Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Pengkhotbah 2 >> 

Keseronokan itu sia-sia

1Aku berkata dalam hatiku: “Mari, aku mengujimu dengan keseronokan. Maka berseronoklah! Namun demikian, keseronokan juga sia-sia sahaja.”

2Dalam hal ketawa aku berkata: “Itu suatu kegilaan!” Tentang keriangan pula: “Apa gunanya?”

3Aku memikir-mikirkan betapa air anggur merangsang tubuhku walhal akal budiku terus memimpinku dengan hikmah – dan cara menguasai kebodohan sampai aku mampu menyedari apa yang baik-baik bagi anak-anak manusia, yakni perkara yang seharusnya dilakukan mereka dalam ruang lingkup usia mereka hidup di bawah langit ini.

4Maka aku perhebat segala pekerjaanku: untuk diriku, aku membina rumah-rumah, serta membangunkan kebun-kebun anggur;

5aku mengusahakan bagiku kebun-kebun dan taman-taman, dan menanaminya dengan rupa-rupa pohon buah;

6aku menggali kolam-kolam air untuk mengairi hutan rimba iaitu tapak permulaan segala anak pokok.

7Aku membeli abdi lelaki dan perempuan, dan ada abdi yang lahir di rumahku. Aku juga memiliki ternakan dan kawanan haiwan peliharaan yang jumlahnya jauh melebihi pemilikan sesiapa pun yang pernah hidup di Yerusalem sebelum aku.

8Aku mengumpulkan harta berupa emas perak dan khazanah daripada raja-raja dan dari wilayah dan rantau. Aku menyediakan untuk diriku para biduan dan biduanita, serta para gundik yang memang kesukaan anak-anak manusia.

9Maka semakin besar dan hebatlah aku malah jauh lebih besar daripada sesiapa pun yang pernah hidup di Yerusalem sebelum aku; lantas hikmahku terus menetap padaku.

10Tidak juga kuhalang segala kehendak mataku dan tidak kutahan hatiku daripada segala bentuk kegembiraan, kerana hatiku bersukacita hasil segala usahaku dan kesemua itu ganjaran bagi segala jerih payahku.

11Ketika aku meneliti segala pekerjaan yang kulakukan dengan tanganku dan atas segala sudah kuusahakan dengan penat lelah, ketara segalanya kesia-siaan belaka dan usaha menjaring angin yang tiada manfaat di bawah matahari.

Hidup berhikmah sia-sia

12Maka berpalinglah aku lalu meninjau hikmah, kegilaan dan kebodohan itu. Apa yang dapat dilakukan orang yang menggantikan raja kecuali perbuatan yang pernah dibuat sebelum itu.

13Lalu aku dapati betapa hikmah melebihi kebodohan sebagaimana cahaya mengatasi kegelapan.

14Bagi orang yang bijaksana, matanya ada di kepalanya walhal orang yang bodoh berjalan dalam kegelapan, tetapi aku tahu juga bahawa takdir yang sama menimpa mereka semua.

15Maka aku berkata dalam hatiku: “Kejadian yang menimpa orang bodoh juga akan menimpa aku, jadi bagaimanakah aku ini lebih bijaksana?” Lalu aku berkata dalam hati, bahawa ini semua juga sia-sia.

16Baik bagi orang yang bijaksana mahupun bagi orang yang bodoh, tiada kenangan yang abadi, kerana kesemuanya akan dilupakan pada hari-hari yang mendatang. Bukankah kematian menimpa baik orang yang bijaksana mahupun yang bodoh?

17Maka aku membenci kehidupan kerana kerja yang kubuat di bawah matahari perkara yang teruk kepadaku, segala-galanya hanya kesia-siaan laksana usaha menjaring angin.

Jerih payah yang sia-sia

18Ya, aku membenci segala usaha jerih payahku yang dilakukan di bawah matahari kerana aku tetap terpaksa meninggalkannya kepada orang yang datang sesudah aku.

19Siapa yang tahu sama ada orang itu bijaksana atau bodoh? Namun begitu, dia tetap menguasai segala yang kuusahakan dengan jerih payah dan bijaksana di bawah matahari itu. Maka hanya sia-sia juga semuanya.

20Lalu aku berubah hati dan berputus asa dengan segala usahaku berpenat lelah di bawah matahari.

21Ada orang yang berjerih payah dengan bijaksana, ilmu pengetahuan dan kemahiran akhirnya terpaksa menyerahkan hasilnya kepada orang yang tidak berpenat lelah untuk hasil itu. Hal ini pun kesia-siaan dan amat malang.

22Faedah apa yang diperoleh manusia hasil segala usahanya sepenuh hati serta dengan berpenat lelah di bawah matahari?

23Sepanjang usianya, hidupnya penuh dengan kesedihan dan pekerjaannya begitu teruk, malahan pada malam hari pun ketenteraman tidak mengunjunginya. Itu juga kesia-siaan.

24Bukankah tiada yang lebih baik bagi manusia kecuali makan dan minum dan bersenang-lenang hasil usahanya berpenat lelah? Aku sedar betapa rahmat itu juga daripada tangan Allah.

25Sebabnya siapalah yang dapat makan dan merasai kenikmatan itu tanpa rahmat-Nya?

26Sebabnya kepada orang yang Dia berkenan dalam hati-Nya, Allah menganugerahkan hikmah, ilmu pengetahuan dan kegembiraan, tetapi kepada pendosa Dia serahkan tugas untuk mengumpul dan menimbunkan hasil yang kelak terpaksa diberikannya kepada orang yang diperkenan Allah. Maka ini juga kesia-siaan dan usaha menjaring angin.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Pengkhotbah 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel