Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Raja-raja 9 >> 

Raja Yehu Dilantik Menjadi Raja Israel

1Pada masa itu Nabi Elisa memanggil salah seorang nabi yang dididiknya daripada kumpulan nabi, lalu berkata kepadanya, "Bersiaplah dan pergilah ke Ramot di Gilead. Bawalah bejana yang berisi minyak zaitun.

2Apabila kamu sampai di sana carilah Yehu anak Yosafat, cucu Nimsi. Bawalah dia sendirian ke suatu bilik, terasing daripada sahabat-sahabatnya.

3Lalu tuanglah minyak zaitun ini ke atas kepalanya dan katakan, ‘Dengan ini TUHAN mengisytiharkan bahawa Dia telah melantik engkau menjadi raja Israel.’ Setelah itu tinggalkanlah tempat itu secepat mungkin."

4Nabi muda itu pergi ke Ramot.

5Di sana dia menjumpai Yehu dan para panglima tentera sedang bermesyuarat. Dia berkata, "Tuan, saya ada berita untuk tuan." Yehu bertanya, "Kepada siapakah kamu menyampaikan berita itu?" "Kepada tuan," jawabnya.

6Kemudian mereka berdua masuk ke dalam bilik, lalu nabi muda itu menuangkan minyak zaitun ke atas kepala Yehu sambil berkata, "TUHAN, Allah Israel mengisytiharkan, ‘Dengan ini Aku melantik engkau menjadi raja umat-Ku Israel.

7Hendaklah engkau membunuh keluarga tuanmu, anak Ahab itu, supaya Aku dapat menghukum Izebel yang telah membunuh nabi-nabi-Ku dan hamba-hamba-Ku yang lain.

8Semua anggota keluarga Ahab dan keturunannya mesti mati. Aku akan membunuh semua kaum lelaki keluarganya, baik yang muda mahupun yang tua.

9Aku akan memperlakukan keluarganya seperti Aku memperlakukan keluarga Yerobeam dan Baesa, raja-raja Israel.

10Izebel tidak akan dikebumikan. Jenazahnya akan dimakan anjing di kawasan Yizreel.’" Setelah mengatakan semua itu, nabi muda itu meninggalkan bilik lalu pergi dengan cepat.

11Yehu kembali kepada para panglima yang lain. Mereka bertanya kepadanya, "Apakah berita yang dibawanya? Mengapa orang gila itu datang kepadamu?" "Tidakkah kamu tahu?" tanya Yehu.

12"Tidak!" jawab mereka. "Beritahukanlah apa katanya." "Dia memberitahu saya bahawa TUHAN mengisytiharkan, ‘Aku telah melantik engkau menjadi raja Israel.’"

13Pada saat itu juga, sahabat-sahabat Yehu membentangkan jubah mereka di bahagian atas tangga bagi Yehu. Mereka meniup trompet dan berseru, "Yehu raja!"

Raja Yoram, Raja Israel Dibunuh

14Selepas itu Raja Yehu berkomplot melawan Raja Yoram. Pada masa itu Raja Yoram berada di Yizreel. Raja Yoram pergi ke sana untuk mendapatkan rawatan bagi lukanya akibat pertempuran di Ramot melawan Raja Hazael, raja negeri Siria. Raja Yehu berkata kepada sahabat-sahabatnya, "Jika kamu setuju beta menjadi raja, jagalah supaya jangan seorang pun keluar dari Ramot untuk memberitahukan rahsia itu kepada penduduk Yizreel."

15(9:14)

16Raja Yehu menaiki kereta kuda baginda, lalu berangkat ke Yizreel. Pada masa itu Raja Yoram masih belum sembuh, dan Raja Ahazia dari Yehuda berada di situ untuk menziarahi Raja Yoram.

17Seorang pengawal yang bertugas di menara di Yizreel nampak Raja Yehu dan anak buahnya datang. Katanya, "Hamba nampak beberapa orang datang!" Raja Yoram menjawab, "Suruhlah seorang askar berkuda pergi menyiasat sama ada mereka itu kawan atau lawan."

18Askar itu menghampiri Raja Yehu dan berkata kepadanya, "Raja Yoram hendak tahu sama ada tuan datang sebagai sahabat." "Itu bukan urusanmu!" jawab Raja Yehu. "Ikutlah di belakang beta." Pengawal yang di menara itu melaporkan bahawa askar itu telah sampai kepada kumpulan orang itu, tetapi dia tidak kembali.

19Seorang askar lain disuruh pergi, dan dia menanyakan hal yang sama kepada Raja Yehu. Sekali lagi Raja Yehu menjawab, "Itu bukan urusanmu! Ikutlah di belakang beta."

20Sekali lagi pengawal itu melaporkan bahawa askar itu telah sampai kepada kumpulan orang itu, tetapi dia tidak kembali. Katanya lagi, "Pemimpin rombongan itu memandu kereta kudanya seperti orang gila, seolah-olah dia itu Yehu!"

21Raja Yoram bertitah, "Siapkanlah kereta kuda beta." Setelah kereta kudanya siap, baginda dan Raja Ahazia berangkat dengan kereta kuda masing-masing untuk menemui Raja Yehu. Mereka bertemu dengan Raja Yehu di ladang bekas milik Nabot.

22Raja Yoram bertanya kepada Raja Yehu, "Adakah kamu datang sebagai sahabat?" Raja Yehu bertitah, "Mana mungkin sebagai sahabat selama di sini masih berlaku di sini ilmu sihir dan penyembahan berhala yang dimulakan oleh Izebel, bonda raja itu?"

23"Pengkhianatan!" seru Raja Yoram kepada Raja Ahazia, sambil membelokkan kereta kudanya lalu melarikan diri dari situ.

24Tetapi Raja Yehu mengambil busurnya, dan dengan sekuat tenaga baginda memanah Raja Yoram dari belakang. Anak panah itu menusuk jantung Raja Yoram, lalu baginda jatuh dan mangkat di dalam kereta kudanya.

25Raja Yehu bertitah kepada Bidkar, ajutannya, "Ambillah jenazahnya dan buangkan di tanah milik Nabot. Ingatlah bahawa ketika kamu dan beta menunggang kuda di belakang Raja Ahab, ayahanda Raja Yoram dahulu, TUHAN pernah berfirman demikian untuk menentang Raja Ahab,

26‘Semalam Aku nampak pembunuhan Nabot dan anak-anaknya. Sekarang Aku berjanji bahawa Aku akan menghukum engkau di sini, di tanah ini juga.’ Oleh itu ambillah jenazah Raja Yoram, dan buangkan ke tanah bekas milik Nabot, supaya terlaksana hukuman Allah kepadanya."

Raja Ahazia, Raja Yehuda Dibunuh

27Raja Ahazia nampak apa yang telah berlaku. Oleh itu baginda melarikan diri dengan kereta kudanya ke arah kota Bet-Hagan. Raja Yehu mengejar Raja Ahazia. "Bunuhlah raja itu juga!" perintah Raja Yehu kepada anak buahnya. Mereka memanah Raja Ahazia sedang baginda melarikan diri dengan kereta kudanya dalam perjalanan ke Gur, dekat kota Yibleam. Tetapi Raja Ahazia berjaya lari sampai ke Megido lalu mangkat di sana.

28Pegawai-pegawai Raja Ahazia membawa jenazahnya kembali ke Yerusalem dengan sebuah kereta kuda lalu memakamkannya di perkuburan diraja di Kota Daud.

29Raja Ahazia menjadi raja Yehuda pada tahun kesebelas pemerintahan Raja Yoram putera Raja Ahab di Israel.

Permaisuri Izebel Dibunuh

30Kemudian Raja Yehu tiba di Yizreel. Apabila Izebel mendengar apa yang telah berlaku, dia mencelaki kelopak matanya, menghias rambutnya, lalu melihat ke bawah dari jendela istana.

31Apabila Raja Yehu lalu di pintu gerbang, Izebel berteriak, "Hai Zimri, pembunuh! Mengapa engkau ke mari?"

32Raja Yehu melihat ke atas lalu bertitah, "Adakah sesiapa yang memihak beta?" Ada dua atau tiga orang pegawai istana melihat ke bawah dari sebuah jendela.

33Lalu Raja Yehu bertitah kepada mereka, "Lemparlah perempuan itu ke bawah!" Mereka pun melemparkan Izebel ke bawah sehingga darahnya terpercik ke tembok dan kepada beberapa ekor kuda di situ. Raja Yehu menggelek jenazah Izebel dengan kuda dan kereta kudanya,

34lalu masuk ke istana dan makan. Setelah itu Raja Yehu bertitah, "Perempuan itu jahanam. Meskipun begitu, kebumikanlah jenazahnya kerana dia puteri raja."

35Tetapi orang yang hendak mengebumikan jenazah Izebel itu tidak menemukan apa-apa lagi kecuali tengkorak dan tulang-tulang tangan serta kakinya.

36Apabila mereka melaporkan hal itu kepada Raja Yehu, Raja Yehu bertitah, "Hal ini berlaku seperti yang telah difirmankan TUHAN melalui hamba-Nya Elia, ‘Anjing akan makan jenazah Izebel di kawasan Yizreel.

37Sisa-sisa jenazahnya akan bertaburan seperti najis binatang, sehingga tidak dapat dikenali lagi.’"


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  2 Raja-raja 9 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel