Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Nehemia 5 >> 

Nehemia menghentikan penindasan terhadap kalangan miskin

1Timbul pula bantahan keras daripada rakyat biasa dan para isteri mereka terhadap saudara orang Yahudi mereka.

2Ada yang berkata, “Kami memang ramai jika dihitung kami bersama-sama kesemua anak lelaki dan perempuan kami. Amat perlu kami mendapat gandum supaya kami dapat makan dan terus hidup.”

3Ada juga beberapa yang lain yang berkata, “Kami gadaikan ladang, kebun anggur, dan rumah kami demi mendapat gandum selama berlakunya bencana kebuluran.”

4Ada pula yang berkata, “Kami telah meminjam wang untuk membayar cukai yang dikenakan raja atas ladang dan kebun anggur kami.

5Tetapi kini, biarpun kami sedarah daging dengan para saudara kami, dan para anak kami sama dengan para anak mereka, namun kami terpaksa merelakan para anak lelaki dan anak perempuan kami untuk menjadi hamba, bahkan beberapa orang anak perempuan kami sudah diperhamba. Kami tidak berdaya berbuat apa-apa kerana ladang dan kebun anggur kami sudah menjadi milik orang lain.”

6Apabila aku mendengar bantahan mereka dan kata-kata dakwaan ini, aku menjadi sangat marah.

7Setelah mempertimbangkan hal itu, aku berbantah dengan para bangsawan dan para pemimpin. Kataku kepada mereka, “Kamu memungut riba daripada para saudara masing-masing!” Maka kuadakan sidang jemaah yang besar kerana mereka.

8Kataku kepada mereka, “Dengan segala yang termampu oleh kami, telah kami tebus para saudara kita, iaitu orang Yahudi yang dijual kepada bangsa-bangsa lain. Tetapi kamu pula menjual saudara-saudaramu sehingga kami perlu menebus mereka kembali!” Lalu mereka semua terdiam, tidak dapat menjawab apa-apa.

9Lalu kataku, “Apa yang kamu lakukan itu memang tidak baik! Bukankah kamu patut hidup takut kepada Allah kita untuk menghindari celaan bangsa-bangsa lain yang merupakan musuh kita?

10Aku sendiri, para saudaraku, dan anak buahku juga meminjamkan wang serta gandum kepada mereka. Biarlah kita menghapuskan perbuatan menyita gadaian atas hutang itu.

11Pada hari ini juga, kembalikanlah kepada mereka ladang, kebun anggur, kebun zaitun, dan rumah mereka, juga peratusan wang, gandum, air anggur, dan minyak yang kamu tagih daripada mereka.”

12Kata mereka, “Kami akan mengembalikannya dan tidak akan menuntut sesuatu pun daripada mereka. Kami akan berbuat tepat sebagaimana yang tuan katakan.” Kemudian aku memanggil para imam dan menyuruh kesemua warga itu bersumpah bahawa mereka akan bertindak menurut perjanjian itu.

13Aku juga mengebaskan lipatan bajuku sambil berkata, “Demikianlah akan dikebas Allah dari rumahnya dan daripada hasil jerih lelahnya setiap orang yang tidak menepati perjanjian ini. Demikianlah dia dikebas dan dihampakan.” Seluruh jemaah berkata, “Amin,” lalu memuji-muji TUHAN. Maka rakyat melakukan sebagaimana yang dijanjikan mereka itu.

Kemurahan hati Nehemia

14Sejak aku ditetapkan menjadi pembesar di Tanah Yehuda, iaitu selama dua belas tahun sejak tahun kedua puluh sampai tahun ketiga puluh dua pemerintahan Raja Artahsasta, aku dan para saudaraku tidak pernah makan peruntukan makanan pembesar.

15Tetapi dahulunya, para pembesar sebelum aku memang memberatkan beban rakyat. Mereka memungut makanan dan anggur daripada rakyat, selain perak senilai empat puluh syikal. Bahkan anak buah mereka bermaharajalela atas rakyat. Tetapi aku tidak mahu berbuat demikian kerana aku takut kepada Allah.

16Aku juga mencurahkan tenaga dalam kerja-kerja pembinaan semula tembok itu. Kami tidak membeli sebidang tanah pun, dan semua anak buahku dikerahkan ke sana untuk melaksanakan pekerjaan itu.

17Ada seratus lima puluh pemimpin serta warga orang Yahudi yang kujamu di mejaku, selain mereka yang datang kepada kami daripada bangsa-bangsa di sekeliling kami.

18Makanan yang harus disediakan setiap hari ialah seekor lembu dan enam ekor domba pilihan. Beberapa ekor burung juga disediakan bagiku dan setiap sepuluh hari dibekalkan berbagai-bagai jenis air anggur yang begitu banyak. Sungguhpun demikian, aku langsung tidak menuntut peruntukan makanan pembesar kerana rakyat ini sudah memikul tanggungan yang memang teramat berat.

19Ya Allahku, ingatlah aku demi kesejahteraanku, selaras dengan segala yang kulakukan demi bangsa ini.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Nehemia 5 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel