Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Wahyu 2 >> 

Surat kepada jemaah di Efesus

1“Kepada malaikat jemaah di Efesus, tulislah: Inilah firman daripada Dia yang memegang tujuh bintang di tangan kanan-Nya dan yang melangkah di antara tujuh kaki pelita daripada emas:

2Aku tahu perbuatanmu, jerih payahmu dan ketabahanmu. Aku tahu bahawa kamu tidak tahan lagi dengan kejahatan orang durjana. Kamu telah menguji orang yang membuat pengakuan palsu bahawa mereka rasul padahal mereka bukan, dan kamu telah mendapati mereka itu pendusta.

3Kamu tetap tabah dan tetap menderita kerana nama-Ku tanpa berputus asa.

4Namun demikian, Aku mencelamu kerana satu perkara: Kamu telah meninggalkan kasihmu yang pertama.

5Sedarilah betapa dalamnya kamu telah terjerumus. Bertaubatlah dan lakukanlah apa yang kamu lakukan mula-mula lagi. Jika tidak, Aku akan datang dan mengalihkan kaki pelitamu dari tempatnya.

6Namun demikian, ada sesuatu yang baik padamu: Kamu benci akan perbuatan pengikut Nikolaus yang juga Kubenci.

7Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah. Kepada yang menang akan Kuizinkan makan buah dari pokok hayat di Taman Firdaus Allah.”

Surat kepada jemaah di Smirna

8“Kepada malaikat jemaah di Smirna, tulislah: Inilah firman daripada Dia Yang Pertama dan Yang Terakhir, yang telah mati dan hidup semula.

9Aku tahu akan kesengsaraanmu. Aku tahu kamu miskin, tetapi sebenarnya kamu kaya. Aku tahu akan fitnah yang dilemparkan kepadamu oleh orang yang mengaku diri orang Yahudi tetapi sebenarnya mereka bukan. Mereka jemaah Iblis.

10Janganlah takut terhadap apa yang akan kamu deritai kelak. Ketahuilah, Iblis akan menghumbankan sebilangan daripadamu ke dalam penjara untuk mengujimu. Kamu akan menanggung kesengsaraan selama sepuluh hari. Setialah sampai mati, maka Aku akan menganugerahimu mahkota hidup sebagai ganjaran kemenangan.

11Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah. Mereka yang menang tidak akan mengalami sengsara kematian yang kedua.”

Surat kepada jemaah di Pergamus

12“Kepada malaikat jemaah di Pergamus, tulislah: Inilah firman daripada Dia yang memiliki sebilah pedang mata dua yang tajam.

13Aku tahu akan tempat kediamanmu. Di situlah Iblis bertakhta. Namun demikian, kamu setia berpegang kepada nama-Ku. Malah kamu tidak menyangkal imanmu kepada-Ku ketika Antipas, saksi-Ku yang setia, dibunuh di tempat kediaman Iblis.

14Tetapi Aku mencelamu kerana beberapa perkara: Ada di antaramu yang menganut ajaran Bileam. Bileam telah mengajak Balak untuk memujuk umat Israel supaya berdosa dengan makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala serta melakukan pencabulan.

15Secara itu juga ada sebilangan daripadamu yang mengikut ajaran Nikolaus.

16Bertaubatlah. Jika tidak, Aku akan datang segera kepadamu dan menyerang mereka dengan pedang yang keluar dari mulut-Ku.

17Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah. Aku akan memberikan sebahagian manna yang tersembunyi kepada sesiapa yang menang. Juga Aku akan memberinya batu putih yang bertulis nama baru, yang tidak diketahui oleh sesiapa selain penerimanya.”

Kepada jemaah di Tiatira

18“Kepada malaikat jemaah di Tiatira, tulislah: Inilah kata-kata daripada Anak Allah, yang mata-Nya menyala-nyala seperti api, dan kaki-Nya laksana gangsa digilap.

19Aku tahu perbuatanmu, kasihmu, imanmu, pelayananmu dan ketabahanmu. Aku juga tahu bahawa kamu sekarang lebih banyak berusaha daripada dahulu.

20Namun demikian, Aku mencelamu kerana satu perkara: Kamu membenarkan perempuan bernama Izebel yang mengaku dirinya nabiah Allah itu mengajar umat-Ku. Dia mengajar dan menyesatkan hamba-hamba-Ku sehingga mereka melakukan pencabulan dan makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala.

21Aku telah memberinya peluang untuk bertaubat tetapi dia enggan menghentikan perbuatannya yang cabul.

22Ketahuilah, Aku akan menghukumnya ke atas ranjang dengan sakit terlantar dan mereka yang berzina dengannya akan menanggung kesengsaraan yang dahsyat melainkan mereka bertaubat daripada perbuatan mereka dengannya.

23Aku juga akan meragut nyawa anak-anaknya, supaya seluruh jemaah tahu bahawa Akulah yang menyelami hati dan fikiran manusia. Aku akan memberikan balasan yang setimpal dengan perbuatan setiap orang.

24Tetapi sesetengah daripada kamu di Tiatira tidak mengikut ajaran durjana itu. Kamu tidak menuntut ilmu daripada Iblis. Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan menambahkan bebanmu dengan kewajipan baru.

25Namun demikian, kamu haruslah memelihara apa yang sudah ada padamu, hingga saat Aku datang nanti.

26Kepada yang menang dan melakukan kehendak-Ku sampai akhir akan Kuanugerahi kekuasaan ke atas bangsa-bangsa.

27‘Dia akan memerintah mereka dengan tongkat besi kerajaan dan meremukkan mereka seperti tembikar’ – seiring dengan kekuasaan yang telah Kuterima daripada Bapa-Ku.

28Aku akan menganugerahi mereka bintang fajar.

29Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Wahyu 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel