Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Markus 8 >> 

Isa memberi makan kepada empat ribu orang

1Pada suatu hari, ketika orang tersangat ramai berhimpun dan kehabisan makanan, Isa memanggil para pengikut-Nya lalu berkata,

2‘Aku kasihan kepada orang ramai ini, sudah tiga hari mereka bersama-Ku, dan sekarang mereka kehabisan makanan.

3Kalau Kusuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka akan pengsan di tengah jalan kerana ada yang datang dari jauh.’

4Para pengikut Isa menjawab, ‘Di tempat terpencil ini, di mana hendak dicari makanan yang cukup untuk semua orang ini?’

5Isa bertanya kepada mereka, ‘Berapa banyakkah roti yang ada padamu?’ ‘Tujuh buku,’ jawab mereka.

6Isa menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah. Dia mengambil tujuh buku roti itu dan mengucap syukur. Setelah itu Dia memecah-mecahkan roti itu dan menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk dihidangkan, dan mereka pun memberikannya kepada orang yang banyak itu.

7Mereka juga ada beberapa ekor ikan kecil. Setelah mengucap syukur atasnya, Isa menyuruh supaya ikan itu dibahagi-bahagikan juga.

8Kesemua orang pun makan sehingga kenyang. Sisa lebihan makanan yang dikumpulkan sebanyak tujuh bakul penuh.

9Bilangan mereka itu kira-kira empat ribu orang. Isa pun menyuruh mereka pulang.

10Selepas itu Isa terus menaiki perahu bersama para pengikut-Nya pergi ke daerah Dalmanuta.

11Beberapa orang Farisi datang kepada Isa dan mula bersoal jawab dengan-Nya untuk memerangkap-Nya. Untuk menduga-Nya, mereka meminta daripada-Nya suatu tanda ajaib dari syurga.

12Isa mengeluh lalu menjawab, ‘Mengapakah orang zaman ini mencari suatu tanda ajaib? Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, tidak akan diberikan tanda apapun kepada orang zaman ini.’

13Isa meninggalkan mereka dan kembali ke perahu lalu ke seberang.

Ragi orang Farisi dan ragi Herodes

14Para pengikut Isa terlupa membawa roti yang mencukupi. Di dalam perahu itu cuma ada sebuku roti.

15Isa mengingatkan mereka, ‘Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan ragi Herodes.’

16Kemudian mereka membincangkannya satu sama lain dan berkata, ‘Dia berkata begitu kerana kita tidak membawa roti.’

17Isa mengetahui apa yang mereka bincangkan lalu Dia bertanya, ‘Mengapa kamu memperbincangkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham lagi? Begitu tumpulkah fikiranmu?

18Kamu ada mata, tidakkah kamu melihat? Kamu ada telinga, tidakkah kamu mendengar? Tidakkah kamu ingat

19bagaimana Aku memecah-mecahkan lima buku roti untuk lima ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?’ ‘Dua belas,’ jawab mereka.

20‘Dan apabila Aku memecah-mecahkan tujuh buku roti untuk empat ribu orang, berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?’ ‘Tujuh,’ jawab mereka.

21Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu masih belum faham lagi?’

Isa menyembuhkan seorang buta

22Isa dan para pengikut-Nya tiba di Betsaida. Beberapa orang membawa seorang buta kepada Isa dan memohon agar Dia menyentuhnya.

23Isa memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya ke luar dari pekan itu. Isa meludahi mata orang buta itu. Kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada orang itu lalu bertanya, ‘Adakah kamu melihat apa-apa?’

24Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, ‘Aku nampak orang, rupa mereka seperti pokok berjalan.’

25Sekali lagi Isa meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Setelah orang itu berusaha untuk melihat, kali ini penglihatannya cukup terang dan matanya telah sembuh.

26Isa pun menyuruhnya pulang sambil berkata, ‘Jangan masuk lagi ke pekan itu.’

Pengakuan Petrus

27Setelah itu Isa dan para pengikut-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Isa bertanya kepada mereka, ‘Menurut orang, Aku ini siapa?’

28Mereka menjawab, ‘Ada yang berkata, Yahya Pengimad; yang lain berkata, Ilyas; ada pula yang berkata, seorang daripada nabi.’

29‘Tetapi menurut kamu, Aku ini siapa?’ tanya Isa. Petrus menjawab, ‘Engkau ialah al-Masih.’

30Lalu Isa mengingatkan mereka supaya jangan memberitahu sesiapapun tentang diri-Nya.

Isa memberitahu tentang kematian-Nya

31Kemudian Isa mula mengajar mereka bahawa Putera Insan harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, Dia akan bangkit semula.

32Isa mengatakan perkara ini dengan terus-terang. Oleh itu, Petrus menarik Isa ke tepi dan menegur Dia.

33Isa berpaling memandang para pengikut-Nya lalu menegur Petrus, ‘Pergilah dari sini, hai Iblis! Kamu tidak berfikir secara Allah, tetapi secara manusia.’

34Setelah itu Isa memanggil para pengikut-Nya dan orang ramai di situ lalu berkata kepada mereka, ‘Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus melupakan kepentingan dirinya, memikul salib, dan mengikut-Ku.

35Sesiapa yang mempertahankan hidupnya, akan kehilangan hidupnya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku dan untuk Injil, akan menyelamatkan hidupnya itu.

36Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan hidupnya?

37Dapatkah hidup itu ditukar dengan apapun?

38Jika seseorang malu mengakui Aku dan perkataan-Ku di kalangan generasi yang cabul dan berdosa ini, Putera Insan juga akan malu mengakuinya ketika Dia datang dalam kemuliaan Bapa-Nya diiringi para malaikat suci.’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Markus 8 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2020
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran