Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 23 >> 

Ibarat tentang adik-beradik Ohola dan Oholiba

1Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,

2‘Wahai anak manusia, ada dua orang perempuan, iaitu saudara seibu.

3Mereka berzina di Mesir pada masa muda mereka, dan di sana mereka kehilangan keperawanan mereka.

4Nama yang tua ialah Ohola dan nama adiknya ialah Oholiba; Ohola mewakili Samaria dan Oholiba mewakili Yerusalem. Mereka milik-Ku. Kemudian mereka melahirkan anak-anak lelaki dan perempuan.

5Ketika Ohola masih menjadi milik-Ku, dia berzina. Dia berahi kepada para kekasihnya, orang Asyur, iaitu anggota tenteranya

6yang berpakaian kain biru, pembesar dan penguasa; semuanya pemuda yang menawan hati, pasukan penunggang kuda.

7Dia berzina dengan mereka semua, orang Asyur pilihan. Kepada sesiapa pun ia berahi, dinajiskannya diri dengan segala berhala mereka.

8Perzinaan yang pernah dilakukannya di Mesir tidak dihentikannya. Sejak masa mudanya orang memang sudah menidurinya, mengambil keperawanannya, dan melampiaskan nafsu zina mereka kepadanya.

9Oleh sebab itu Aku menyerahkan dia ke dalam tangan para kekasihnya, iaitu ke dalam tangan orang Asyur yang dighairahkannya.

10Mereka menelanjangi dia. Anak-anaknya baik lelaki mahupun perempuan ditangkap. Dia sendiri dibunuh dengan pedang sehingga namanya menjadi perbualan golongan perempuan ketika hukuman dijatuhkan kepadanya.

11Sekalipun adiknya Oholiba melihat hal itu, berahinya lebih merosakkan lagi daripada kakaknya dan perzinaannya melebihi perzinaan kakaknya.

12Dia pun berahi kepada orang Asyur, iaitu kepada pembesar dan penguasa, anggota tenteranya yang mengenakan pakaian lengkap, pasukan penunggang kuda; semuanya ialah pemuda yang menawan hati.

13Kulihat bahawa dia menajiskan dirinya pula. Jadi, mereka berdua sama perilaku mereka.

14Dia bahkan menambah perzinaannya. Dia melihat susuk-susuk lelaki terukir di dinding, iaitu gambar orang Kasdim yang terukir dalam warna merah

15dengan sabuk terlilit di pinggang dan serban berjuntai di kepala mereka. Semuanya kelihatan seperti perwira, gambaran orang Babel dari Kasdim, tanah kelahiran mereka.

16Sebaik sahaja matanya melihat semua itu, dia terus mengghairahkan mereka lalu dikirimnya utusan kepada mereka ke Tanah Kasdim.

17Maka datanglah orang Babel kepadanya, ke ranjang percintaannya, lalu menajiskan dia dengan nafsu zina mereka. Setelah dia dibuat najis oleh mereka, dijauhinya mereka dengan rasa muak.

18Kerana dia terang-terangan melakukan perzinaannya dan memperlihatkan auratnya, maka Aku pun menjauhinya dengan rasa muak, sama seperti Aku menjauhi kakaknya.

19Akan tetapi, dia menambah perzinaannya lagi sambil mengenang masa mudanya ketika dia berzina di Tanah Mesir.

20Dia berahi terhadap gundik mereka, yang aurat mereka seperti aurat keldai dan air mani mereka seperti air mani kuda.

21Demikianlah engkau merindukan kecabulan masa mudamu ketika engkau kehilangan keperawananmu di Mesir.

22Oleh sebab itu, wahai Oholiba, beginilah firman Tuhan ALLAH, “Sesungguhnya, Aku akan membangkitkan para kekasihmu untuk melawan engkau, iaitu mereka yang kaujauhi dengan rasa muak. Aku akan mendatangkan mereka dari segala penjuru untuk melawan engkau:

23orang Babel dan semua orang Kasdim; orang Pekod, orang Soa, dan orang Koa; serta semua orang Asyur, iaitu semuanya ialah pemuda yang menawan hati, pembesar dan penguasa, perwira serta orang terkenal, semuanya penunggang kuda.

24Mereka akan mendatangimu dengan persenjataan, rata, kenderaan beroda, dan sekumpulan bangsa. Engkau akan dikepung dengan memakai perisai besar, perisai kecil, dan ketopong. Aku akan mempercayakan penghakiman kepada mereka dan mereka akan menghakimi engkau menurut undang-undang mereka.

25Akan Kubalas kecemburuan-Ku kepadamu. Mereka akan memperlakukan engkau dengan kemarahan. Mereka pun akan mengerat hidung dan telingamu, serta saki-baki orangmu akan tewas oleh pedang. Kemudian mereka akan menangkap anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan, dan saki-baki orangmu akan dimakan api.

26Pakaianmu akan dilucuti mereka dan barang-barang perhiasanmu akan dirampas mereka.

27Demikianlah Aku menghentikan kecabulan dan perzinaan yang kaulakukan sejak di Tanah Mesir. Engkau tidak akan melirik mereka lagi dan tidak akan mengingat-ingat Mesir lagi.”

28Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Ketahuilah, Aku akan menyerahkan engkau ke dalam tangan kalangan yang kaubenci, ke dalam tangan orang yang kaujauhi dengan rasa muak.

29Mereka akan memperlakukan engkau dengan penuh kebencian dan akan merampas segala hasil jerih payahmu. Mereka akan meninggalkan engkau tanpa busana sehingga engkau menjadi tontonan umum. Kecabulanmu dan perzinaanmu

30telah menimpakan hal ini ke atasmu kerana engkau berzina dengan bangsa-bangsa dan menajiskan diri dengan berhala mereka.

31Engkau hidup menurut perilaku kakakmu, sebab itu Aku akan menaruh cawannya di tanganmu.”

32Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Engkau harus minum dari cawan kakakmu, cawan yang dalam dan lebar. Engkau akan ditertawakan dan diolok-olokkan kerana cawan itu banyak isinya.

33Engkau akan dipenuhi kemabukan dan dukacita. Cawan kengerian dan kehancuran itu ialah cawan kakakmu Samaria.

34Engkau akan meminumnya habis. Engkau akan mengunggis kepingannya dan mengoyak buah dadamu, kerana Aku telah berfirman,” demikianlah firman Tuhan ALLAH.

35Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan ALLAH, “Kerana engkau melupakan Aku dan membelakangi Aku, maka tanggunglah sendiri akibat daripada kecabulan dan perzinaanmu.” ’

36TUHAN berfirman kepadaku, ‘Wahai anak manusia, mahukah engkau menghakimi Ohola dan Oholiba? Beritahulah mereka fasal segala kekejian mereka,

37kerana mereka telah berzina dan tangan mereka berlumuran darah. Mereka berbuat kafir dengan berhala-berhala. Bahkan anak-anak lelaki yang dilahirkan mereka sebagai milik-Ku telah dipersembahkan mereka sebagai korban yang dibakar bagi berhala mereka untuk menjadi santapan.

38Hal ini juga dilakukan mereka terhadap Aku. Pada waktu yang bersamaan, mereka menajiskan tempat suci-Ku dan mencemari hari Sabat-Ku.

39Setelah mereka menyembelih anak-anak mereka bagi berhala mereka, pada hari itu juga mereka masuk ke dalam tempat suci-Ku sehingga mencemarinya. Sungguh, itulah yang dilakukan mereka di dalam Bait-Ku.

40Tambahan lagi, mereka meminta orang datang dari jauh dengan mengirimkan utusan kepada mereka. Apabila mereka datang engkau mandi, mencelak mata, dan mendandani dirimu dengan segala perhiasan.

41Engkau duduk di atas tempat tidur yang amat elok, dan meja yang tertata ada di hadapannya. Di atasnya kautaruh dupa dan minyak yang seharusnya dipersembahkan kepada-Ku.

42Bunyi keramaian orang yang bersenang-senang ada di sekitarnya. Beberapa orang pemabuk dibawa dari gurun bersama dengan orang ramai. Mereka memakai gelang pada tangan mereka dan mahkota kemuliaan pada kepala mereka.

43Lalu Aku berkata tentang dia yang telah uzur dalam perzinaannya, “Masih mahukah orang berbuat zina dengan dia? Dengan dia ini?”

44Mereka bercampur dengan dia seperti orang bersentuh dengan perempuan sundal. Demikianlah mereka bercampur dengan Ohola dan Oholiba, perempuan-perempuan yang cabul itu.

45Tetapi golongan orang benar akan menjatuhkan hukuman terhadap mereka, iaitu hukuman bagi perempuan yang berzina dan hukuman bagi perempuan yang menumpahkan darah, kerana mereka golongan perempuan yang berzina serta tangan mereka berlumuran darah.

46Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Biarlah sekumpulan orang maju melawan mereka dan menyerahkan mereka kepada kengerian serta perampasan.

47Kumpulan orang itu akan merejam mereka dengan batu dan menebas mereka dengan pedang. Anak-anak mereka baik lelaki mahupun perempuan akan dibunuh dan rumah mereka dibakar habis.

48Demikianlah Aku akan menghentikan kecabulan di negeri itu supaya semua perempuan dapat mengambil iktibar dan tidak melakukan kecabulan seperti kamu.

49Kecabulanmu akan dibalas kepadamu dan kamu harus menanggung dosa-dosa penyembahan berhalamu. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah Tuhan ALLAH.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yehezkiel 23 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel