Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 34 >> 

Yeremia memberitahukan nasib Raja Zedekia

1Demikianlah firman yang turun daripada TUHAN kepada Yeremia ketika Nebukadnezar, iaitu raja Babel, berserta dengan seluruh pasukannya dan segala kerajaan di bumi serta segala bangsa yang ada di bawah kuasanya sedang memerangi Yerusalem dan segala kotanya,

2“Beginilah firman TUHAN, Allah Israel: Pergilah dan bicaralah kepada Zedekia, raja Yehuda. Katakan kepadanya, ‘Beginilah firman TUHAN: Sesungguhnya, Aku akan menyerahkan kota ini ke dalam tangan raja Babel dan dia akan membakarnya habis.

3Engkau tidak akan dapat menyelamatkan diri daripada tangannya, melainkan pasti ditangkap dan diserahkan ke dalam tangannya. Engkau akan bertatapan muka dengan raja Babel dan dia akan berbicara denganmu secara langsung, lalu engkau akan pergi ke Babel.

4Meskipun begitu, dengarlah firman TUHAN, wahai Zedekia, raja Yehuda! Beginilah firman TUHAN mengenai engkau: Engkau tidak akan mati oleh pedang,

5melainkan akan mati dengan damai. Sebagaimana orang menyalakan api untuk menghormati nenek moyangmu, iaitu raja-raja terdahulu yang hidup sebelum engkau, demikianlah orang akan menyalakan api untuk menghormati engkau. Mereka akan meratapi engkau, “Aduh, tuan!” Akulah yang menyampaikan firman ini, demikianlah firman TUHAN.’ ”

6Nabi Yeremia menyampaikan seluruh firman ini kepada Zedekia, raja Yehuda, di Yerusalem,

7ketika pasukan raja Babel sedang memerangi Yerusalem dan segala kota Yehuda yang masih tersisa, iaitu Lakhis dan Azeka. Inilah kota-kota berkubu yang masih tersisa antara kota Yehuda.

Janji kepada para hamba Ibrani diingkari

8Kemudian turun lagi firman daripada TUHAN kepada Yeremia setelah Raja Zedekia mengikat perjanjian dengan seluruh rakyat yang ada di Yerusalem untuk memaklumkan kebebasan,

9iaitu supaya setiap orang melepaskan hambanya yang berbangsa Ibrani baik lelaki mahupun perempuan sebagai orang merdeka, sehingga tiada seorang pun memperhamba sesama orang Yehuda.

10Semua pembesar dan seluruh rakyat yang ikut serta dalam perjanjian itu setuju bahawa setiap orang harus melepaskan hambanya baik lelaki mahupun perempuan sebagai orang merdeka sehingga tidak ada lagi yang diperhamba. Mereka semua setuju lalu melepaskan para hamba itu.

11Akan tetapi, tidak lama kemudian mereka berubah fikiran dan mengambil kembali para hamba lelaki dan perempuan yang telah dilepaskan mereka sebagai orang merdeka, lalu menundukkan mereka lagi menjadi hamba lelaki dan perempuan.

12Maka datanglah firman daripada TUHAN kepada Yeremia demikian,

13“Beginilah firman TUHAN, Allah Israel: Aku telah mengikat perjanjian dengan nenek moyangmu pada waktu Aku membawa mereka keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan, demikian,

14‘Pada akhir tujuh tahun, setiap orang harus melepaskan sesama orang Ibrani yang telah dijual kepadamu dan menghamba kepadamu enam tahun lamanya. Engkau harus melepaskannya sebagai orang merdeka.’ Tetapi nenek moyangmu tidak mahu mendengar Aku dan tidak mahu memberikan perhatian.

15Kebelakangan ini kamu bertaubat dan melakukan apa yang benar di mata-Ku, kerana setiap orang mengisytiharkan kebebasan kepada saudaranya dan kamu telah mengikat perjanjian di hadapan-Ku, di bait yang disebut dengan nama-Ku.

16Namun demikian, kamu kemudian berubah fikiran dan mencemarkan nama-Ku. Kamu masing-masing mengambil kembali hambamu, baik lelaki mahupun perempuan, yang telah kamu lepaskan sebagai orang merdeka untuk pergi sesuka hatinya. Kamu menundukkan mereka menjadi hambamu lagi, baik lelaki mahupun perempuan.

17Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN: Kamu tidak mahu mentaati Aku untuk mengisytiharkan kebebasan bagi saudaramu dan kawanmu. Maka ketahuilah, Aku mengisytiharkan ‘kebebasan’ bagimu, demikianlah firman TUHAN – ‘kebebasan’ untuk ditimpa pedang, wabak penyakit, dan bencana kebuluran. Aku akan membuat kamu menjadi kengerian bagi segala kerajaan di bumi.

18Aku akan menyerahkan orang yang melanggar perjanjian-Ku. Mereka tidak melaksanakan isi perjanjian yang telah diikat mereka di hadirat-Ku dengan memotong anak lembu jantan menjadi dua lalu berjalan di antara belahannya.

19Pembesar Yehuda, pembesar Yerusalem, pegawai istana, imam, dan seluruh rakyat negeri yang telah berjalan di antara belahan anak lembu jantan itu

20akan Kuserahkan ke dalam tangan musuh-musuh mereka dan ke dalam tangan orang yang mengancam nyawa mereka. Mayat mereka akan menjadi makanan burung di udara dan binatang di bumi.

21Zedekia, raja Yehuda dan para pembesarnya akan Kuserahkan ke dalam tangan musuh-musuh mereka, ke dalam tangan orang yang mengancam nyawa mereka, dan ke dalam tangan pasukan raja Babel yang sekarang telah mundur daripadamu.

22Sesungguhnya, Aku akan memberikan perintah, demikianlah firman TUHAN, dan membawa mereka kembali ke kota ini untuk memeranginya, merebutnya, dan membakarnya habis. Aku akan menjadikan kota-kota Yehuda sunyi sepi, tanpa penduduk.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 34 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel