Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 14 >> 

Yahya dibunuh

1Pada masa itu Herodes, raja wilayah, mendengar tentang Isa.

2Herodes berkata kepada orang di bawahnya, ‘Ini tentu Yahya Pengimad. Dia telah bangkit daripada kematian! Sebab itulah dia ada kuasa melakukan mukjizat.’

3Sebelum itu Herodes telah memerintahkan supaya Yahya ditangkap, diikat dan dipenjarakan, disebabkan Herodias, isteri saudaranya Filipus.

4Yahya telah memberitahu Herodes, ‘Tuan bersalah mengahwini Herodias’

5Herodes hendak membunuh Yahya tetapi takut kerana rakyat menganggapnya seorang nabi.

6Pada hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias menari di hadapan majlis.

7Oleh sebab terlalu menikmati tarian itu, Herodes bersumpah akan memberikan apa saja yang diminta oleh gadis itu.

8Disuruh oleh ibunya, gadis itu memohon kepala Yahya Pengimad di atas talam pada waktu itu juga.

9Walaupun dengan berat hati, Herodes terpaksa menunaikan permintaan itu kerana telah bersumpah di hadapan majlisnya.

10Herodes pun memerintahkan orang pergi memancung kepala Yahya di penjara.

11Kepala Yahya diletakkan di atas talam dan diberikan kepada gadis itu. Gadis itu menyerahkan kepala Yahya kepada ibunya.

12Selepas itu pengikut Yahya datang mengambil jenazahnya dan mengebumikannya. Kemudian mereka pergi memberitahu Isa tentangnya.

Isa memberi makan kepada lima ribu orang

13Sebaik-baik mendengar tentang Yahya, Isa menaiki perahu dan pergi seorang diri ke suatu tempat sunyi. Namun, orang ramai mendapat tahu lalu mengikut Isa melalui jalan darat dari kota.

14Setelah Isa turun dari perahu dan melihat mereka, hati-Nya berasa kasihan lalu Dia menyembuhkan orang yang sakit di kalangan mereka.

15Apabila menjelang petang, para pengikut Isa mendapatkan-Nya lalu berkata, ‘Hari sudah hampir malam dan kawasan ini terpencil. Suruhlah orang yang ramai ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan.’

16Tetapi Isa menjawab, ‘Mereka tidak usah pergi. Berilah mereka makan.’

17Kata para pengikut Isa, ‘Kita hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan.’

18Isa berkata, ‘Bawalah makanan itu kepada-Ku.’

19Dia menyuruh orang ramai itu duduk di atas rumput. Dia mengambil makanan itu dan menengadah ke langit mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada para pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu.

20Setiap orang makan sehingga kenyang dan lebihan yang dikumpulkan oleh para pengikut Isa sebanyak dua belas bakul.

21Jumlah yang makan kira-kira lima ribu orang lelaki, belum dihitung wanita dan kanak-kanak.

Isa berjalan di atas air

22Setelah itu Isa menyuruh para pengikut-Nya menaiki perahu dan pergi ke seberang dahulu sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang.

23Setelah menyuruh mereka pulang, Isa naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Apabila hari sudah lewat petang, Isa berada di situ seorang diri.

24Ketika itu perahu yang dinaiki oleh para pengikut-Nya sudah jauh ke tengah, terumbang-ambing kerana angin berhembus dari arah bertentangan.

25Antara dinihari dan pagi, Isa berjalan di atas air menghampiri mereka.

26Apabila mereka melihat-Nya berjalan di atas air, mereka ketakutan lalu menjerit, ‘Hantu!’

27Isa segera berkata kepada mereka, ‘Tenanglah. Aku Isa. Jangan takut.’

28Petrus berkata, ‘Junjungan, jika benar Engkau, suruhlah aku berjalan di atas air mendapatkan-Mu.’

29‘Marilah,’ sahut Isa. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air ke arah Isa.

30Tetapi apabila menyedari betapa kencangnya angin, Petrus berasa takut lalu mula tenggelam. ‘Junjungan! Selamatkan aku!’ serunya.

31Isa segera menghulurkan tangan memegangnya lalu berkata, ‘Engkau yang kurang percaya, mengapa engkau ragu?’

32Kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun tiada.

33Selepas itu para pengikut Isa yang di dalam perahu menyembah-Nya sambil berkata, ‘Sesungguhnya Engkaulah Putera Allah!’

34Mereka menyeberang ke Genesaret.

35Orang di situ mengenal Isa lalu menyebarkan berita kedatangan-Nya ke serata daerah itu. Ramailah dibawa orang sakit kepada-Nya.

36Mereka merayu Isa supaya mengizinkan orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Dengan sentuhan itu sahaja pun mereka sembuh.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Matius 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel