Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yesaya 24 >> 

Bumi dihancurkan

1Sesungguhnya, TUHAN akan membinasakan bumi dan menanduskannya. Dia akan membalikkan permukaannya dan mencerai-beraikan penduduknya.

2Maka nasib yang sama akan menimpa imam sebagaimana umat, Tuan sebagaimana hamba lelakinya, cik puan sebagaimana hamba perempuannya, penjual sebagaimana pembeli, peminjam sebagaimana pemberi pinjaman, penghutang sebagaimana pemiutang.

3Bumi akan binasa sepenuhnya dan disamun habis-habisan. Sesungguhnya, TUHAN telah menyampaikan firman ini.

4Bumi berkabung dan layu, dunia merana dan layu, bangsa yang termasyhur di bumi pun merana.

5Bumi dinajiskan oleh penduduknya, kerana mereka melanggar hukum, mengubah ketetapan, dan mengingkari perjanjian yang kekal.

6Itulah sebabnya bumi dimamah kutukan dan penduduknya menanggung kesalahan mereka sendiri. Itulah sebabnya penduduk bumi dihanguskan sehingga sedikit sahaja orang yang tertinggal.

7Air anggur berkabung, pokok anggur merana, semua orang yang bersuka hati berkeluh-kesah.

8Terhenti sudah kemeriahan bunyi rebana, tamat sudah kemeriahan orang yang bersuka ria, ria bunyi kecapi pun terhenti.

9Orang tidak lagi minum air anggur sambil bernyanyi, arak terasa pahit bagi peminumnya.

10Kota yang kacau itu hancur, semua rumah tertutup sehingga tidak dapat dimasuki.

11Orang menjerit di jalan-jalan kerana kekurangan air anggur. Segala kesukaan menjadi kesuraman, kegirangan bumi pun hilang.

12Di dalam kota hanya terdapat kehancuran, pintu gerbang musnah diruntuhkan.

13Begitulah akan terjadi di seluruh bumi, di antara bangsa, iaitu seperti pada waktu orang menjolok buah zaitun, seperti pada waktu pemetikan susulan apabila penuaian buah anggur telah berakhir.

14Mereka menyaringkan suara, mereka bersorak-sorai, mereka memekik dari sebelah barat demi keagungan TUHAN.

15Oleh sebab itu muliakanlah TUHAN di sebelah timur, muliakanlah nama TUHAN, Allah Israel, di daerah-daerah pesisir laut.

16Dari hujung bumi kami dengar nyanyian, “Kemuliaan bagi Yang Maha Benar.” Tetapi kataku, “Merana aku! Merana aku! Malangnya aku! Orang khianat berkhianat, bahkan semakin berkhianat!”

17Kengerian, lubang jebak, dan perangkap menantimu, wahai penduduk bumi.

18Jadi, siapa berlari menghindari bunyi yang mengerikan itu akan terperosok ke dalam lubang jebak, siapa naik dari dalam lubang jebak akan terkena perangkap. Sesungguhnya, tingkap-tingkap di langit terbuka dan dasar-dasar bumi bergoncang.

19Bumi hancur lebur, bumi pecah belah, bumi kegoncangan.

20Bumi terhuyung-huyung seperti orang mabuk dan bergoyang-goyang seperti gubuk dilanda ribut. Beban segala pelanggarannya amat berat sehingga ia roboh dan tidak bangkit lagi.

21Pada waktu itu TUHAN akan menghukum para angkatan di langit dan raja-raja bumi, di atas bumi.

22Mereka akan dikumpulkan bersama-sama, seperti tahanan dikumpulkan di dalam kurungan. Mereka akan dikurung di dalam penjara dan setelah beberapa lama mereka akan dihukum.

23Bulan purnama akan mendapat aib dan matahari menjadi malu, kerana TUHAN alam semesta, akan bertakhta di Gunung Sion dan di Yerusalem, dan di hadapan para tua-tua-Nya dengan mulia.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yesaya 24 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel