Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 4 >> 

Isa digoda

1Isa penuh dengan Roh Suci, kembali dari daerah Yordan dan dipimpin oleh Roh ke padang gurun.

2Selama empat puluh hari, Dia digoda oleh Iblis. Sepanjang masa itu, Dia tidak makan apa-apa. Akhirnya, Dia berasa lapar.

3Lalu Iblis berkata kepada-Nya, ‘Jikalau Engkau Putera Allah, perintahkan batu ini supaya menjadi roti.’

4Isa menjawab, ‘Dalam Kitab Suci tersurat, “Manusia hidup bukan dari roti sahaja, tetapi dari setiap firman Allah.”’

5Iblis membawa Isa ke satu tempat yang tinggi lalu dalam sekelip mata, Iblis memperlihatkan kepada Isa segala kerajaan di dunia.

6Iblis berkata, ‘Aku akan memberikan segala kekuasaan ini dengan kemuliaannya kepada-Mu kerana semuanya itu telah diserahkan kepadaku dan aku boleh memberikannya kepada sesiapa jua yang aku suka.

7Jadi, jikalau Engkau menyembah aku, keseluruhannya akan menjadi kepunyaan-Mu.’

8Tetapi Isa menjawab, ‘Dalam Kitab Suci tersurat, “Hendaklah engkau menyembah Allah, Tuhanmu dan kepada-Nya sahaja engkau beribadat.”’

9Kemudian, Iblis membawa Isa ke Baitulmaqdis lalu menempatkan-Nya di atas mercu rumah ibadat dan berkata kepada-Nya, ‘Jikalau Engkau Putera Allah, terjunlah ke bawah,

10kerana dalam Kitab Suci ada tersurat, ‘“Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya untuk melindungi-Mu

11dan mereka akan menatang-Mu dengan tangan mereka supaya kaki-Mu tidak terantuk pada batu.”’

12Tetapi Isa menjawab, ‘Kitab Suci juga mengatakan, “Janganlah engkau menduga Allah, Tuhanmu.”’

13Setelah Iblis selesai menggoda Isa, dia meninggalkan-Nya untuk sementara waktu.

Isa memulakan kerja-Nya di Galilea

14Isa kembali ke Galilea dan kuasa Roh menyertai-Nya. Perkhabaran tentang-Nya tersebar ke seluruh daerah itu.

15Dia mengajar di saumaah-saumaah mereka dan semua orang memuji-muji-Nya.

Isa tidak diterima di Nasaret

16Kemudian, Isa kembali ke Nasaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat Dia pergi ke saumaah seperti kebiasaan-Nya. Lalu Dia berdiri untuk membaca Kitab Suci.

17Kitab Nabi Yasyaya diberikan kepada Isa dan Dia membuka kitab itu untuk membaca ayat yang tersurat:

18‘Roh Tuhan ada pada-Ku kerana Dia telah memilih Aku untuk memberitakan perkhabaran yang baik kepada orang miskin; Dia telah mengutus Aku untuk mengumumkan pelepasan kepada orang tawanan, penyembuhan kepada orang buta, pembebasan orang yang tertindas,

19dan mengisytiharkan tibanya masa yang Tuhan berkenan!’

20Isa menutup kitab itu dan memulangkannya kepada petugas lalu duduk. Mata semua orang di dalam saumaah itu tertumpu kepada-Nya.

21Isa mula berucap kepada mereka, ‘Pada hari ini ayat Kitab Suci ini telah ditepati ketika kamu mendengarnya.’

22Semua orang memperkatakan-Nya dan kagum akan kata-kata indah yang diucapkan-Nya. Mereka berkata, ‘Bukankah Dia anak Yusuf?’

23Isa berkata kepada mereka, ‘Sudah tentunya kamu akan menyebut bidalan ini kepada-Ku, “Tuan tabib, ubati dirimu! Buatlah di kota-Mu sendiri apa yang kami dengar Kaubuat di Kapernaum.”’

24Isa menambah, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, tiada seorang nabi pun yang diterima di kotanya sendiri.

25Dengarlah, sesungguhnya terdapat ramai balu di negeri Israel pada zaman Nabi Ilyas tatkala langit tertutup tidak menurunkan hujan selama tiga tahun enam bulan, menyebabkan bencana kebuluran di seluruh negeri itu.

26Tetapi Nabi Ilyas tidak diutus kepada seorang jua pun kecuali seorang balu di bandar Sarafat di Sidon.

27Demikian juga, ada ramai orang yang berpenyakit kusta di Israel pada zaman Nabi Ilyasa tetapi tiada seorang pun antara mereka yang disembuhkan melainkan Naaman, orang Siria.’

28Semua orang di dalam saumaah yang mendengar kata-kata ini naik berang.

29Mereka bangun lalu mengusir Isa dari kota itu. Dia dibawa ke puncak gunung tempat kota itu dibina kerana mereka mahu menghumbankan-Nya ke bawah.

30Tetapi Isa berjalan di tengah-tengah mereka dan beredar dari situ.

Orang yang dirasuk oleh roh iblis

31Kemudian Isa pergi ke kota Kapernaum di jajahan Galilea dan di situlah Dia mengajar orang pada hari Sabat.

32Mereka kagum mendengar ajaran-Nya kerana kata-kata-Nya berwibawa.

33Di dalam saumaah itu ada seorang yang dirasuk oleh roh iblis yang durjana. Dia menjerit dengan nyaring,

34‘Ah, mengapakah Engkau mengganggu kami, Isa, orang Nasaret? Engkau datang untuk membinasakan kamikah? Aku mengetahui siapa Engkau ini

35Isa memarahi roh iblis itu, ‘Diam! Keluar daripada dia!’ Roh iblis itu menghempaskan orang itu di hadapan mereka lalu keluar daripadanya tanpa mencederakannya.

36Mereka semua kehairanan dan berkata sesama sendiri, ‘Betapa hebat kata-kata-Nya! Dengan penuh kewibawaan dan kuasa Dia memerintah roh-roh durjana itu, mereka terus keluar.’

37Maka perkhabaran tentang Isa tersebar ke seluruh daerah itu.

Isa menyembuhkan beberapa orang

38Isa keluar dari saumaah itu lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mertua Simon sedang demam panas dan mereka memberitahu Isa tentangnya.

39Isa pergi berdiri di tepi katilnya dan mengusir demam itu. Ibu mertua Simon pulih dengan serta-merta lalu bangun dan melayani mereka.

40Pada waktu senja semua orang yang mengidap berbagai-bagai penyakit dibawa kepada Isa. Dia meletakkan tangan-Nya pada setiap orang dan menyembuhkan mereka.

41Roh-roh iblis juga keluar daripada ramai orang dan berteriak, ‘Engkaulah Putera Allah.’ Isa memarahi roh-roh iblis itu dan tidak mengizinkan mereka bercakap kerana mereka mengetahui Dialah al-Masih.

Isa mengkhabar Injil di Yudea

42Ketika fajar menyingsing, Isa meninggalkan kota itu dan pergi ke tempat yang sunyi. Orang ramai mula mencari Dia, dan apabila mereka menemui-Nya, mereka cuba menahan-Nya daripada meninggalkan mereka.

43Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Aku harus memberitakan perkhabaran yang baik tentang kerajaan Allah di kota-kota lain juga. Itulah sebabnya Aku diutuskan.’

44Jadi, Dia mengkhabarkan Injil di saumaah-saumaah di Yudea.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Lukas 4 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel