Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 21 >> 

Pembuangan Raja Zedekia

1Firman daripada TUHAN turun kepada Yeremia ketika Raja Zedekia mengutus Pasyhur anak Malkia dan Imam Zefanya anak Maaseya kepadanya dengan pesan,

2“Tolong tanyakan petunjuk TUHAN bagi kami, kerana Nebukadnezar, raja Babel, berperang melawan kami! Barangkali TUHAN akan bertindak bagi kami selaras dengan segala perbuatan-Nya yang ajaib, sehingga Nebukadnezar mundur daripada kami.”

3Kata Yeremia kepada mereka, “Katakanlah kepada Zedekia,

4‘Beginilah firman TUHAN, Allah Israel: Sesungguhnya, Aku akan membalikkan senjata-senjata perang di tanganmu, iaitu senjata-senjata yang kamu gunakan untuk berperang melawan raja Babel serta orang Kasdim ketika mereka mengepung kamu di luar tembok. Akan Kukumpulkan semuanya ke tengah-tengah kota ini,

5lalu Aku sendiri akan berperang melawan kamu dengan tangan terhulur dan lengan yang kuat, dengan amarah, kegusaran, serta murka yang besar.

6Aku akan memukul penghuni kota ini, baik manusia mahupun binatang. Mereka akan mati oleh wabak penyakit yang hebat.

7Sesudah itu, demikianlah firman TUHAN, Aku akan menyerahkan Zedekia, raja Yehuda, berserta para pegawainya dan rakyat kota ini yang terselamat daripada wabak penyakit, pedang, dan bencana kebuluran, ke dalam tangan Nebukadnezar raja Babel, ke dalam tangan musuh-musuh mereka, dan ke dalam tangan orang yang mengancam nyawa mereka. Dia akan membantai mereka dengan mata pedang tanpa berasa hiba kepada mereka, tanpa berasa sayang, dan tanpa belas kasihan.’

8Kemudian kepada bangsa ini katakanlah, ‘Beginilah firman TUHAN: Sesungguhnya, Aku menghadapkan kepadamu jalan kehidupan dan jalan kematian.

9Sesiapa yang tetap tinggal di dalam kota ini akan mati oleh pedang, bencana kebuluran, serta wabak penyakit. Tetapi siapa keluar dan menyerahkan diri kepada orang Kasdim yang mengepung kamu, dia akan tetap hidup. Nyawanya akan seperti barang jarahan bagi dirinya sendiri.

10Aku telah berketetapan untuk mendatangkan malapetaka atas kota ini dan bukan kebaikan, demikianlah firman TUHAN. Kota ini akan diserahkan ke dalam tangan raja Babel, dan dia akan membakarnya habis.”

Nubuat melawan Raja Yehuda

11Mengenai keluarga raja Yehuda, dengarlah firman TUHAN:

12“Wahai keturunan kaum Daud, beginilah firman TUHAN, ‘Tegakkanlah keadilan setiap pagi dan lepaskanlah orang yang dirompak daripada tangan penganiayanya, supaya murka-Ku tidak memancar seperti api dan menyala-nyala sehingga tidak ada yang dapat memadamkan, kerana perbuatan-perbuatanmu yang jahat.

13Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawanmu, wahai penghuni lembah, wahai batu pejal di dataran, demikianlah firman TUHAN, wahai kamu yang berkata: Siapakah berani turun mendatangi kami? Siapakah berani memasuki tempat kediaman kami?

14Aku akan menghukum kamu setimpal dengan hasil perbuatanmu, demikianlah firman TUHAN. Aku akan menyalakan api di hutannya yang akan memakan habis segala sesuatu di sekelilingnya.’ ”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 21 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel