Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Mazmur 18 >> 

1Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud, hamba TUHAN. Dia telah menuturkan kata-kata dalam lagu ini kepada TUHAN pada hari TUHAN menyelamatkannya daripada semua musuhnya dan daripada Saul. Kata Daud: Aku mengasihi-Mu, ya TUHAN, Engkaulah kekuatanku.

2TUHAN ialah batu pejalku, kubuku dan penyelamatku; Allahku batu pejalku, kepada-Nya aku berlindung. Dialah perisaiku, tanduk penyelamatanku, benteng pertahananku.

3Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, maka aku pun diselamatkan daripada musuhku.

4Seksa maut telah mengepungku; curahan banjir kebinasaan mengerikanku.

5Seksa alam kubur melilit aku, rahang jerat maut mendesak aku.

6Dalam kesesakanku aku berseru kepada TUHAN; Aku meraung kepada Allahku. Dia mendengar suaraku dari Bait Suci-Nya; raunganku sampai kepada pendengaran-Nya.

7Maka bumi pun gempa dan gementar, tapak bukit-bukau bergegar dan bergoncang; kerana Dia murka.

8Asap naik dari hidung-Nya, dan api daripada mulut-Nya menghanguskan, dan bara menyala keluar daripada-Nya.

9Dia menekuk langit lalu turun, kelam pekat ada di bawah kaki-Nya.

10Dia terbang mengenderai malaikat kerubin; Dia melayang di sayap angin.

11Dia menjadikan kegelapan di lelangit di sekeliling-Nya: diselubungi timbunan air kelam dan awan tebal di udara.

12Daripada cahaya di hadapan-Nya awan tebal berlalu, dengan hujan batu dan arang yang menyala.

13TUHAN mengguntur dari langit; Yang Maha Tinggi memperdengarkan panah suara-Nya.

14Dia melepaskan anak-anak panah-Nya sehingga musuh bertempiaran, Dia memancarkan kilat sabung-menyabung lalu menumpaskan mereka.

15Maka saluran di dasar lautan terserlah dan asas bumi terdedah akibat kemurkaan-Mu, ya TUHAN, dan hembusan hebat nafas-Mu.

16Dia menghulurkan tangan-Nya dari langit, Dia menarikku keluar daripada pelbagai bencana yang menenggelamkan.

17Dia menyelamatkanku daripada musuhku yang kuat, daripada mereka yang membenciku, kerana mereka terlalu perkasa bagiku.

18Mereka menyerangku ketika aku dalam kesusahan, tetapi TUHAN menolongku.

19Dia membawaku ke tempat yang luas; Dia menyelamatkanku kerana Dia berkenan kepadaku.

20TUHAN memberiku ganjaran kerana aku melakukan yang benar; Dia menggantikan deritaku dengan rahmat kerana tanganku bersih daripada dosa.

21Kerana aku telah mengikut jalan TUHAN; dan tidak menyeleweng daripada Allahku dengan melakukan kejahatan.

22Segala hukum-Nya ada di hadapanku sebagai panduan; dan aku tidak mengetepikan ketetapan-Nya.

23Di hadirat-Nya aku tidak bercela dan aku mengatasi kejahatan dalam diriku.

24Maka TUHAN memberiku ganjaran kerana aku melakukan yang benar, kerana Dia tahu tanganku bersih daripada dosa.

25Kepada orang yang berbelas kasihan, Engkau memperlihatkan belas kasihan-Mu, kepada orang yang tidak bercela, Engkau memperlihatkan diri-Mu tidak bercela,

26kepada orang yang suci Engkau memperlihatkan kesucian-Mu, kepada orang yang menipu Engkau memperlihatkan kearifan-Mu.

27Engkau menyelamatkan orang yang rendah diri tetapi akan menundukkan orang yang angkuh.

28Engkau, ya TUHAN, akan menyalakan lampuku; TUHAN, Allahku akan menerangi kegelapanku.

29Dengan kekuatan daripada-Mu aku dapat melawan musuh yang ramai; dengan kekuatan daripada Allahku aku dapat melompati tembok.

30Jalan Allah itu sempurna; firman TUHAN terbukti benar. Dialah perisai pelindung semua yang bernaung kepada-Nya.

31Tiada Allah melainkan TUHAN, tiada Batu Pejal melainkan Allah kita.

32Allah yang memberiku kekuatan berjuang dan menjadikan jalan hidupku sempurna.

33Dia menguatkan kakiku seperti kaki rusa; dan memantapkan jejakku di pergunungan.

34Dia melatih tanganku berperang; berupaya melengkungkan busur gangsa.

35Engkau telah memberiku perisai penyelamatan-Mu, tangan kanan-Mu telah memberiku kekuatan; kelunakan-Mu menjadikan aku besar.

36Engkau meluaskan jalan yang kutempuh, supaya kakiku tidak tergelincir.

37Aku telah memburu musuhku dan berdepan dengan mereka; aku tidak berpatah balik hingga kuhapuskan mereka.

38Aku telah melukakan mereka sehingga mereka tidak berdaya bangkit lagi; mereka telah rebah di bawah kakiku.

39Kerana Engkau telah memberiku kekuatan berperang; Engkau telah menundukkan di bawahku mereka yang bangkit menyerangku dahulu.

40Engkau telah menyerahkan nyawa musuhku ke tanganku, supaya aku membinasakan mereka yang membenciku.

41Mereka berteriak, tetapi tiada siapa menyelamatkan mereka – malah mereka merayu kepada TUHAN, tetapi Dia tidak menyahut mereka.

42Lalu aku menghancurkan mereka seperti debu ditiup angin; aku menghumbankan mereka seperti sampah-sarap di jalan.

43Engkau telah menyelamatkan aku daripada serangan; Engkau menjadikan aku pemerintah bangsa asing; bangsa yang tidak kukenali akan tunduk kepadaku.

44Sebaik-baik mereka mendengar tentangku, mereka taat kepadaku; orang asing itu tunduk kepadaku.

45Mereka menjadi putus asa; dan datang dengan ketakutan dari tempat persembunyian.

46TUHAN hidup selama-lamanya! Segala puji bagi TUHAN, Batu Pejalku! Segala kemuliaan bagi Allah, Penyelamatku!

47Allah yang membalas kejahatan orang terhadapku, dan menundukkan bangsa asing di bawahku,

48Dia menyelamatkanku daripada musuhku. Engkau, ya TUHAN, mengangkatku mengatasi mereka yang bangkit menyerangku; Engkau telah menyelamatkanku daripada manusia yang ganas.

49Maka itu aku akan mengucap syukur kepada-Mu, ya TUHAN, dalam kalangan bangsa asing; dan menyanyi memuji nama-Mu.

50TUHAN telah memberi penyelamatan besar kepada orang yang dijadikan-Nya raja; Dia melimpahkan kasih setia kepada orang yang diurapi-Nya, kepada Daud, sampai anak cucu selama-lamanya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Mazmur 18 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
© 2010-2022
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran