Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Samuel 15 >> 

Absalom Merancangkan Pemberontakan

1Selepas itu Absalom menyediakan sebuah kereta kuda dan beberapa ekor kuda untuk dirinya, dan juga lima puluh orang pengiring peribadi.

2Biasanya Absalom bangun pagi-pagi lalu berdiri di tepi jalan dekat pintu gerbang kota. Setiap orang yang hendak mengadukan perkaranya kepada raja, dipanggil dan ditanyai oleh Absalom. Katanya, "Kamu daripada suku mana?" Jika orang itu menjawab, "Daripada suku ini atau itu,"

3maka Absalom berkata, "Menurut undang-undang, kamu benar, tetapi sayang tiada wakil raja yang mahu mendengarkan pengaduanmu."

4Absalom berkata lagi, "Andaikata saya ini hakim, setiap orang yang mempunyai perselisihan atau tuntutan boleh datang kepada saya, dan saya akan memperlakukannya dengan adil."

5Jika ada orang yang mendekati Absalom untuk sujud di hadapannya, Absalom menghulurkan tangan, lalu memeluk orang itu dan menciumnya.

6Absalom berlaku demikian terhadap setiap orang Israel yang hendak mengadukan perkara kepada raja. Dengan demikian Absalom mengambil hati orang Israel.

7Setelah empat tahun berlalu, Absalom berkata kepada Raja Daud, "Ayahanda, izinkanlah saya pergi ke Hebron untuk memenuhi janji saya kepada TUHAN.

8Pada waktu saya tinggal di Gesur, di negeri Siria, saya berjanji akan pergi beribadat kepada TUHAN di Hebron, jika Dia membawa saya pulang ke Yerusalem."

9Raja menjawab, "Pergilah dengan selamat." Maka Absalom berangkat ke Hebron.

10Tetapi sebelum itu dia telah mengirim utusan-utusan kepada semua suku Israel, dengan membawa pesan, "Jika kamu mendengar bunyi trompet, berserulah ‘Absalom sudah menjadi raja di Hebron!’"

11Seramai dua ratus orang dari Yerusalem telah dijemput oleh Absalom untuk mengiringinya ke Hebron. Mereka tidak tahu apa-apa tentang pakatan itu dan mereka semua ikut pergi tanpa curiga.

12Sementara Absalom mempersembahkan korban, dia juga mengirim utusan ke kota Gilo untuk memanggil Ahitofel, salah seorang penasihat Raja Daud. Demikianlah pakatan untuk melawan Raja Daud semakin kuat, dan pengikut-pengikut Absalom semakin banyak.

Raja Daud Melarikan Diri dari Yerusalem

13Kemudian seorang utusan melaporkan hal itu kepada Raja Daud, "Orang Israel sudah memihak Absalom."

14Oleh itu Raja Daud bertitah kepada semua pegawainya yang ada di Yerusalem, "Kita mesti melarikan diri sekarang juga, kalau kita mahu terlepas daripada Absalom! Cepatlah! Kalau tidak, dia akan segera tiba dan mengalahkan kita, serta membunuh semua orang di kota!"

15"Baik, tuanku," jawab mereka. "Hamba semua sedia melakukan apa saja kehendak tuanku."

16Oleh itu raja berangkat, diiringi oleh semua anggota keluarganya dan pegawainya, kecuali sepuluh orang gundiknya yang ditinggalkan untuk menunggu istana.

17Pada waktu raja dan semua pengiring baginda berjalan meninggalkan kota, mereka berhenti dekat rumah yang terakhir.

18Semua pegawai raja berdiri di sebelahnya ketika pasukan pengawal raja lalu di hadapan baginda. Selain itu seramai enam ratus orang askar yang mengikutinya dari Gat, juga lalu di hadapan baginda.

19Apabila raja nampak mereka, raja bertitah kepada Itai, ketua enam ratus orang askar itu, "Mengapa kamu ikut juga dengan kami? Lebih baik kamu balik dan tinggal bersama dengan raja yang baru. Kamu orang asing di sini, orang pelarian yang jauh dari negeri sendiri.

20Kamu belum tinggal lama di sini, dan beta tidak mahu kamu ikut mengembara dengan beta. Beta sendiri tidak tahu ke mana beta akan pergi. Baliklah dan bawalah juga rakan-rakan sebangsa kamu. Semoga TUHAN mengasihi kamu dan setia kepada kamu."

21Tetapi Itai menjawab, "Tuanku, hamba bersumpah kepada tuanku, demi TUHAN yang hidup bahawa ke mana pun tuanku pergi, hamba akan ikut juga, meskipun menghadapi kematian."

22"Baiklah!" jawab Raja Daud. "Majulah!" Maka Itai berjalan bersama dengan segenap pasukannya dan keluarga mereka.

23Semua orang menangis dengan nyaring ketika para pengikut Raja Daud meninggalkan kota. Kemudian raja menyeberangi Sungai Kidron, diikuti oleh segenap pasukannya, lalu berjalan menuju ke padang gurun.

24Imam Zadok dan Imam Abyatar berada di situ bersama-sama orang Lewi yang mengangkat Tabut Perjanjian TUHAN. Tabut Perjanjian itu diturunkan, dan tidak diangkat lagi sebelum semua orang sudah meninggalkan kota.

25Kemudian raja bertitah kepada Zadok, "Kembalikanlah Tabut Perjanjian itu ke kota. Jika TUHAN berkenan kepada beta, tentu Dia akan mengizinkan beta kembali dan melihat Tabut Perjanjian itu lagi, dan juga tempat Tabut Perjanjian itu disimpan.

26Tetapi jika TUHAN tidak berkenan kepada beta, terserah sajalah kepada apa kehendak-Nya bagi diri beta."

27Selanjutnya raja bertitah kepada Zadok, "Ajaklah Ahimaas anakmu dan Yonatan anak Abyatar, dan kembalilah ke kota dengan tenang.

28Sementara itu beta akan menunggu dekat tempat penyeberangan sungai di padang gurun sehingga menerima khabar daripada kamu."

29Maka Zadok dan Abyatar membawa Tabut Perjanjian kembali ke Yerusalem dan mereka tinggal di situ.

30Raja Daud tidak berkasut, dan bersama-sama semua pengikutnya, mereka mendaki Bukit Zaitun sambil menangis dengan kepala berselubung sebagai tanda bersedih.

31Ketika Raja Daud diberitahu bahawa Ahitofel juga ikut memberontak dengan Absalom, Raja Daud berdoa, "Ya, TUHAN, sia-siakanlah nasihat Ahitofel!"

32Pada waktu Raja Daud sampai ke puncak bukit, di tempat ibadat di situ, baginda disambut oleh sahabatnya yang setia, Husai orang Arki. Husai sudah mengoyakkan pakaiannya dan menaburkan abu di atas kepalanya.

33Raja Daud bertitah kepadanya, "Jika kamu ikut bersama-sama beta, kamu tidak dapat menolong beta.

34Tetapi kamu dapat menolong beta jika kamu kembali ke kota. Kemudian katakanlah kepada Absalom bahawa sekarang kamu hendak berkhidmat dengan setia kepadanya, seperti kamu berkhidmat kepada bapanya dahulu. Dengan cara demikian kamu dapat menggagalkan segala nasihat Ahitofel.

35Imam Zadok dan Imam Abyatar juga ada di sana. Beritahulah mereka segala sesuatu yang kamu dengar di istana.

36Ahimaas anak Zadok dan Yonatan anak Abyatar juga mengikuti bapa mereka. Kirimlah semua berita kepadaku dengan perantaraan Ahimaas dan Yonatan."

37Oleh itu Husai, sahabat Raja Daud kembali ke Yerusalem, tepat pada waktu Absalom tiba di situ.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  2 Samuel 15 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel