1Saudara-saudara, soal tentang masa dan detiknya tidaklah perlu kami tulis kepadamu.
2Kamu cukup mengetahui hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti datangnya pencuri pada malam hari.
3Ketika orang berkata, ‘Segalanya aman tenteram,’ maka ketika itulah mereka akan ditimpa kebinasaan dalam sekelip mata dan tiada siapapun dapat melepaskan diri. Berlakunya kelak dengan mengejut, seperti rasa sakit perempuan yang akan melahirkan anak.
4Tetapi, saudara-saudara, kamu tidak hidup dalam kegelapan. Hari itu tidak seharusnya mengejutkan kamu seperti datangnya pencuri.
5Kamu semua anak cahaya, anak siang. Kita bukanlah makhluk malam atau kegelapan.
6Oleh yang demikian, janganlah kita tidur seperti orang lain. Marilah kita berjaga dan berkeadaan siuman.
7Orang yang tidur, tidur pada waktu malam. Orang yang mabuk, mabuk pada waktu malam.
8Tetapi kita anak-anak siang, hendaklah sentiasa waras dan waspada. Jadikan iman dan kasih perisai dada kita, serta harapan diselamatkan sebagai topi besi pelindung kepala.
9Allah memilih kita bukannya untuk menanggung kemurkaan-Nya, tetapi untuk diselamatkan melalui Junjungan kita Isa al-Masih.
10Isa telah mati untuk kita supaya kita dapat hidup bersama-Nya sewaktu Dia datang nanti, sama ada kita terjaga atau tertidur mati pada masa itu.
11Oleh yang demikian, hendaklah kamu saling menggalakkan dan meneguhkan, sebagaimana yang kamu lakukan sekarang.
Petunjuk-petunjuk akhir
12Saudara-saudaraku, kami menyeru kamu supaya menghormati orang yang berjerih payah di kalanganmu, membimbing dan menasihatimu dalam kehidupanmu dalam Tuhan.
13Layanilah mereka dengan sepenuh hormat dan kasihilah mereka kerana segala yang diusahakan oleh mereka. Hiduplah bersama-sama dalam aman damai.
14Saudara-saudaraku, kami menyeru kamu, berilah amaran kepada orang yang melanggar peraturan, tetapkan hati orang yang takut, tolong orang yang lemah, dan bersabar terhadap semua.
15Pastikan jangan sesiapa membalas kejahatan dengan kejahatan. Berusahalah ke arah kebaikan bagi dirimu dan semua orang.
16Bersukacitalah sentiasa.
17Berdoalah sepanjang masa.
18Bersyukurlah dalam segala keadaan kerana inilah yang dikehendaki Allah daripadamu dalam Isa al-Masih.
19Janganlah padamkan kemarakan api Roh Suci.
20Janganlah hinakan nubuat.
21Uji setiap perkara. Berpegang teguh kepada yang baik.
22Jauhilah segala bentuk kejahatan.
23Semoga Allah damai sejahtera menyucikanmu dengan sempurna dan memelihara roh, jiwa dan jasadmu, agar tidak ada cacat cela ketika Junjungan kita Isa al-Masih datang kembali.
24Dia yang memanggil kamu itu setia, dan Dia akan melakukannya.
25Saudara-saudara, doakanlah kami.
26Bersalamanlah dengan mesra apabila bertemu saudara-saudara seiman.
27Dengan nama Junjungan aku menyeru kamu supaya membacakan surat ini kepada semua saudara seiman.
28Semoga kasih kurnia Junjungan kita Isa al-Masih menyertai kamu.