Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Raja-raja 17 >> 

Elia dan Kemarau Panjang

1Seorang nabi bernama Elia dari Tisbe di Gilead berkata kepada Raja Ahab, "Demi TUHAN yang hidup, Allah Israel yang hamba sembah, hamba memberitahu tuanku bahawa selama dua atau tiga tahun tidak akan ada embun ataupun hujan, sehingga hamba mengatakan ada hujan."

2Kemudian TUHAN berfirman kepada Elia,

3"Tinggalkanlah tempat ini dan pergilah ke sebelah timur. Bersembunyilah dekat sungai kecil Kerit, di sebelah timur Sungai Yordan.

4Engkau dapat minum dari sungai kecil itu, dan Aku akan memerintah burung gagak untuk membawa makanan kepadamu di situ."

5Elia mentaati perintah TUHAN itu. Dia pergi tinggal di tepi sungai kecil Kerit.

6Dia minum dari sungai kecil itu, dan burung gagak membawa roti dan daging kepadanya setiap pagi dan petang.

7Tidak berapa lama kemudian, sungai kecil itu kering kerana tidak ada hujan.

Elia dan Balu di Sarfat

8Kemudian TUHAN berfirman kepada Elia,

9"Pergilah ke kota Sarfat dekat Sidon, dan tinggallah di sana. Aku sudah memerintah seorang balu yang tinggal di sana untuk memberikan makanan kepadamu."

10Maka Elia pergi ke Sarfat. Apabila dia tiba di pintu gerbang kota itu, dia nampak seorang balu sedang mengumpulkan kayu api. Elia berkata kepadanya, "Tolong beri saya air minum."

11Apabila balu itu hendak pergi untuk mengambil air, Elia berkata lagi, "Dan tolonglah beri saya roti juga."

12Balu itu menjawab, "Demi TUHAN yang hidup, Allah yang tuan sembah, saya bersumpah bahawa saya tidak mempunyai roti. Saya hanya mempunyai segenggam tepung gandum di dalam mangkuk dan sedikit minyak zaitun di dalam botol. Saya sedang mengumpulkan sedikit kayu api untuk dibawa pulang supaya saya dapat memasak bahan yang tinggal itu untuk saya dan anak saya. Itulah makanan kami yang terakhir; setelah itu kami akan menunggu maut sahaja."

13Elia berkata kepadanya, "Jangan khuatir. Pergilah sediakan makananmu. Tetapi sebelum itu, mula-mula buatlah roti daripada tepung dan minyak itu dan hantarlah kepada saya. Kemudian buatlah roti untukmu dan anakmu,

14kerana demikianlah Firman TUHAN, Allah Israel, ‘Tepung di dalam mangkuk itu tidak akan habis dan minyak di dalam botol itu tidak akan berkurang sehingga tiba saatnya Aku, TUHAN, menurunkan hujan.’"

15Balu itu pergi dan melakukan apa yang disuruh oleh Elia. Mereka bertiga mempunyai cukup makanan berhari-hari lamanya.

16Tepung di dalam mangkuk itu tidak habis-habis, dan minyak di dalam botol itu tidak berkurang menurut firman TUHAN melalui Elia.

17Beberapa waktu kemudian, anak lelaki balu itu jatuh sakit. Penyakitnya bertambah teruk, dan akhirnya dia meninggal.

18Balu itu berkata kepada Elia, "Hai hamba Allah, mengapakah tuan melakukan hal ini kepada saya? Adakah tuan datang untuk mengingatkan Allah akan dosa saya, lalu menyebabkan kematian anak saya?"

19Elia berkata, "Bawalah anak itu kepada saya." Elia mengambil anak itu dari ibunya, lalu membawa anak itu ke ruangan atas, ke bilik yang ditumpangi Elia. Dia membaringkan anak itu di atas tempat tidur.

20Kemudian Elia berdoa dengan suara kuat, "Ya TUHAN, Allahku, mengapakah Engkau melakukan perkara yang sedahsyat ini kepada balu itu? Dia sudah memberikan tumpangan kepadaku, tetapi Engkau telah membunuh anaknya!"

21Kemudian Elia menelungkupkan badannya di atas anak itu tiga kali sambil berdoa, "Ya TUHAN, Allahku, hidupkanlah semula anak ini!"

22TUHAN mengabulkan doa Elia. Anak itu mula bernafas lagi, lalu hidup semula.

23Elia membawa anak itu turun ke bawah, lalu menyerahkan dia kepada ibu anak itu. Elia berkata, "Lihatlah, anakmu hidup semula!"

24Balu itu berkata, "Sekarang barulah saya tahu bahawa tuan seorang hamba Allah dan bahawa TUHAN benar-benar berfirman melalui tuan."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Raja-raja 17 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel