Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 3 >> 

1Firman-Nya kepadaku, ‘Wahai anak manusia, makanlah apa yang kaudapati di sini. Makanlah gulungan ini lalu pergi dan berbicaralah kepada keturunan kaum Israel.’

2Maka kungangakan mulutku, dan Dia memberi aku makan gulungan itu.

3Firman-Nya kepadaku, ‘Wahai anak manusia, makanlah dan isilah perutmu dengan gulungan yang Kuberikan kepadamu ini.’ Lalu aku pun memakannya; rasanya manis seperti madu di dalam mulutku.

4Firman-Nya kepadaku, ‘Wahai anak manusia, pergilah, temui keturunan kaum Israel dan sampaikanlah firman-Ku kepada mereka.

5Sesungguhnya, engkau bukan diutus kepada suatu bangsa yang bahasanya sulit dan yang ucapannya sukar, melainkan kepada keturunan kaum Israel –

6bukan kepada banyak bangsa yang ucapan mereka sulit dan bahasa mereka sukar, yang tidak dapat kaufahami perkataan mereka. Sekiranya Aku mengutus engkau kepada bangsa yang demikian, maka mereka akan mendengar engkau.

7Tetapi keturunan kaum Israel tidak akan mahu mendengar engkau, sebab mereka tidak mahu mendengar Aku kerana seluruh keturunan kaum Israel itu keras kepala dan degil hati.

8Ketahuilah, Aku membuat hatimu sekukuh hati mereka dan pendirianmu sekuat pendirian mereka.

9Kujadikan pendirianmu seperti batu api yang lebih keras daripada batu gunung. Jangan takut kepada mereka dan jangan kecut hati melihat muka mereka, kerana mereka merupakan keturunan kaum yang derhaka.’

10Dia berfirman pula kepadaku, ‘Wahai anak manusia, taruhlah dalam hatimu segala firman yang Kusampaikan kepadamu dan dengarlah baik-baik.

11Pergilah, temui orang buangan, iaitu orang yang sebangsa denganmu, dan berbicaralah kepada mereka. Katakan kepada mereka, “Beginilah firman Tuhan ALLAH,” entah mereka mahu mendengar ataupun tidak.’

12Maka Roh Allah mengangkat aku, lalu kudengar di belakangku suara gemuruh yang besar mengatakan, ‘Segala puji bagi kemuliaan TUHAN di tempat Dia bersemayam!’

13Kudengar pula bunyi sayap makhluk-makhluk hidup itu bergeseran satu sama lain dan bunyi roda-roda yang ada di sisi mereka, suatu bunyi gemuruh yang besar.

14Roh itu pun mengangkat dan membawa aku. Aku pergi dengan perasaan pahit dan dengan hati yang membara, kuasa TUHAN meliputi aku dengan hebat.

15Kemudian aku sampai di tempat orang buangan yang tinggal di tepi Sungai Kebar di Tel-Abib. Di sana, di tempat mereka tinggal, aku duduk tertegun dalam kalangan mereka selama tujuh hari.

Yehezkiel dipanggil menjadi penjaga Israel

16Setelah tujuh hari, datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,

17‘Wahai anak manusia, Aku telah menetapkan engkau untuk menjadi penjaga bagi keturunan kaum Israel. Oleh sebab itu dengarlah firman daripada-Ku dan berilah mereka peringatan atas nama-Ku.

18Kalau Aku berfirman kepada orang fasiq, “Engkau pasti mati,” dan engkau tidak menasihati dia atau berbicara mengingatkan orang fasiq itu tentang jalan hidupnya yang fasiq supaya dia tetap hidup, maka orang fasiq itu akan mati kerana dosanya, tetapi darahnya akan Kutuntut daripadamu.

19Sebaliknya, kalau engkau mengingatkan orang fasiq itu, dan dia tidak juga berbalik daripada kefasiqannya atau daripada jalan hidupnya yang fasiq, maka dia akan mati kerana dosanya, tetapi engkau telah menyelamatkan nyawamu.

20Kalau seorang yang benar membelakangi perbenarannya dan melakukan kezaliman, lalu Kuletakkan batu sandungan di depannya, maka dia akan mati. Dia akan mati kerana dosanya apabila engkau tidak mengingatkan dia, dan segala perbuatan salih yang dilakukannya tidak akan diingat lagi, tetapi darahnya akan Kutuntut daripada tanganmu.

21Sebaliknya, kalau engkau mengingatkan orang yang benar itu supaya jangan dia berbuat dosa, dan dia benar-benar tidak berbuat dosa, maka dia akan tetap hidup kerana dia mahu menerima peringatan, dan engkau telah menyelamatkan nyawamu.’

Yehezkiel menjadi bisu

22Kemudian kuasa TUHAN meliputi aku di sana dan Dia berfirman kepadaku, ‘Segeralah pergi ke lembah! Di sana Aku akan berfirman kepadamu.’

23Aku pun segera pergi ke lembah. Tampak kemuliaan TUHAN hadir di sana, sama seperti kemuliaan yang kulihat di tepi Sungai Kebar. Lalu bersujudlah aku.

24Kemudian Roh masuk ke dalamku dan membuat aku berdiri. Dia berfirman kepadaku demikian, ‘Pergilah, hendaklah engkau mengurung diri di rumahmu.

25Ketahuilah, wahai anak manusia, engkau akan diikat dengan tali dan akan dibelenggu sehingga engkau tidak dapat bergerak di tengah-tengah mereka.

26Aku akan membuat lidahmu melekat ke langit-langit mulutmu sehingga engkau menjadi kelu dan tidak dapat menegur mereka, kerana mereka ialah keturunan kaum yang derhaka.

27Akan tetapi, ketika Aku berfirman kepadamu, Aku akan membuka mulutmu dan engkau harus berkata kepada mereka, “Beginilah firman Tuhan ALLAH.” Sesiapa yang mahu mendengar biarlah dia mendengar, dan siapa yang tidak mahu mendengar biarkanlah dia, kerana mereka ialah keturunan kaum yang derhaka.’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yehezkiel 3 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel