Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Samuel 28 >> 

1Beberapa waktu kemudian, orang Filistin mengerah tentera mereka untuk menyerang Israel. Raja Akhis bertitah kepada Daud, "Tentu kamu faham bahawa kamu dan anak buahmu wajib berpihak kepada beta."

2Daud menjawab, "Tentu, nanti tuanku akan nampak sendiri apa yang dapat dilakukan hamba tuanku ini." "Baiklah," titah Raja Akhis. "Beta akan menjadikan kamu pengawal peribadi beta yang tetap."

Raja Saul Menemui Seorang Pemanggil Arwah

3Samuel sudah meninggal dan dia diratapi oleh semua orang Israel, lalu dikebumikan di Rama, kotanya. Beberapa waktu yang lalu Raja Saul telah mengusir semua peramal dan pemanggil arwah dari Israel.

4Tentera Filistin berkumpul dan berkhemah dekat kota Sunem. Raja Saul mengumpulkan tentera Israel, lalu mereka berkhemah di Gunung Gilboa.

5Apabila Raja Saul nampak angkatan perang Filistin, baginda sangat ketakutan.

6Baginda bertanya kepada TUHAN tentang apa yang harus dilakukannya. Tetapi TUHAN tidak menjawab, baik dengan mimpi, mahupun dengan Urim dan Tumim, ataupun dengan perantaraan nabi.

7Oleh itu Raja Saul bertitah kepada para pegawainya, "Carilah seorang perempuan pemanggil arwah. Beta hendak bertemu dengan dia untuk meminta petunjuk." Mereka menjawab, "Di En-Dor ada seorang pemanggil arwah."

8Oleh itu Raja Saul menyamar supaya tidak dikenali orang. Baginda mengenakan pakaian lain. Dengan diiringi oleh dua orang lelaki, Raja Saul berangkat pada malam hari. Mereka sampai di rumah pemanggil arwah itu, lalu Raja Saul bertitah, "Panggillah arwah orang yang akan kusebut namanya, dan mintalah supaya dia meramalkan apa yang akan terjadi."

9Perempuan itu menjawab, "Tentu tuan pun tahu bahawa Raja Saul sudah memaksa semua peramal dan pemanggil arwah untuk meninggalkan Israel. Mengapa tuan mencuba mencelakakan saya sehingga saya dibunuh?"

10Kemudian Raja Saul bersumpah, "Demi TUHAN yang hidup, aku berjanji bahawa kamu tidak akan dihukum kerana melakukan perkara ini."

11"Arwah siapakah yang harus saya panggil untuk tuan?" tanya perempuan itu. "Arwah Samuel," jawab Raja Saul.

12Apabila perempuan itu nampak Samuel, dia berteriak dan berkata kepada Raja Saul, "Mengapa tuanku menipu hamba? Tuanku Raja Saul!"

13Raja Saul bertitah kepadanya, "Jangan takut! Beritahukanlah apa yang kamu nampak!" Perempuan itu berkata, "Hamba nampak roh muncul dari bumi."

14Raja Saul bertanya lagi, "Bagaimanakah rupanya?" Perempuan itu menjawab, "Rupanya seperti seorang lelaki tua. Dia memakai jubah." Raja Saul sedar bahawa itulah arwah Samuel, lalu baginda bersujud untuk menghormatinya.

15Samuel berkata kepada Raja Saul, "Mengapa kamu mengganggu aku dan memanggil aku kembali?" Raja Saul menjawab, "Aku dalam kesusahan besar! Orang Filistin menyerang aku, dan Allah sudah meninggalkan aku. Dia tidak menjawab aku lagi, sama ada dengan perantaraan nabi ataupun mimpi. Itulah sebabnya aku memanggil kamu, supaya kamu memberitahu aku apa yang harus kulakukan."

16Samuel berkata, "Apa gunanya kamu memanggil aku jika TUHAN sudah meninggalkan kamu, dan menjadi musuh kamu?

17TUHAN sudah melakukan apa yang telah difirmankan-Nya kepadamu melalui aku. TUHAN sudah mengambil kerajaan Israel daripadamu, lalu memberikannya kepada Daud.

18Kamu tidak taat kepada perintah TUHAN. Kamu tidak memunahkan orang Amalek dan segala milik mereka. Itulah sebabnya TUHAN melakukan perkara ini kepadamu sekarang.

19Dia akan menyerahkan kamu dan orang Israel kepada orang Filistin. Esok kamu dan putera-puteramu akan menyertai aku; bahkan tentera Israel pun akan diserahkan TUHAN kepada orang Filistin."

20Ketika itu juga Raja Saul jatuh terlentang di tanah kerana sangat ketakutan mendengar kata-kata Samuel. Lagi pun baginda sangat lemah kerana tidak makan apa-apa sehari semalam.

21Perempuan itu menghampiri Raja Saul dan mengetahui bahawa baginda sangat cemas. Oleh itu perempuan itu berkata kepada baginda, "Tuanku, hamba sudah mempertaruhkan nyawa untuk memenuhi permintaan tuanku.

22Sekarang kabulkanlah permohonan hamba. Makanlah sedikit makanan yang akan hamba hidangkan supaya tuanku dapat meneruskan perjalanan."

23Raja Saul menolak dan bertitah bahawa baginda tidak mahu santap. Tetapi pegawai-pegawai Raja Saul pun mendesaknya supaya santap. Akhirnya Raja Saul menurut; baginda bangun dari tanah lalu duduk di atas tempat tidur.

24Dengan segera perempuan itu menyembelih seekor anak lembu yang gemuk. Dia juga mengambil tepung dan menyiapkannya, lalu memasak roti yang tidak beragi.

25Dia menghidangkan makanan itu kepada Raja Saul dan pegawai-pegawainya, lalu mereka pun makan. Kemudian mereka berangkat pada malam itu juga.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Samuel 28 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
© 2010-2022
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran