Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Roma 6 >> 

Mati kepada dosa, hidup dalam al-Masih

1Oleh yang demikian, apa akan kita katakan? Patutkah kita terus melakukan dosa supaya kasih kurnia bertambah

2Sama sekali tidak! Kita telah mati kepada dosa; betapa mungkin kita terus hidup dalamnya?

3Atau tidakkah kamu tahu bahawa semua kita yang diimadkan dalam al-Masih telah diimadkan ke dalam kematian-Nya?

4Melalui pengimadan itu, kita dikuburkan dengan al-Masih dan ikut mati bersama-Nya. Demikian juga, sebagaimana al-Masih dibangkitkan daripada kematian melalui kemuliaan Allah Bapa, kita juga dapat menikmati kehidupan yang baru.

5Jika kita telah disatukan dengan al-Masih kerana kita turut mati bersama-Nya, maka tentulah kita akan disatukan juga dengan-Nya dalam kebangkitan semula-Nya.

6Kerana kita tahu bahawa diri kita yang dahulu telah disalib bersama-Nya supaya tubuh dosa itu dapat dihapuskan, dan kita tidak lagi diperhamba oleh dosa.

7Kerana sesiapa yang telah mati, dia dibebaskan daripada dosa.

8Jika kita telah mati bersama al-Masih, kita percaya bahawa kita akan hidup dengan-Nya juga.

9Kerana kita tahu bahawa oleh sebab al-Masih telah dibangkitkan daripada kematian, Dia tidak mungkin mati lagi; kematian tidak berkuasa atas-Nya lagi.

10Dengan kematian-Nya, Dia telah mati kepada dosa sekali untuk selama-lamanya; tetapi dengan kehidupan-Nya, Dia hidup kepada Allah.

11Demikian juga, anggaplah dirimu telah mati kepada dosa tetapi hidup kepada Allah dalam al-Masih Isa.

12Oleh itu jangan biarkan dosa bertakhta dalam tubuhmu yang fana sehingga kamu menurut kemahuannya yang durjana.

13Janganlah persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu kepada dosa, sebagai alat-alat kedurjanaan; sebaliknya persembahkanlah dirimu kepada Allah, sebagai orang yang telah dibawa daripada kematian kepada kehidupan; dan persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu kepada-Nya sebagai alat-alat kebenaran.

14Kerana dosa tidak akan menjadi tuanmu, disebabkan kamu bukan di bawah hukum, tetapi di bawah kasih kurnia.

Abdi kepada kebenaran

15Jadi bagaimana? Patutkah kita melakukan dosa kerana kita bukan di bawah hukum tetap di bawah kasih kurnia? Sama sekali tidak!

16Tidakkah kamu tahu bahawa jika kamu mempersembahkan dirimu kepada seseorang dan mentaatinya sebagai hamba, maka kamu menjadi hamba kepada orang yang kamu taati

17Tetapi bersyukurlah kepada Allah! Dahulu kamu diperhamba oleh dosa, tetapi kini kamu telah taat sepenuh hati akan bentuk ajaran yang telah diamanahkan kepadamu.

18Kamu telah dibebaskan daripada dosa dan menjadi hamba kepada kebenaran.

19Aku menyampaikan perkara ini melalui istilah kehidupan manusia kerana kamu lemah dalam diri tabiimu. Sebagaimana dahulu kamu telah mempersembahkan bahagian-bahagian tubuhmu sebagai hamba kepada kekejian dan kedurjanaan yang sentiasa meningkat, maka sekarang kamu hendaklah mempersembahkan dirimu sebagai hamba kepada kebenaran yang membawa kepada kesucian.

20Sewaktu kamu diperhambakan dosa dahulu, kamu tidaklah dikuasai oleh kawalan kebenaran.

21Tetapi apakah manfaat yang kamu dapati daripada perkara-perkara yang kini membuatmu berasa malu? Perkara-perkara itu membawa kematian.

22Kini kamu telah dibebaskan daripada dosa dan menjadi hamba Allah, manfaat yang kamu dapati membawa kepada kesucian, dan hasilnya ialah kehidupan kekal.

23Kerana ganjaran dosa ialah kematian tetapi kurnia Allah ialah kehidupan kekal dalam al-Masih Isa, Junjungan kita.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Roma 6 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel