Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Ulangan 27 >> 

Batu peringatan dan mazbah di Gunung Ebal

1Musa dan para tua-tua Israel memberikan perintah kepada bangsa itu demikian, “Peganglah dengan teguh segala perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini.

2Pada hari kamu menyeberangi Sungai Yordan menuju negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu, dirikanlah beberapa batu besar lalu tempelkan lepa pada batu-batu itu.

3Setelah kamu menyeberang, tuliskanlah pada batu-batu itu semua kata dalam hukum Taurat ini supaya kamu dapat masuk ke negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu, iaitu negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu seperti yang dijanjikan TUHAN, Allah nenek moyangmu, kepadamu.

4Setelah kamu menyeberangi Sungai Yordan, batu-batu itu – seperti kuperintahkan kepadamu pada hari ini – hendaklah kamu dirikan di Gunung Ebal dan tempelkan lepa pada batu-batu itu.

5Di sana, hendaklah kamu bangunkan sebuah mazbah yang terbuat daripada batu bagi TUHAN, Allahmu. Jangan kamu gunakan sebarang perkakas besi pada mazbah itu.

6Hendaklah mazbah bagi TUHAN, Allahmu, itu dibangunkan daripada batu yang belum dipahat, dan hendaklah di atasnya kaupersembahkan korban-korban bakaran kepada TUHAN, Allahmu.

7Persembahkanlah juga korban-korban kedamaian, lalu makanlah semua itu di sana dan bersuka rialah di hadapan TUHAN, Allahmu.

8Tuliskanlah pada batu-batu itu semua kata dalam hukum Taurat ini sejelas-jelasnya.”

Kutukan dari Gunung Ebal

9Kemudian Musa dan para imam Lewi berbicara kepada semua orang Israel, “Diamlah dan dengarlah, wahai orang Israel! Pada hari ini kamu telah menjadi umat TUHAN, Allahmu.

10Oleh sebab itu patuhilah TUHAN, Allahmu, dan lakukanlah segala perintah-Nya serta segala kanun-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini.”

11Pada hari itu juga Musa memberikan perintah kepada bangsa itu,

12“Sesudah kamu menyeberangi Sungai Yordan, hendaklah suku-suku ini berdiri di Gunung Gerizim untuk memberkati umat itu: suku Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, Yusuf, dan Benyamin.

13Dan hendaklah suku-suku ini berdiri di Gunung Ebal untuk menyampaikan kutukan: suku Ruben, Gad, Asyer, Zebulon, Dan, serta Naftali.

14Kemudian hendaklah bani Lewi berkata kepada semua orang Israel dengan suara nyaring:

15‘Terlaknatlah orang yang membuat patung ukiran atau patung tuangan daripada logam – suatu kekejian bagi TUHAN, buatan tangan seorang tukang – dan yang mendirikannya secara sembunyi-sembunyi.’ Lalu seluruh bangsa itu harus menjawab, ‘Amin!’

16‘Terlaknatlah orang yang mengaibkan ayah dan ibunya.’ Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’

17‘Terlaknatlah orang yang memindahkan tanda sempadan tanah jirannya.’ Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’

18‘Terlaknatlah orang yang menyesatkan orang buta di jalan.’ Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’

19‘Terlaknatlah orang yang memutarbalikkan keadilan kaum pendatang, anak yatim, dan balu.’ Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’

20‘Terlaknatlah orang yang bersetubuh dengan isteri ayahnya kerana dia telah mengaibkan ayahnya.’ Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’

21‘Terlaknatlah orang yang bersetubuh dengan apa-apa pun jenis haiwan.’ Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’

22‘Terlaknatlah orang yang bersetubuh dengan saudaranya perempuan, iaitu anak ayahnya atau anak ibunya.’ Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’

23‘Terlaknatlah orang yang bersetubuh dengan ibu mertuanya.’ Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’

24‘Terlaknatlah orang yang membunuh jirannya dengan sembunyi-sembunyi.’ Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’

25‘Terlaknatlah orang yang menerima rasuah untuk membunuh orang yang tidak bersalah.’ Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’

26‘Terlaknatlah orang yang tidak menegakkan perkataan hukum Taurat ini dengan melaksanakannya.’ Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ulangan 27 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel