mencium-Nya.

50Yesus berkata kepadanya, “Kawan, mengapakah kamu datang?” Orang ramai itu pun menangkap Yesus.

51Tiba-tiba seorang murid Yesus menghunus pedangnya lalu menetak hamba imam besar, sehingga terputus telinganya.

52Tetapi Yesus berkata kepada murid-Nya itu, “Simpan semula pedangmu di tempatnya yang wajar, kerana semua yang menggunakan pedang akan musnah dimakan pedang.

53Adakah kamu sangka Aku tidak boleh berdoa supaya Bapa-Ku menghantar lebih daripada dua belas pasukan tentera malaikat untuk menolong-Ku?

54Bukankah kejadian ini mesti berlaku supaya yang tersurat dalam Kitab Suci ternyata benar?”

55Kemudian Yesus berkata kepada orang ramai itu, “Patutkah kamu datang, bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi? Hari demi hari Aku duduk bersamamu, mengajar di Bait Suci, dan kamu tidak menangkap-Ku.

56Tetapi segala ini berlaku supaya yang tersurat dalam kitab nabi-nabi terlaksana.” Setelah itu, semua murid Yesus meninggalkan-Nya, masing-masing melarikan diri.

Yesus di hadapan Majlis Agama

57Orang yang menangkap Yesus membawa-Nya kepada Imam Besar Kayafas. Di situ ahli Taurat dan tua-tua telah berhimpun.

58Petrus mengikut dari jauh ke bahagian laman dalam rumah imam besar, lalu masuk dan duduk dalam kalangan hamba di situ untuk melihat kesudahan perkara itu.

59Ketua-ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari kesaksian terhadap Yesus supaya dapat membunuh-Nya.

60Tetapi mereka tidak berjaya sungguhpun ramai saksi palsu yang tampil. Akhirnya dua orang saksi tampil

61dengan kesaksian: “Orang ini telah berkata, ‘Aku dapat memusnahkan Bait Allah dan membinanya semula dalam tiga hari.’ ”

62Imam besar berdiri lalu berkata kepada Yesus, “Tidakkah Kamu mahu menjawab apa-apa? Apakah yang didakwakan oleh mereka ini terhadap-Mu?”

63Tetapi Yesus berdiam diri. Imam besar berkata kepada-Nya, “Demi Allah yang hidup, katakan kepada kami, adakah Kamu ini Kristus, Anak Allah?”

64Yesus berkata kepadanya, “Benarlah seperti katamu. Namun demikian, Aku berkata kepadamu, kemudian hari kelak kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Yang Maha Kuasa, dan datang dalam awan di langit.”

65Kemudian imam besar mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, “Dia telah melafazkan kata-kata kufur! Apa perlunya saksi lagi? Sekarang kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya!

66Bagaimana pendapatmu?” Mereka menjawab, “Dia patut dibunuh.”

67Setelah itu, mereka meludahi muka-Nya dan memukul-Nya. Ada yang menampar-Nya.

68Mereka berkata, “Bernubuatlah pada kami, hai Kristus! Siapa yang memukul-Mu?”

Petrus menyangkal Yesus

69Sedang Petrus duduk di laman dalam rumah itu, seorang hamba perempuan datang dan berkata kepadanya, “Kamu pun bersama Yesus, orang Galilea itu.”

70Tetapi Petrus menyangkal di hadapan mereka semua, “Aku tak tahu apa yang kaukatakan itu.”

71Setelah Petrus pergi ke luar ke pintu gerbang, seorang perempuan lagi melihatnya dan berkata kepada orang di situ, “Orang ini pun bersama Yesus orang Nazaret.”

72Petrus menyangkal lagi sambil bersumpah, “Aku tak kenal orang itu!”

73Tidak lama kemudian orang yang berdiri-diri di situ menghampiri Petrus dan berkata kepadanya, “Sudah tentu kamu juga seorang daripada mereka; ini jelas daripada loghatmu.”

74Petrus pun mengucapkan kutuk dan sumpah, “Aku tidak kenal orang itu!” Serta-merta ayam berkokok.

75Lalu Petrus teringat kata-kata Yesus kepadanya, “Sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.” Petrus pun keluar dari situ lalu menangis dengan amat kesalnya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Matius 26 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel