Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Ulangan 8 >> 

Pemberian TUHAN di gurun

1Segala perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini wajib kamu lakukan dengan setia supaya kamu dapat hidup, bertambah ramai, dan dapat memasuki serta memiliki negeri yang telah TUHAN sumpah untuk memberikannya kepada nenek moyangmu.

2Ingatlah seluruh perjalanan yang kamu tempuh dalam pimpinan TUHAN, Allahmu, di gurun selama empat puluh tahun ini. Melalui semua itu Dia bermaksud untuk merendahkan hatimu, menguji kamu, dan mengetahui apa yang ada dalam hatimu, sama ada kamu mahu berpegang teguh pada segala perintah-Nya atau tidak.

3Dia merendahkan hatimu, membiarkan kamu lapar, dan memberi kamu makan manna, iaitu makanan yang belum pernah dikenali, baik oleh kamu mahupun oleh nenek moyangmu, supaya kamu sedar bahawa manusia hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi dengan setiap firman yang keluar daripada mulut TUHAN.

4Selama empat puluh tahun ini pakaianmu tidak menjadi usang pada tubuhmu dan kakimu pun tidak menjadi bengkak.

5Maka sedarilah dalam hatimu bahawa seperti seseorang yang mendidik anaknya, demikianlah TUHAN, Allahmu, mendidik kamu.

6Oleh sebab itu peganglah dengan teguh pada segala perintah TUHAN, Allahmu, dengan cara tetap melangkah mengikut jalan-Nya serta takut kepada-Nya.

7TUHAN, Allahmu, sedang menghantar kamu ke negeri yang baik, iaitu negeri dengan aliran sungai, mata air, dan sumber air yang dalam, yang memancar di lembah-lembah serta di gunung-gunung;

8negeri dengan gandum, barli, pokok anggur, pokok ara, dan pokok delima; negeri dengan minyak zaitun dan madu.

9Di negeri itu kamu akan makan roti tanpa harus berjimat, dan kamu tidak akan kekurangan sesuatu pun. Batu-batan di negeri itu juga mengandungi besi, dan daripada pergunungannya kamu dapat menggali tembaga.

10Kamu akan makan sampai kenyang dan kamu akan memuji TUHAN, Allahmu, atas negeri yang baik yang dikurniakan-Nya kepadamu.

11Hati-hati, jangan sampai kamu lupa TUHAN, Allahmu, dengan tidak berpegang teguh pada segala perintah-Nya, peraturan-Nya, dan kanun-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini.

12Setelah kamu makan sampai kenyang, setelah kamu membina rumah-rumah yang baik dan tinggal di dalamnya,

13setelah bertambah banyak kawanan lembu dan kawanan dombamu, juga perak dan emas kamu, serta segala sesuatu yang kamu miliki,

14jangan sampai kamu menjadi takbur dan lupa TUHAN, Allahmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan.

15Dialah yang memimpin kamu berjalan di gurun yang luas dan menakutkan, tempat ular berbisa dan kala jengking, dengan tanah yang kering kontang dan tidak berair. Dialah yang telah memancarkan air bagimu dari batu pejal yang keras,

16dan Dia jugalah yang telah memberi kamu makan manna di gurun, iaitu makanan yang belum pernah dikenal oleh nenek moyangmu. Maksud semua itu ialah untuk merendahkan hatimu serta menguji kamu, sehingga akhirnya membuahkan kebaikan bagimu.

17Jangan sampai kamu berkata dalam hatimu, ‘Kekuatan dan keperkasaan tangankulah yang membuat aku memiliki kekayaan ini.’

18Sebaliknya, ingatlah TUHAN, Allahmu, kerana Dialah yang memberikan kepadamu kekuatan untuk memperoleh kekayaan itu, demi meneguhkan perjanjian yang telah Dia sumpah kepada nenek moyangmu, seperti pada hari ini.

19Jika kamu benar-benar melupakan TUHAN, Allahmu, lalu mengikuti tuhan-tuhan lain, beribadat kepada semua tuhan itu dan sujud menyembah kepadanya, maka pada hari ini aku mengingatkan kamu bahawa kamu pasti binasa.

20Sama seperti bangsa-bangsa yang dibinasakan TUHAN di hadapanmu, demikianlah kamu akan dibinasakan, kerana kamu tidak mahu mematuhi TUHAN, Allahmu.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ulangan 8 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel