Allah berfirman melalui Putera-Nya
1Allah telah berfirman pada pelbagai zaman dan dengan aneka cara kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi.
2Tetapi pada akhir zaman ini Allah telah berfirman kepada kita melalui Putera-Nya, yang telah dijadikan-Nya pewaris kepada segala-galanya; melalui Putera-Nya itu Allah telah mencipta alam semesta.
3Putera itu adalah sinar gemilang kemuliaan Allah dan gambaran sempurna kewujudan-Nya. Dia memelihara segala-segalanya dengan kekuasaan firman-Nya. Setelah menghapuskan dosa kita melalui diri-Nya sendiri, dia duduk di sebelah kanan Yang Maha Mulia yang bertakhta di syurga.
4Diri-Nya jauh lebih baik daripada para malaikat; kerana melalui warisan, Dia telah mendapat nama yang lebih cemerlang daripada mereka.
5Kepada malaikat manakah Allah pernah berfirman: ‘Engkau Putera-Ku, pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu’? Dan juga: ‘Aku akan menjadi Bapa-Nya, dan Dia akan menjadi Putera-Ku’?
6Selanjutnya, apabila Allah menghantar semula putera sulung-Nya ke dalam dunia maka firman-Nya: ‘Hendaklah semua malaikat Allah menyembah-Nya.’
7Dan tentang para malaikat, Dia berfirman: ‘Dia menjadikan para malaikat-Nya angin, dan para pelayan-Nya nyala api.’
8Tetapi tentang Putera itu Dia berfirman: ‘Takhta-Mu, Ya Allah, kekal selama-lamanya; Tongkat kebenaran adalah tongkat kerajaan-Mu.
9Engkau telah mencintai kebenaran dan membenci kejahatan; Oleh itu Allah, Tuhan-Mu, telah mengurapi-Mu dengan minyak kebahagiaan lebih daripada teman-teman-Mu.’
10Dan: ‘Pada mulanya, Engkau, Tuhanku, yang meletakkan asas bumi, dan seluruh langit adalah hasil kerja tangan-Mu;
11Bumi dan langit akan binasa, tetapi Engkau kekal; dan segalanya akan menjadi usang seperti pakaian;
12Seperti jubah, Engkau akan menggulungnya; seperti baju yang ditukar, semuanya akan diubah. Tetapi Engkau tetap sama, dan zaman-Mu tidak berkesudahan.’
13Tetapi kepada malaikat manakah Allah pernah berfirman: ‘Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Aku menjadikan musuh-Mu alas kaki-Mu’?
14Bukankah semua malaikat itu roh-roh pelayan yang dihantar untuk melayani manusia yang akan mewarisi penyelamatan?