Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Yohanes 12 >> 

Isa diurapi

1Enam hari sebelum perayaan Paska, Isa pergi ke Baitani, tempat tinggal Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian.

2Di situ Dia diperjamu. Marta menghidangkan makanan, dan Lazarus serta tetamu lain bertelekan di meja bersama Isa.

3Kemudian Maria membawa sepaun minyak narwastu murni yang mahal, dan menuangkannya ke kaki Isa, lalu menyapu kaki Isa dengan rambutnya. Semerbaklah keharuman minyak itu di seluruh rumah.

4Yudas Iskariot, salah seorang pengikut Isa yang mengkhianati-Nya kelak berkata,

5‘Mengapakah minyak wangi ini tidak dijual dengan harga tiga ratus keping wang perak, supaya wangnya dapat disedekahkan kepada orang miskin?’

6Yudas berkata demikian bukanlah kerana dia prihatin terhadap orang miskin, tetapi kerana dia yang diamanahkan menyimpan wang bagi mereka sering mencuri sedikit untuk keperluannya.

7Isa berkata, ‘Jangan bantah perbuatan perempuan ini. Apa yang dilakukannya dimaksudkan untuk hari penguburan-Ku.

8Orang miskin sentiasa ada di sekitarmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa bersamamu.’

9Apabila orang Yahudi mendengar Isa ada di Baitani, ramai yang ke situ bukan hanya untuk melihat-Nya tetapi juga Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian.

10Ketua imam merancang hendak membunuh Lazarus juga.

11Ini disebabkan ramai orang Yahudi telah berpaling daripada mereka dan percaya kepada Isa.

Isa memasuki Baitulmaqdis

12Pada keesokan harinya, orang ramai yang datang menyambut perayaan Paska mendengar bahawa Isa sedang dalam perjalanan ke Baitulmaqdis.

13Mereka mengambil dahan-dahan pohon palma lalu pergi mengalu-alukan Isa sambil berseru, ‘Hosana!’ ‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan, Raja Israel!’

14Isa mendapatkan seekor keldai muda lalu menunggangnya. Maka berlakulah apa yang tersurat di dalam Kitab Suci,

15‘Janganlah takut. Wahai puteri Sion; lihatlah Rajamu datang menunggang seekor keldai muda!’

16Sewaktu itu para pengikut Isa tidak memahami erti segala ini. Setelah Isa dimuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya, barulah mereka sedar bahawa segala yang dilakukan oleh orang ramai terhadap-Nya telah tersurat di dalam Kitab Suci.

17Orang yang mendengar Isa memanggil Lazarus keluar dari makam dan melihat Dia membangkitkannya daripada kematian terus memberi kesaksian tentang kejadian itu.

18Dengan demikian, ramai orang datang berjumpa Isa kerana mendengar tentang mukjizat-Nya itu.

19Orang Farisi berkata sesama sendiri, ‘Lihatlah, sia-sia segala usaha kita. Seluruh dunia telah mengikut-Nya.’

Isa memberitahu tentang kewafatan-Nya

20Di antara orang ramai yang pergi ke Baitulmaqdis untuk beribadat pada waktu perayaan itu ada sebilangan orang Yunani.

21Mereka mendapatkan Filipus, yang berasal dari Betsaida di Galilea, lalu berkata, ‘Tuan, kami ingin bertemu dengan Isa.’

22Filipus pun memberitahu Andreas lalu mereka berdua pergi menyampaikan hal itu kepada Isa.

23Isa berkata kepada mereka, ‘Sudah sampai masanya Putera Insan dimuliakan.

24Sesungguhnya Aku berkata kepadamu: Jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah.

25Orang yang sayangkan hidupnya akan kehilangan hidup itu. Tetapi orang yang tidak sayangkan hidupnya di dunia ini akan mendapat hidup yang kekal.

26Sesiapa yang ingin mengabdi kepada-Ku mesti mengikut-Ku, dan di mana Aku berada, di situlah juga abdi-Ku. Orang yang mengabdi kepada-Ku akan dihormati oleh Bapa.

27‘Hati-Ku resah. Apa yang akan Kukatakan? Patutkah Aku berkata, “Bapa, jauhkanlah aku daripada saat penderitaan ini?”

28Bapa, tunjukkanlah kemuliaan-Mu!’ Ketika itu kedengaran suara dari langit berkata, ‘Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.’

29Antara orang ramai yang mendengar suara itu, ada yang berkata, ‘Guruh.’ Tetapi ada pula yang berkata, ‘Bukan. Malaikat bercakap kepada-Nya.’

30Isa berkata kepada mereka, ‘Suara itu kedengaran bukan demi kepentingan-Ku tetapi demi kepentinganmu.

31Sudah sampailah masanya dunia ini dihakimi. Kini pemerintah dunia ini akan digulingkan.

32Apabila Aku diangkat tinggi di atas bumi, Aku akan menarik semua manusia kepada-Ku.’

33Kata-kata Isa ini membayangkan cara kematian-Nya kelak.

34Orang ramai berkata kepada Isa, ‘Di dalam hukum Taurat ada tersurat bahawa al-Masih yang diutus Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu pula mengatakan bahawa Putera Insan akan diangkat tinggi di atas bumi? Siapakah Putera Insan itu?’

35Isa menjawab, ‘Cahaya itu akan menyertaimu sebentar sahaja lagi. Teruslah berjalan selagi ada cahaya itu sebelum kegelapan menyelubungimu. Seseorang yang berjalan dalam kegelapan tidak tahu ke mana arah tujuannya.

36Selagi ada cahaya itu menyertaimu, percayalah kepadanya, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya.’ Setelah berkata-kata demikian, Isa meninggalkan tempat itu lalu bersembunyi daripada mereka.

37Mereka tetap tidak percaya kepada-Nya walaupun telah banyak melihat mukjizat-Nya.

38Dengan demikian berlakulah nubuat Nabi Yasyaya: ‘Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami? Kepada siapakah tangan Tuhan ditunjukkan?’

39Itulah maka mereka tidak percaya, sebagaimana kata Yasyaya lagi:

40‘Dia telah membutakan mata mereka dan menjadikan mereka keras hati, supaya mata mereka tidak dapat melihat, dan hati mereka tidak dapat mengerti, lalu mereka tidak berpaling kepada-Ku untuk Kusembuhkan.’

41Yasyaya berkata demikian kerana dia telah melihat kemuliaan-Nya.

42Sebenarnya banyak juga pemerintah yang percaya kepada Isa. Namun, disebabkan orang Farisi itu, mereka tidak berani mengakui-Nya secara terbuka kerana takut disingkirkan daripada saumaah.

43Mereka lebih mencintai pujian manusia daripada pujian Allah.

44Isa berseru, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, juga percaya kepada Dia yang mengutus-Ku.

45Sesiapa yang melihat-Ku, juga melihat Dia yang mengutus-Ku.

46Aku datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya manusia yang percaya kepada-Ku tidak akan terus tinggal dalam kegelapan.

47‘Sekiranya seseorang mendengar kata-kata-Ku tetapi tidak mematuhinya, Aku tidak akan menghukumnya. Aku datang bukan untuk menghukum dunia ini tetapi untuk menyelamatkannya.

48Ada hakim bagi sesiapa yang tidak menerima-Ku dan kata-kata-Ku. Kata-kata yang Kusampaikan itulah yang akan menghakiminya pada hari akhir.

49Aku bercakap bukan mengikut kehendak-Ku sendiri. Bapa yang mengutus-Ku memerintahkan Aku tentang apa yang harus Kukatakan dan bagaimana menyampaikannya.

50Aku tahu bahawa perintah-Nya itu membawa hidup kekal. Oleh itu apa yang Kukatakan, Kusampaikan sebagaimana disuruh oleh Bapa-Ku.’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yohanes 12 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel