Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yosua 13 >> 

Daerah-daerah yang belum ditawan

1Ketika Yosua sudah tua dan telah lanjut usianya, TUHAN berfirman kepadanya, “Usia engkau sudah begitu lanjut padahal masih ada banyak lagi negeri yang belum ditawan.

2Inilah negeri yang belum ditawan: seluruh wilayah orang Filistin dan seluruh negeri bani Gesur,

3mulai Sungai Sikhor di sebelah timur Mesir sampai ke sempadan Ekron di sebelah utara – semua itu termasuk negeri bani Kanaan yang dimiliki oleh lima orang raja orang Filistin, iaitu di Gaza, Asdod, Askelon, Gat, dan Ekron – serta negeri bani Awi

4di sebelah selatan; seluruh negeri bani Kanaan dan Meara, milik orang Sidon, sampai ke Afek, ke sempadan daerah bani Amori;

5negeri orang Gebal dan seluruh Lebanon di arah matahari terbit, dari Baal-Gad di kaki Gunung Hermon sampai ke jalan masuk Hamat;

6serta seluruh penduduk pergunungan dari Lebanon sampai ke Misrefot-Maim, iaitu semua orang Sidon. Aku sendirilah yang akan mengusir mereka dari hadapan orang Israel. Hanya bahagi-bahagikanlah negeri itu dahulu sebagai harta pusaka orang Israel, seperti yang Kuperintahkan kepadamu.

7Sekarang, bahagi-bahagikanlah negeri ini sebagai harta pusaka bagi sembilan suku dan separuh suku Manasye itu.”

Pembahagian tanah pusaka di sebelah timur Sungai Yordan

8Separa suku Manasye yang lagi satu serta suku Ruben dan suku Gad telah menerima harta pusaka yang diberikan Musa kepada mereka di sebelah timur Sungai Yordan, sebagaimana ditentukan bagi mereka oleh Musa, hamba TUHAN itu.

9Wilayah mereka itu dari Aroer di tepi Lembah Arnon, baik kota di tengah lembah itu mahupun seluruh Dataran Tinggi Medeba, sampai ke Dibon;

10semua kota Sihon, raja bani Amori yang bertakhta di Hesbon, sampai ke sempadan daerah bani Amon;

11Gilead serta daerah bani Gesur dan bani Maakha, seluruh Gunung Hermon dan seluruh Basan sampai ke Salkha;

12serta seluruh kerajaan Og di Basan, yang bertakhta di Astarot dan di Edrei. Dialah antara saki-baki bani Refaim yang telah dikalahkan dan diusir oleh Musa.

13Tetapi orang Israel tidak mengusir bani Gesur dan bani Maakha, sehingga bani Gesur dan bani Maakha masih tinggal antara orang Israel sampai hari ini.

14Hanya, Musa tidak memberikan harta pusaka kepada suku Lewi, kerana harta pusaka mereka ialah segala korban bakaran sebagai persembahan kepada TUHAN, Allah Israel, seperti yang difirmankan-Nya kepada mereka.

15Kepada suku bani Ruben, Musa telah memberikan bahagian menurut kaum-kaum mereka:

16Wilayah milik mereka bermula dari Aroer di tepi Lembah Arnon dan kota yang di tengah-tengah lembah itu serta seluruh dataran tinggi dekat Medeba;

17Hesbon dan semua kotanya di dataran tinggi, iaitu Dibon, Bamot-Baal, Bet-Baal-Meon,

18Yahas, Kedemot, Mefaat,

19Kiryataim, Sibma, Zeret-Hasahar di atas gunung di lembah itu,

20Bet-Peor, lereng-lereng Gunung Pisga, Bet-Yesimot,

21semua kota di dataran dan seluruh kerajaan Sihon, raja bani Amori yang bertakhta di Hesbon. Dia dikalahkan oleh Musa, sekali gus dengan para pemimpin Midian, iaitu Ewi, Rekem, Zur, Hur, dan Reba – para raja bawahan Sihon yang tinggal di negeri itu.

22Bileam anak Beor, si penenung, juga dibunuh oleh orang Israel dengan mata pedang, bersama-sama semua orang lain yang ditumpaskan mereka.

23Jadi, sempadan daerah bani Ruben ialah Sungai Yordan. Itulah harta pusaka bani Ruben menurut kaum-kaum mereka dengan kota-kota dan desa-desa mereka.

24Kepada suku Gad, iaitu bani Gad, Musa memberikan bahagian mereka menurut kaum-kaum mereka:

25Wilayah milik mereka ialah Yaezer dan semua kota di Gilead serta setengah negeri bani Amon sampai ke Aroer di sebelah timur Raba;

26lalu dari Hesbon sampai ke Ramat-Mizpa dan Betonim, dari Mahanaim sampai ke daerah Debir;

27daerah di lembah meliputi Bet-Haram, Bet-Nimra, Sukot, dan Zafon, saki-baki kerajaan Sihon, raja Hesbon; serta Sungai Yordan dan daerah tepinya sampai ke hujung Danau Kineret di sebelah timur Sungai Yordan.

28Itulah harta pusaka bani Gad menurut kaum-kaum mereka dengan kota-kota dan desa-desa mereka.

29Musa juga memberikan bahagian kepada separa suku Manasye, iaitu setengah suku bani Manasye menurut kaum-kaum mereka.

30Wilayah milik mereka bermula dari Mahanaim, seluruh Basan, iaitu seluruh kerajaan Og, raja Basan, dan semua kota Yair di Basan, enam puluh kota banyaknya.

31Setengah wilayah Gilead bersama Astarot dan Edrei, kota-kota kerajaan Og di Basan, menjadi bahagian bani Makhir anak Manasye, iaitu separuh daripada bani Makhir menurut kaum-kaum mereka.

32Itulah pembahagian daerah-daerah harta pusaka oleh Musa di Dataran Moab, iaitu di seberang Sungai Yordan, di sebelah timur Yerikho.

33Tetapi kepada suku Lewi, Musa tidak memberikan harta pusaka. Harta pusaka mereka ialah TUHAN, Allah Israel, seperti yang difirmankan-Nya kepada mereka.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yosua 13 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel