Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 4 >> 

Godaan di padang gurun

1Setelah itu Isa dibawa oleh Roh ke gurun untuk digoda Iblis.

2Isa berpuasa empat puluh hari empat puluh malam. Dia menanggung kelaparan.

3Iblis datang kepada-Nya lalu berkata, ‘Jika Engkau Putera Allah, perintahkanlah batu-batu ini menjadi roti.’

4Isa menjawab, ‘Telah tersurat: “Manusia hidup bukan dengan roti saja tetapi dengan setiap firman Allah.”’

5Selepas itu Iblis membawa Isa ke kota suci Baitulmaqdis dan meletakkan-Nya di puncak rumah ibadat.

6Iblis berkata kepada Isa, ‘Jika Engkau Putera Allah, terjunlah, kerana telah tersurat: “Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya menjaga-Mu dan mereka akan menatang-Mu supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.”’

7Isa menjawab, ‘Tetapi telah tersurat: “Janganlah engkau menduga Allah, Tuhanmu.”’

8Iblis membawa pula Isa ke atas gunung yang amat tinggi lalu menunjukkan semua kerajaan di dunia dan kekayaannya.

9Kata Iblis kepada Isa, ‘Semua ini akan kuberikan kepada-Mu jika Engkau sujud menyembahku.’

10Jawab Isa, ‘Nyah engkau, Iblis. Telah tersurat: “Hendaklah engkau menyembah Allah, Tuhanmu dan kepada-Nya saja engkau beribadat.”’

11Iblis pun meninggalkan Isa dan para malaikat datang melayani-Nya.

Isa mula pelayanan di Galilea

12Apabila mendengar bahawa Yahya telah dipenjarakan, Isa pun pergi ke Galilea.

13Dia tidak tinggal di Nasaret tetapi di Kapernaum, sebuah kota di pinggir laut Galilea di kawasan Zebulon dan Naftali.

14Dengan demikian berlakulah nubuat Nabi Yasyaya:

15‘Tanah Zebulon, tanah Naftali, di pinggir laut, seberang Sungai Yordan, Galilea, tanah bangsa-bangsa asing.

16Bangsa yang hidup dalam kegelapan telah melihat cahaya gemilang. Bagi mereka yang di bawah bayangan maut, Cahaya telah bersinar!’

17Isa pun mula menyampaikan perkhabaran-Nya, ‘Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!’

Pengikut Isa yang pertama

18Sedang Isa berjalan di pinggir laut Galilea, Dia terpandang dua orang nelayan iaitu Simon, yang juga dipanggil Petrus, dan adiknya Andreas, sedang menjala ikan.

19Isa berkata kepada mereka, ‘Ikutlah Aku. Aku akan mengajarmu menjala manusia menjadi pengikut-Ku.’

20Dengan serta-merta mereka dua beradik meninggalkan jala mereka lalu mengikut Isa.

21Isa meneruskan perjalanan. Dia ternampak dua beradik lagi, Yakobus dan Yahya bersama bapa mereka Zebedeus, sedang mengemaskan jala di dalam perahu. Isa memanggil dua beradik itu.

22Seketika itu juga mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka lalu mengikut Isa.

Isa menyembuhkan orang sakit

23Isa menjelajahi seluruh wilayah Galilea. Dia mengajar di saumaah dan menyampaikan berita baik bahawa kerajaan Allah hampir tiba. Dia menyembuhkan semua jenis penyakit dan kesakitan di antara mereka.

24Berita tentang Isa tersebar di seluruh Siria. Maka, ramailah orang yang menanggung pelbagai penyakit dan penderitaan, orang yang dirasuk roh iblis, yang mengidap penyakit gila babi, dan yang lumpuh, dibawa kepada-Nya dan disembuhkan oleh-Nya.

25Ramai sekali orang mengikut-Nya: dari Dekapolis (bermaksud Sepuluh Kota), dari Baitulmaqdis, dari Yudea, dan dari kawasan di seberang Yordan.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Matius 4 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel