Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 48 >> 

Tentang Moab

1Mengenai Moab. Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, “Malangnya Nebo, kerana kota itu dirosakkan. Kiryataim malu dan direbut, kota benteng itu malu dan dihancurkan.

2Kemasyhuran Moab tidak ada lagi. Di Hesbon orang merancang malapetaka untuk menentangnya: ‘Mari kita lenyapkannya sehingga ia tidak lagi menjadi sebuah bangsa.’ Juga engkau, wahai Madmen, akan dibisukan, engkau akan dikejar pedang.

3Dari Horonaim terdengar bunyi teriakan, ‘Kemusnahan dan kehancuran besar!’

4Moab dihancurkan, kanak-kanaknya menjerit-jerit.

5Sungguh, orang mendaki tanjakan Luhit sambil terus menangis, dan di lereng Horonaim terdengar teriakan yang menyesakkan kerana kehancuran.

6Larilah, selamatkanlah diri! Jadilah seperti semak di gurun!

7Kerana engkau bergantung pada perbuatanmu dan hartamu, maka engkau pun akan direbut. Kamos akan diangkut ke tempat pembuangan dengan para pemuka agama dan pembesarnya sekali gus.

8Si pembinasa akan datang ke segala kota, tidak ada kota yang akan terselamat. Lembah akan binasa, tanah datar akan musnah, kerana TUHAN telah berfirman.

9Berikanlah sayap kepada Moab, supaya dia terbang pergi. Kota-kotanya akan menjadi sunyi, tidak ada yang tinggal di dalamnya.

10Terkutuklah orang yang lalai dalam melakukan pekerjaan TUHAN! Terkutuklah orang yang menahan pedang-Nya daripada penumpahan darah!

11Moab hidup aman sejak masa mudanya, ia hidup tenang di atas endapan anggurnya. Belum pernah ia dituangkan daripada sebuah bejana kepada bejana yang lain, dan belum pernah dia diangkut ke tempat pembuangan. Oleh sebab itu cita rasanya tetap padanya dan baunya tidak berubah.

12Maka sesungguhnya, waktunya akan datang,” demikianlah firman TUHAN, “bahawa Aku akan mengutus kepadanya orang yang akan menuangkannya, mengosongkan bejana-bejananya, dan memecahkan buyung-buyungnya.

13Moab akan malu kerana Kamos, sebagaimana keturunan kaum Israel malu kerana Betel, tempat mereka bergantung.

14Bagaimana engkau boleh berkata, ‘Kami ini kesateria, orang yang gagah perkasa untuk berperang’?

15Moab rosak dan kota-kotanya dimasuki orang. Pemudanya yang terpilih telah rebah untuk dibantai,” demikianlah firman Sang Raja yang bernama TUHAN alam semesta.

16“Bencana Moab sudah hampir tiba, kesusahannya datang begitu cepat.

17Ratapilah ia, wahai semua yang ada di sekelilingnya, wahai semua yang mengenal namanya. Katakanlah, ‘Betapa tampuk kekuasaan itu patah, tongkat kemuliaan itu!’

18Turunlah daripada kemuliaanmu, duduklah di tanah yang gersang, wahai penduduk, wahai puteri Dibon, kerana pembinasa Moab maju mendatangi engkau, memusnahkan kubu-kubumu.

19Berdirilah di tepi jalan dan tengoklah, wahai penduduk Aroer. Bertanyalah kepada lelaki yang melarikan diri dan kepada perempuan yang menyelamatkan diri, katakanlah, ‘Apakah yang telah terjadi?’

20Moab malu kerana ia dihancurkan. Meraung-raunglah dan berteriaklah, uar-uarkanlah di Arnon bahawa Moab telah dimusnahkan.

21Penghukuman telah berlaku di atas tanah datar, atas Holon, Yahas, Mefaat,

22Dibon, Nebo, Bet-Diblataim,

23Kiryataim, Bet-Gamul, Bet-Meon,

24Keriot, Bozra, dan segala kota di Tanah Moab, baik yang jauh mahupun yang dekat.

25Kejayaan Moab dikerat, kekuasaannya patah,” demikianlah firman TUHAN.

26“Buatlah ia mabuk, kerana ia membesarkan diri terhadap TUHAN. Moab akan berkubang dalam muntahnya. Ia juga akan menjadi bahan tertawaan orang.

27Bukankah Israel menjadi bahan ketawamu? Adakah dia ditawan antara pencuri sehingga engkau menggeleng-gelengkan kepala setiap kali engkau membicarakannya?

28Tinggalkanlah kota-kotamu dan berdiamlah di bukit batu, wahai penduduk Moab. Jadilah seperti burung merpati yang bersarang di sisi mulut gua.

29Kami telah mendengar tentang kebongkakan Moab – ia memang sangat sombong tentang keangkuhannya dan kebongkakannya, kesombongannya dan tinggi hatinya.

30Aku tahu akan kegeramannya,” demikianlah firman TUHAN, “bualannya itu tidak benar, tindakannya pun tidak benar.”

31Oleh sebab itu aku akan meratap kerana Moab, aku akan berteriak kerana seluruh Moab. Orang akan merintih kerana orang Kir-Heres.

32Melebihi tangisan Yaezer, aku akan menangisi engkau, wahai pokok anggur Sibma. Carang-carangmu melintasi laut, mencapai Laut Yaezer, tetapi si pembinasa melanda buah-buah musim panasmu dan penuaian buah anggurmu.

33Kesukaan dan kegembiraan telah hilang dari ladang yang subur serta dari Tanah Moab. Aku menyingkirkan anggur dari tempat pemerasan. Tidak ada lagi yang mengirik dengan sorak-sorai kegembiraan, sorak-sorai bukanlah lagi sorak-sorai kegembiraan.

34“Dari Hesbon sampai ke Eleale dan ke Yahas suara jeritan terdengar, juga dari Zoar sampai ke Horonaim dan Eglat-Selisia. Sungguh, air di Nimrim pun menjadi kering.

35Demikianlah firman TUHAN, Aku akan melenyapkan orang di Moab, yang mempersembahkan korban di bukit pemujaan dan yang membakar dupa kepada tuhan mereka.”

36“Oleh sebab itu hati-Ku bersenandung seperti seruling kerana Moab. Hati-Ku bersenandung seperti seruling kerana orang Kir-Heres. Kekayaan yang diperoleh mereka sudah hilang.

37Sungguh, setiap kepala digondolkan dan setiap janggut dicukur. Pada setiap tangan ada torehan dan pada setiap pinggang ada kain perkabungan.

38Di atas setiap bumbung rumah Moab dan di tempat-tempat umumnya ada ratapan belaka, kerana Aku telah memecahkan Moab seperti barang yang tidak diinginkan orang,” demikianlah firman TUHAN.

39“Betapa dia hancur dan meraung-raung! Betapa Moab membalikkan badan dengan malu! Moab menjadi bahan tertawaan dan kengerian bagi semua yang ada di sekelilingnya.”

40Beginilah firman TUHAN, “Sesungguhnya, dia akan terbang cepat seperti burung rajawali dan mengembangkan sayapnya atas Moab.

41Keriot direbut, kubu-kubu pertahanan diduduki. Pada waktu itu hati kesateria Moab akan seperti hati perempuan yang sedang sakit bersalin.

42Moab akan dimusnahkan sehingga tidak menjadi sebuah bangsa lagi, kerana ia membesarkan diri terhadap TUHAN.

43Kengerian, lubang jebakan, dan perangkap menantimu, wahai penduduk Moab,” demikianlah firman TUHAN.

44“Sesiapa yang lari menghindari kengerian itu akan terperosok ke dalam lubang jebakan, sesiapa naik dari dalam lubang jebakan, akan terkena perangkap, kerana Aku akan mendatangkan tahun penghukuman atasnya, ya, atas Moab,” demikianlah firman TUHAN.

45“Di bawah naungan Hesbon orang pelarian berhenti tanpa daya, kerana api keluar dari Hesbon dan nyala api dari tengah-tengah Sihon, lalu melahap pelipis Moab dan ubun-ubun orang yang berbuat gempar.

46Malangnya engkau, wahai Moab! Binasalah umat Kamos! Anak lelakimu dibawa tertawan dan anak perempuanmu menjadi tawanan.

47Namun demikian, Aku akan memulihkan keadaan Moab pada kemudian hari,” demikianlah firman TUHAN. Sampai di sinilah penghukuman ke atas Moab.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 48 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel