Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 40 >> 

Yeremia tinggal dengan pembesar Gedalya

1Firman daripada TUHAN turun kepada Yeremia setelah Nebuzaradan, kepala pasukan pengawal, melepaskan dia dari Rama. Dia diambil dalam keadaan terikat rantai di tengah-tengah semua orang buangan dari Yerusalem dan Yehuda yang dibuang ke Babel.

2Kepala pasukan pengawal itu mengambil Yeremia dan berkata kepadanya, “TUHAN, Allahmu, telah mengancamkan malapetaka ini terhadap tempat ini.

3Sekarang TUHAN telah melaksanakannya dan bertindak selaras dengan firman-Nya. Kerana kamu telah berdosa terhadap TUHAN dan tidak mahu mematuhi-Nya, maka hal ini terjadi kepada kamu.

4Sekarang lihatlah, hari ini aku melepaskan engkau daripada rantai di tanganmu. Jika menurutmu baik untuk pergi ke Babel bersamaku, marilah. Aku akan mengurus engkau. Tetapi jika menurutmu tidak baik untuk pergi bersama-samaku ke Babel, tinggallah. Lihat, seluruh negeri ini terbuka bagimu. Pergilah ke tempat yang baik dan tepat menurutmu.”

5Sebelum Yeremia berbalik dia menambahkan, “Pulanglah kepada Gedalya anak Ahikam anak Safan yang diangkat raja Babel menjadi pembesar atas kota-kota Yehuda. Tinggallah bersama-samanya di tengah-tengah rakyat, atau pergilah ke tempat mana-mana pun yang tepat menurutmu.” Kemudian kepala pasukan pengawal memberinya bekal makanan dan suatu pemberian, lalu melepaskan dia pergi.

6Maka Yeremia pergi menghadap Gedalya anak Ahikam di Mizpa, dan tinggal bersama-samanya di tengah-tengah saki-baki rakyat di negeri itu.

Gedalya, pembesar Yehuda

7Setelah semua panglima pasukan yang masih berada di padang berserta dengan anak buah mereka mendengar bahawa raja Babel telah mengangkat Gedalya anak Ahikam menjadi pembesar atas negeri itu dan menyerahkan kepadanya pengawasan lelaki, perempuan, serta anak-anak, iaitu sebahagian orang termiskin di negeri itu yang tidak dibuang ke Babel,

8maka datanglah mereka menghadap Gedalya di Mizpa. Mereka ialah: Ismael anak Netanya Yohanan dan Yonatan, anak-anak Kareah Seraya anak Tanhumet anak-anak Efai, orang Netofa Yezanya, anak seorang Maakha berserta anak-anak buah mereka.

9Gedalya anak Ahikam anak Safan bersumpah kepada mereka dan anak-anak buah mereka, katanya, “Janganlah takut kepada orang Kasdim. Tinggallah di negeri ini dan berkhidmatlah kepada raja Babel. Maka keadaan hidupmu akan menjadi baik.

10Mengenai aku, sesungguhnya aku akan tinggal di Mizpa untuk mewakili kamu di hadapan orang Kasdim yang akan datang kepada kita. Tetapi kamu, kumpulkanlah air anggur, buah-buahan musim panas, dan minyak. Simpanlah di dalam wadahmu dan tinggallah di kota-kota yang telah kamu duduki.”

11Semua orang Israel yang tinggal di Moab, di antara bani Amon, di Edom, dan di semua negeri lain pun mendengar bahawa raja Babel telah membiarkan tinggal saki-baki orang Yehuda dan mengangkat Gedalya anak Ahikam anak Safan sebagai pembesar mereka.

12Maka kembalilah semua orang Israel itu dari segala tempat ke mana mereka telah terhalau, lalu masuk ke Tanah Yehuda menghadap Gedalya di Mizpa. Mereka mengumpulkan banyak sekali air anggur dan buah-buahan musim panas.

13Pada suatu kali, Yohanan anak Kareah dan semua panglima pasukan yang masih berada di padang datang menghadap Gedalya di Mizpa.

14Mereka berkata kepadanya, “Tahukah tuan bahawa Baalis, raja bani Amon, telah menyuruh Ismael anak Netanya untuk membunuh tuan?” Tetapi Gedalya anak Ahikam tidak mempercayai mereka.

15Kemudian Yohanan anak Kareah berbicara secara diam-diam kepada Gedalya di Mizpa, katanya, “Izinkanlah aku pergi membunuh Ismael anak Netanya. Tiada seorang pun akan tahu. Mengapa dia harus membunuh tuan sehingga semua orang Israel yang telah berkumpul di sekeliling tuan harus tercerai-berai lagi dan saki-baki orang Yehuda binasa?”

16Tetapi kata Gedalya anak Ahikam kepada Yohanan anak Kareah, “Jangan lakukan hal itu, kerana yang kaukatakan tentang Ismael itu bohong.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 40 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel