Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 13 >> 

Ikat pinggang yang jadi lapuk

1Beginilah firman TUHAN kepadaku, “Pergilah, belilah ikat pinggang daripada kain linen. Kenakannya pada pinggangmu, tetapi jangan sampai terkena air!”

2Maka aku pun membeli ikat pinggang selaras dengan firman TUHAN, lalu mengenakannya pada pinggangku.

3Kemudian untuk kali kedua datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,

4“Ambillah ikat pinggang yang telah kaubeli, yang ada pada pinggangmu itu. Segeralah pergi ke Sungai Efrat, dan sembunyikanlah ikat pinggang itu di sana, di celah-celah bukit batu.”

5Maka pergilah aku menyembunyikan ikat pinggang itu di tepi Sungai Efrat, seperti yang diperintahkan TUHAN kepadaku.

6Setelah beberapa hari lamanya, TUHAN berfirman kepadaku, “Segeralah pergi ke Sungai Efrat dan ambillah dari sana ikat pinggang yang Kusuruh kausembunyikan di sana!”

7Maka aku pun pergi ke Sungai Efrat. Kulakukan penggalian dan kuambil ikat pinggang itu dari tempat aku menyembunyikannya. Ternyata ikat pinggang itu sudah lapuk, tidak berguna untuk apa-apa pun.

8Kemudian datanglah firman TUHAN kepadaku,

9“Beginilah firman TUHAN, ‘Demikianlah kelak Kutiadakan kesombongan Yehuda dan kesombongan besar Yerusalem.

10Bangsa yang durjana ini – yang enggan mendengar firman-Ku, yang menuruti kedegilan hati dan mengikuti tuhan-tuhan lain untuk beribadat serta sujud menyembah tuhan-tuhan itu – akan menjadi seperti ikat pinggang ini, yang tidak berguna untuk apa-apa pun.

11Seperti ikat pinggang yang melekat pada pinggang seseorang, demikianlah tadinya Aku melekatkan seluruh keturunan kaum Israel dan seluruh keturunan kaum Yehuda pada-Ku,’ demikianlah firman TUHAN, ‘supaya mereka menjadi umat yang ternama, terpuji, serta terhormat bagi-Ku. Tetapi mereka tidak mahu mendengar.’ ”

Buyung anggur yang dipecahkan

12“Katakanlah kepada mereka firman ini, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah Israel: Setiap buyung harus dipenuhi dengan air anggur.’ Jika mereka berkata kepadamu, ‘Tidakkah kami tahu bahawa setiap buyung harus dipenuhi dengan air anggur?’

13maka katakanlah kepada mereka, ‘Beginilah firman TUHAN: Sesungguhnya, Aku akan memenuhi seluruh penduduk negeri ini – raja yang duduk di atas takhta Daud, imam, nabi, dan seluruh penduduk Yerusalem – dengan kemabukan.

14Aku akan menghempaskan mereka atas satu sama lain, ayah dan anak sekali gus, demikianlah firman TUHAN. Aku akan membinasakan mereka tanpa rasa sayang, tanpa rasa hiba, dan tanpa belas kasihan.”

Peringatan dan ancaman

15Dengarlah dan pasanglah telingamu! Jangan sombong, kerana TUHAN telah berfirman.

16Muliakanlah TUHAN, Allahmu, sebelum Dia mendatangkan kegelapan dan sebelum kakimu tersandung di atas pergunungan pada waktu senja. Kamu mengharapkan cahaya, tetapi Dia mengubahnya menjadi bayang-bayang maut. Dia menjadikannya kelam pekat.

17Tetapi jika kamu tidak mahu mendengar, aku akan menangisi kesombonganmu di tempat tersembunyi. Aku akan menangis tersedu-sedu dan menitiskan air mata, kerana kawanan domba TUHAN telah ditawan.

18Katakanlah kepada raja dan kepada bonda permaisuri, “Duduklah di tempat yang rendah kerana perhiasan kepalamu telah diturunkan, iaitu mahkota kemuliaanmu.”

19Kota-kota di Tanah Negeb ditutup dan tidak ada yang dapat membukanya. Seluruh Yehuda diangkut ke tempat pembuangan, semuanya diangkut ke tempat pembuangan.

20Layangkanlah pandangan dan lihatlah orang yang datang dari utara! Di manakah kawanan ternak yang diberikan kepadamu, kawanan domba yang kaumegahkan itu?

21Apakah yang akan kaukatakan apabila diangkat menjadi kepalamu orang yang kaulatih menjadi sekutumu? Tidakkah rasa sakit akan mencengkam engkau seperti halnya perempuan yang bersalin?

22Jika engkau bertanya-tanya dalam hatimu, “Mengapa hal-hal ini terjadi kepadaku?” Itu terjadi kerana banyaknya kesalahanmu, sehingga hujung kainmu disingkapkan dan engkau diperkosa.

23Dapatkah orang Ethiopia mengubah kulitnya, atau harimau bintang mengubah bintiknya? Jika dapat, maka kamu pun yang biasa berbuat jahat akan dapat berbuat baik.

24“Aku akan mencerai-beraikan mereka seperti tunggul jerami yang diterbangkan angin gurun.

25Inilah nasibmu, bahagian yang telah Kutakar untukmu,” demikianlah firman TUHAN, “kerana engkau telah melupakan Aku dan mempercayai dusta.

26Aku pun akan menyingkapkan hujung kainmu sampai ke mukamu sehingga aibmu kelihatan,

27iaitu perzinaanmu dan ringkikan berahimu, persundalanmu yang lucah di atas bukit-bukit di padang. Aku telah melihat perbuatanmu yang menjijikkan itu. Malangnya engkau, wahai Yerusalem! Berapa lama lagi engkau tidak mahu disucikan?”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 13 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel