Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 22 >> 

Dosa-dosa Yerusalem

1Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,

2‘Engkau, wahai anak manusia, mahukah engkau menghakimi? Mahukah engkau menghakimi kota penumpah darah itu? Beritahukanlah segala kekejiannya kepadanya.

3Katakan: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Wahai kota! Engkau menumpahkan darah di tengah-tengahmu sehingga tibalah waktu penghukumanmu! Engkau membuat berhala-berhala bagi dirimu sehingga engkau menjadi najis!

4Engkau bersalah kerana darah yang kautumpahkan, dan engkau najis kerana berhala-berhala yang kaubuat. Engkau membuat ajalmu mendekat dan akhir tahun-tahun kehidupanmu tiba. Oleh sebab itu Aku membuat engkau menjadi celaan bangsa-bangsa dan bahan olok-olok segala negeri.

5Mereka yang dekat dan mereka yang jauh daripadamu akan mengolok-olokkan engkau, wahai kota yang kenajisannya terkenal dan yang penuh huru-hara.

6Lihat, di dalammu pemimpin Israel menggunakan kekuasaan masing-masing untuk menumpahkan darah,

7ayah dan ibu dipandang rendah. Orang melakukan pemerasan terhadap pendatang di tengah-tengahmu, anak yatim dan balu ditindas.

8Barang-barang tempat suci-Ku kauremehkan dan hari-hari Sabat-Ku kaucemari.

9Di dalammu pun ada manusia pemfitnah yang berniat menumpahkan darah, demikian pula kalangan yang makan daging korban di atas gunung-gunung. Kecabulan dilakukan di tengah-tengahmu:

10orang bersentuh dengan isteri ayahnya, dan perempuan yang najis kerana dalam haidnya diperkosa;

11yang satu melakukan kekejian dengan isteri jirannya, yang lain menajiskan menantunya dengan perbuatan keji, dan yang lain lagi memperkosa saudara perempuannya, anak kandung ayahnya.

12Di tengah-tengahmu pula orang menerima suap untuk menumpahkan darah. Engkau mengambil wang bunga dan riba. Engkau mengambil untung daripada jiranmu dengan pemerasan, sedangkan Aku kaulupakan, demikianlah firman Tuhan ALLAH.

13Ketahuilah, Aku murka kerana laba haram yang kauperoleh dan kerana darah yang tumpah di tengah-tengahmu.

14Adakah hatimu akan tetap teguh dan tanganmu tetap kuat pada waktu Aku bertindak menanganimu? Aku, TUHAN, telah berfirman dan akan melaksanakannya.

15Aku akan mencerai-beraikan engkau dalam kalangan bangsa dan menyerakkan engkau ke pelbagai negeri. Akan Kukikis kenajisan kamu daripada dirimu.

16Engkau akan dinista di hadapan mata bangsa-bangsa, dan engkau akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’

17Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,

18‘Wahai anak manusia, keturunan kaum Israel telah menjadi seperti kotoran perak bagi-Ku. Mereka semua seperti tembaga, timah putih, besi, dan timah hitam di dalam dapur peleburan. Ya, mereka seperti kotoran perak.

19Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan ALLAH, “Kerana kamu semua telah menjadi kotoran perak, maka sesungguhnya, Aku akan mengumpulkan kamu di tengah-tengah Yerusalem.

20Seperti orang mengumpulkan perak, tembaga, besi, timah hitam, dan timah putih di dalam dapur peleburan lalu menghembuskan api kepadanya dan meleburnya, demikian pulalah Aku akan mengumpulkan kamu dalam murka-Ku serta amarah-Ku. Aku akan menaruh kamu di situ lalu melebur kamu.

21Aku akan mengumpulkan kamu dan menghembuskan api murka-Ku kepadamu sehingga kamu lebur di dalamnya.

22Seperti perak lebur di dalam dapur peleburan, demikianlah kamu akan dilebur di dalamnya. Maka kamu akan tahu bahawa Aku, TUHAN, telah mencurahkan murka-Ku kepadamu.” ’

23Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,

24‘Wahai anak manusia, katakanlah kepadanya, “Engkau tanah yang tidak diterangi dan tidak dituruni hujan pada hari kemurkaan.

25Nabi-nabinya bersekongkol di tengah-tengahnya seperti singa yang mengaum dan mencabik-cabik mangsa. Mereka melahap jiwa orang dan merampas harta benda serta barang-barang berharga. Mereka menambah jumlah balu di tengah-tengahnya.

26Para imamnya memperkosa hukum-Ku dan mencemarkan barang-barang tempat suci-Ku. Mereka tidak membezakan antara yang suci dengan yang biasa, tidak menyatakan perbezaan antara yang najis dengan yang tahir, dan menutup mata terhadap hari-hari Sabat-Ku sehingga Aku dinista di tengah-tengah mereka.

27Para pembesar di tengah-tengahnya seperti serigala yang mencabik-cabik mangsa. Mereka menumpahkan darah dan melenyapkan nyawa orang demi mengejar laba.

28Para nabinya melabur mereka dengan kapur sambil menyampaikan penglihatan tipuan dan tenungan dusta kepada mereka. Kata nabi-nabi itu, ‘Beginilah firman Tuhan ALLAH,’ padahal TUHAN tidak berfirman.

29Rakyat negeri melakukan penganiayaan dan perampasan. Mereka menindas orang miskin dan orang melarat serta memeras pendatang tanpa mengendahkan hukum.

30Aku mencari di tengah-tengah mereka seorang yang hendak mendirikan tembok atau yang mempertahankan negeri itu di hadapan-Ku, supaya jangan Kumusnahkan, tetapi Aku tidak menemukannya.

31Oleh sebab itu Aku mencurahkan murka-Ku terhadap mereka. Kumusnahkan mereka dengan api murka-Ku, Kubalas perilaku mereka kepada mereka sendiri, demikianlah firman Tuhan ALLAH.” ’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yehezkiel 22 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel