Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 46 >> 

Firman TUHAN tentang bangsa-bangsa

1Firman TUHAN datang kepada Nabi Yeremia mengenai bangsa-bangsa.

Tentang Mesir

2Mengenai Mesir. Dalam hal pasukan raja Mesir Firaun Nekho di tepi Sungai Efrat di Karkemis, yang dikalahkan oleh raja Babel Nebukadnezar pada tahun keempat zaman pemerintahan raja Yehuda Yoyakim anak Yosia:

3“Siapkanlah perisai kecil dan perisai besar, majulah untuk berperang!

4Pasanglah kuda dan naiklah, wahai pasukan berkuda! Aturlah kedudukanmu sambil memakai ketopong, kilatkanlah tombak, kenakanlah baju zirah.

5Mengapakah Aku melihatnya? Mereka ketakutan, mereka mundur. Para kesateria mereka dikalahkan, dan lari kucar-kacir tanpa menoleh. Kegentaran dari segala jurusan!” demikianlah firman TUHAN.

6“Orang yang tangkas tidak dapat melarikan diri, kesateria tidak dapat menyelamatkan diri. Di sebelah utara, di tepi Sungai Efrat, mereka tersandung lalu jatuh.

7Siapakah yang meluap seperti Sungai Nil ini, yang airnya deras bergelora seperti sungai-sungai?

8Mesir meluap seperti Sungai Nil, airnya deras bergelora seperti sungai-sungai. Dia berkata, ‘Aku hendak meluap meliputi bumi. Aku hendak membinasakan kota dan penduduknya.’

9Majulah, wahai segala kuda, berpaculah, wahai segala rata! Biarlah para kesateria keluar, orang Kush dan orang Put yang memegang perisai, orang Lidia yang memegang dan melenturkan busur.

10Itulah hari Tuhan, ALLAH alam semesta, hari pembalasan untuk menuntut balas kepada lawan-lawan-Nya. Pedang akan makan sampai kenyang dan akan puas minum darah mereka, kerana Tuhan, ALLAH alam semesta, mengadakan upacara korban di tanah utara, di tepi Sungai Efrat.

11Pergilah ke Gilead dan ambillah balsam, wahai perawan, puteri Mesir! Sia-sia kauguna banyak ubat, tidak ada kesembuhan bagimu.

12Bangsa-bangsa telah mendengar tentang aibmu, bumi telah penuh dengan jeritanmu. Kesateria yang satu tersandung pada kesateria yang lain, kedua-duanya jatuh bersama-sama.”

13Firman yang disampaikan TUHAN kepada Nabi Yeremia mengenai kedatangan Nebukadnezar, raja Babel, untuk menyerang Tanah Mesir,

14“Beritahukanlah di Mesir dan khabarkanlah di Migdol! Khabarkanlah di Memfis dan di Tahpanhes! Katakanlah, ‘Aturlah kedudukanmu dan bersiaplah, kerana pedang memakan habis sekelilingmu.’

15Mengapakah tumbang orangmu yang perkasa? Mereka tidak dapat bertahan, kerana TUHAN mengusir mereka.

16Dia membuat ramai orang tersandung, bahkan jatuh, seorang menimpa yang lain. Kata mereka, ‘Mari kita kembali kepada bangsa kita dan ke negeri kelahiran kita untuk menghindari pedang yang mengamuk ini.’

17Di sana mereka berseru, ‘Firaun, raja Mesir, hanya tukang ribut sahaja. Dia membiarkan kesempatan berlalu begitu sahaja.’

18Demi Aku yang hidup,” demikianlah firman Sang Raja yang bernama TUHAN alam semesta, “sungguh, seperti Tabor di antara gunung dan seperti Karmel di tepi laut, demikianlah dia akan datang.

19Kemaslah barang-barangmu untuk diangkut ke tempat pembuangan, wahai penduduk, wahai puteri Mesir, kerana Memfis akan menjadi tandus dan akan dibakar sehingga tidak berpenduduk lagi.

20Mesir itu lembu betina muda yang sangat elok, tetapi lalat pikat dari sebelah utara mendatanginya.

21Juga tentera upahan di tengah-tengahnya seperti anak lembu tambun. Mereka pun berpaling lalu melarikan diri bersama-sama, mereka tidak dapat bertahan, kerana hari kemalangan mendatangi mereka, iaitu masa penghukuman mereka.

22Bunyinya seperti ular melata ketika mereka maju dengan pasukan mereka. Mereka mendatangi dia dengan kapak, seperti penebang pokok.

23Mereka akan menebang hutannya,” demikianlah firman TUHAN, “sekalipun hutan itu tidak dapat diterobos. Mereka lebih banyak daripada belalang, tidak terhitung jumlahnya.

24Puteri Mesir akan malu, dia akan diserahkan ke dalam tangan bangsa dari utara.”

25TUHAN alam semesta, Allah Israel, berfirman, “Sesungguhnya, Aku akan menjatuhkan hukuman atas Dewa Amon dari Tebe, atas Firaun, atas Mesir, atas dewa-dewanya, dan atas raja-rajanya – atas Firaun dan atas orang yang bergantung kepadanya.

26Aku akan menyerahkan mereka ke dalam tangan orang yang mengancam nyawa mereka, iaitu ke dalam tangan Nebukadnezar, raja Babel, dan ke dalam tangan para pegawainya. Tetapi kemudian negeri itu akan didiami seperti pada zaman dahulu,” demikianlah firman TUHAN.

27“Jangan takut, wahai hamba-Ku Yakub, jangan kecut hati, wahai Israel. Sesungguhnya, Aku akan menyelamatkan engkau dari tempat yang jauh, dan keturunanmu dari negeri tempat mereka ditawan. Yakub akan kembali dan hidup tenang, aman tanpa ada yang mengusik.

28Jangan takut, wahai hamba-Ku Yakub,” demikianlah firman TUHAN, “kerana Aku menyertai engkau. Aku akan memusnahkan segala bangsa tempat Aku menghalau engkau, tetapi Aku tidak akan memusnahkan engkau. Meski demikian, Aku akan menghukum engkau dengan adil, dan tidak akan begitu sahaja membebaskan engkau daripada hukuman.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 46 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel