Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Kisah Para Rasul 28 >> 

Paulus di Pulau Malta

1Setelah selesai segalanya, barulah kami mendapat tahu bahawa pulau itu bernama Malta.

2Penduduk pulau itu bersikap ramah mesra kepada kami. Mereka menyalakan api dan menyambut kami sekalian masuk berlindung daripada hujan dan kesejukan.

3Paulus memungut ranting dan apabila dia meletakkannya di atas api, seekor ular keluar melarikan diri dari kepanasan lalu memagut tangan Paulus.

4Apabila penduduk pulau itu melihat ular tersebut pada tangan Paulus, mereka berkata sama sendiri, ‘Tentu dia ini seorang pembunuh; sungguhpun dia selamat daripada bahaya laut, tetapi Dewi Keadilan tidak membiarkan dia hidup.’

5Paulus mengebaskan ular itu ke dalam api tanpa mengalami sebarang kecederaan.

6Semuanya menantikan kalau-kalau dia naik bengkak atau rebah mati; tetapi lama mereka menanti-nanti, tidak juga mereka melihat apa-apa bencana menimpanya. Sangkaan mereka pun berubah, mengatakan Paulus itu seorang dewa.

7Di daerah itu ada tanah yang dipunyai oleh Publius, pemerintah pulau itu. Dia menyambut kami dan melayani kami selama tiga hari dengan budi bahasa yang baik.

8Ketika itu bapa Publius terlantar mengidap demam dan mengalami cirit-birit. Paulus masuk menghampirinya lalu berdoa sambil meletakkan tangan ke atasnya dan menyembuhkannya.

9Selepas itu, beberapa orang yang mengidap penyakit di pulau itu datang berjumpa Paulus, lalu dia menyembuhkan mereka.

10Mereka menunjukkan penghargaan yang tinggi kepada kami; dan apabila kami hendak belayar, mereka membawa pelbagai barang yang berguna ke dalam kapal sebagai bekalan untuk kami.

Paulus tiba di Rom

11Tiga bulan kemudian, kami belayar dalam sebuah kapal bernama Dioskuri yang telah datang dari Iskandaria dan tinggal di pulau itu sepanjang musim dingin.

12Kami singgah di Sirakusa lalu tinggal di sana tiga hari,

13kemudian belayar ke kota Regium. Esoknya angin mula bertiup dari selatan dan lusanya kami sampai ke Putioli.

14Di sana kami bertemu saudara-saudara seiman lalu menerima ajakan tinggal bersama mereka selama tujuh hari. Kemudian sampailah kami ke Rom.

15Para pengikut Isa di Rom mendengar khabar tentang kami lalu datang dari sana sampai ke Pasar Apius dan Kedai Tiga untuk bertemu dengan kami. Apabila Paulus melihat mereka, dia mengucapkan syukur kepada Allah dan menjadi tabah.

16Di Rom Paulus dibenarkan tinggal seorang diri, hanya dijaga oleh seorang askar.

Khutbah Paulus di Rom

17Tiga hari kemudian, Paulus meminta para pemimpin masyarakat Yahudi datang berjumpa dengannya. Dia berkata kepada mereka, ‘Saudara-saudara, sungguhpun aku tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap bangsa kita atau melanggar adat nenek moyang kita, namun aku ditahan di Baitulmaqdis lalu diserahkan ke tangan orang Rom.

18Mereka memeriksa perkaraku dan hendak membebaskanku kerana mereka mendapati aku tidak melakukan satu kesalahan pun yang patut dihukum mati.

19Apabila orang Yahudi menentang keputusan itu, terpaksalah aku meminta hendak mengadu kepada Kaisar; tetapi bukanlah kerana hendak mengajukan apa-apa dakwaan terhadap bangsa kita.

20Itulah sebabnya aku meminta saudara-saudara bertemu dan bercakap dengan aku. Aku dibelenggu begini kerana Dia yang diharapkan oleh orang Israel.’

21Mereka berkata kepada Paulus, ‘Kami belum mendapat surat dari Yudea tentang saudara. Tiada seorang pun yang datang ke sini menyebutkan apa-apa kesalahan saudara.

22Tetapi kami ingin mendengar pendapat saudara, kerana kami tahu orang di serata tempat mencela ajaran yang saudara anuti.’

23Mereka menetapkan hari untuk bertemu lagi dengan Paulus. Pada hari itu lebih ramai lagi yang datang ke tempat dia menumpang itu. Dia menerangkan segala-galanya, bersaksi tentang kerajaan Allah dan berusaha meyakinkan mereka tentang Isa dengan menunjukkan bukti dalam Taurat Musa dan tulisan para nabi, dari pagi hingga ke malam.

24Ada yang percaya akan katanya itu dan ada yang tidak.

25Mereka pergi dari situ dengan pendapat yang bercanggah sesama sendiri, setelah Paulus berkata, ‘Benarlah apa yang dikatakan oleh Roh Suci melalui Nabi Yasyaya kepada nenek moyang kita,

26‘“Pergilah kepada bangsa ini dan katakan: ‘Kamu akan mendengar tetapi tidak mengerti; Kamu terus melihat tetapi tidak mengetahui.’

27Kerana hati umat ini telah buntu, mereka pekakkan telinga, dan pejamkan mata. Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat dengan mata, mendengar dengan telinga, dan mengerti dengan hati, lalu berpaling kepada-Ku dan Aku menyembuhkan mereka.”’

28Paulus berkata, ‘Saudara-saudara, ketahuilah: perkhabaran tentang penyelamatan yang dikurniakan Allah sekarang telah disampaikan kepada orang bangsa asing. Merekalah yang akan menerimanya.’

29Setelah Paulus berkata demikian, orang Yahudi meninggalkan tempat itu sambil bertengkar hebat sesama mereka.

30Paulus tinggal selama dua tahun di rumah yang disewanya sendiri. Dia menyambut semua yang mengunjunginya

31dan menyampaikan ajaran tentang kerajaan Allah serta Junjungan Isa al-Masih dengan berani dan bebas, tiada siapa yang menghalangnya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kisah Para Rasul 28 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel