Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yosua 11 >> 

Penaklukan di bahagian utara Kanaan

1Apabila Yabin, raja Hazor, mendengar berita itu, diutusnya orang kepada Yobab, raja Madon, kepada raja Simron, kepada raja Akhsaf,

2dan kepada raja-raja di sebelah utara, iaitu di pergunungan, di Araba di sebelah selatan Kineret, di dataran rendah, dan di Dataran Tinggi Dor di sebelah barat.

3Dia turut menghantar utusan kepada bani Kanaan di timur dan di barat, kepada bani Amori, bani Het, bani Feris, bani Yebus di pergunungan, dan kepada bani Hewi di kaki Gunung Hermon, di Tanah Mizpa.

4Para raja tersebut maju bersama-sama seluruh bala tentera masing-masing, iaitu sejumlah besar orang yang ramainya seperti pasir di tepi laut, dengan banyak sekali kuda dan rata.

5Semua raja itu bersekutu lalu datang berkhemah bersama-sama dekat mata air Merom untuk berperang melawan orang Israel.

6Berfirmanlah TUHAN kepada Yosua, “Jangan takut menghadapi mereka. Esok, pada waktu seperti ini, Aku akan menyerahkan mereka semua kepada orang Israel dalam keadaan tewas. Potonglah urat keting kuda-kuda mereka dan bakarlah habis segala rata mereka.”

7Lalu Yosua berserta seluruh pasukan perang menyerbu mereka dengan tiba-tiba berdekatan mata air Merom dan menyerang mereka.

8TUHAN pun menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Israel. Mereka dikalahkan dan dikejar sampai ke Sidon-Besar, sampai ke Misrefot-Maim, dan sampai ke Lembah Mizpa di sebelah timur. Mereka ditewaskan, tiada seorang pun daripada mereka dibiarkan hidup.

9Yosua memperlakukan mereka seperti yang difirmankan TUHAN kepadanya. Dipotongnya urat keting kuda-kuda mereka dan membakar habis segala rata mereka.

10Ketika itu juga Yosua berpatah balik lalu menawan Hazor dan menewaskan rajanya dengan pedang. Dahulunya Hazor mengetuai semua kerajaan itu.

11Setiap jiwa yang ada di dalamnya dibantai mereka dengan mata pedang. Mereka menumpas semua orang itu, tidak ada sesuatu pun yang bernafas ditinggalkan hidup, dan Hazor dibakarnya habis.

12Yosua menawan semua kota milik raja-raja itu. Semua rajanya ditumpaskan dengan mata pedang seperti yang diperintahkan Musa, hamba TUHAN itu.

13Tetapi kota-kota yang terletak di atas bukit tidak dibakar oleh orang Israel, hanya Hazor sahaja yang dibakar oleh Yosua.

14Orang Israel menjarah semua barangan di kota-kota itu berserta ternakannya, tetapi mereka memusnahkan semua manusia sama sekali dengan mata pedang. Tiada yang ditinggalkan hidup daripada semua yang bernafas.

15Seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa, hamba-Nya itu, demikianlah yang diperintahkan Musa kepada Yosua, dan demikian pulalah yang dilakukan Yosua. Tidak ada satu hal pun daripada segala sesuatu yang diperintahkan TUHAN kepada Musa yang diabaikannya.

Ringkasan segala kemenangan orang Israel

16Demikianlah Yosua menawan seluruh negeri itu: pergunungan, seluruh Tanah Negeb, seluruh Tanah Gosyen, dataran rendah, Araba, pergunungan Israel dengan dataran rendahnya;

17dari Gunung Halak, yang menanjak ke Seir, sampai ke Baal-Gad di Lembah Lebanon, di kaki Gunung Hermon. Dia menangkap semua rajanya, lalu membunuh mereka.

18Agak lama juga Yosua memerangi semua raja itu.

19Tidak ada satu kota pun yang mengadakan perjanjian damai dengan orang Israel selain bani Hewi yang tinggal di Gibeon. Semua kota itu ditawan mereka dalam peperangan.

20TUHAN memang berkehendak mengeraskan hati semua orang itu agar mereka datang berperang melawan orang Israel. Dengan demikian mereka ditumpaskan tanpa mendapat belas kasihan dan dimusnahkan, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.

21Pada waktu itu juga Yosua pergi memusnahkan orang Enak dari pergunungan, iaitu dari Hebron, dari Debir, dari Anab, dari seluruh pergunungan Yehuda, dan dari seluruh pergunungan Israel. Mereka dan kota-kota mereka ditumpaskan oleh Yosua.

22Tidak ada seorang Enak pun yang tertinggal di negeri orang Israel. Hanya di Gaza, Gat, dan Asdod masih ada yang tertinggal.

23Demikianlah Yosua menawan seluruh negeri itu selaras dengan semua yang difirmankan TUHAN kepada Musa. Yosua memberikannya sebagai harta pusaka kepada orang Israel, menurut pembahagian suku mereka. Lalu aman sentosalah negeri itu dan berhenti daripada berperang.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yosua 11 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel