Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Samuel 16 >> 

Raja Daud dan Ziba

1Ketika Raja Daud baru sahaja melalui puncak bukit, tiba-tiba Ziba, hamba Mefiboset datang menemui baginda. Ziba datang dengan dua ekor keldai yang mengangkut muatan dua ratus buku roti, seratus rangkai kismis, seratus ikat buah-buahan segar dan satu kirbat penuh wain.

2Raja Daud bertanya kepadanya, "Untuk apakah semua ini?" Ziba menjawab, "Keldai-keldai ini untuk tunggangan keluarga tuanku; roti dan buah-buahan ini untuk hamba-hamba tuanku, dan wain ini untuk minuman mereka apabila letih di padang gurun kelak."

3Raja bertanya kepadanya, "Di manakah Mefiboset, cucu tuanmu Raja Saul?" Ziba menjawab, "Dia tinggal di Yerusalem, kerana dia yakin bahawa umat Israel akan mengembalikan kerajaan datuknya Raja Saul kepadanya."

4Raja bertitah kepada Ziba, "Mulai sekarang segala milik Mefiboset menjadi milikmu." "Terima kasih tuanku," jawab Ziba. "Semoga hamba selalu diperkenan oleh tuanku."

Raja Daud dan Simei

5Apabila Raja Daud sampai di Bahurim, seorang dari tempat itu datang menghampiri rombongan raja sambil mengutuki Raja Daud. Orang itu bernama Simei anak Gera, salah seorang sanak saudara Raja Saul.

6Simei melempari Raja Daud dan para pegawainya dengan batu, meskipun Raja Daud dikelilingi oleh anak buahnya dan para pengawalnya.

7Simei mengutuki baginda dan berkata, "Pergi! Pergi! Pembunuh! Penjenayah!

8Engkau telah merampas kerajaan Raja Saul! Sekarang engkau dihukum oleh TUHAN kerana membunuh begitu banyak sanak saudara Raja Saul. TUHAN telah memberikan kerajaanmu kepada anakmu Absalom. Sekarang mampuslah engkau, hai pembunuh!"

9Abisai, ibunya ialah Zeruya, berkata kepada raja, "Mengapa tuanku membiarkan anjing ini mengutuki tuanku? Benarkanlah hamba memenggal kepalanya!"

10Tetapi raja bertitah kepada Abisai dan Yoab abangnya, "Jangan masuk campur. Biarkan saja dia mengutuki beta. Jika TUHAN menyuruh dia mengutuki beta, siapakah yang berhak menanyakan mengapa dia berbuat begitu?"

11Raja Daud bertitah kepada Abisai dan semua pegawainya, "Anak kandung beta sendiri berusaha membunuh beta; mengapa pula kamu hairan melihat kelakuan orang Benyamin ini? TUHAN menyuruh dia mengutuk beta, kerana itu jangan lakukan apa-apa terhadap dia, dan biarkan saja dia mengutuk beta.

12Mungkin TUHAN akan memperhatikan penderitaan beta dan memberkati beta sebagai ganti kutuk itu."

13Oleh itu Raja Daud dan anak buahnya meneruskan perjalanan, sementara Simei berjalan cepat mengikuti mereka di lereng bukit sambil mengutuki dan melempari mereka dengan batu dan tanah.

14Raja dan semua anak buahnya sangat letih ketika sampai di Sungai Yordan, lalu mereka berehat di situ.

Absalom di Yerusalem

15Sementara itu Absalom dan semua orang Israel yang mengiringinya memasuki kota Yerusalem, dan Ahitofel pun ada bersama-sama mereka.

16Apabila Husai, sahabat Raja Daud yang setia itu bertemu dengan Absalom, Husai berseru, "Daulat tuanku! Daulat tuanku!"

17Tetapi Absalom bertanya kepadanya, "Di mana kesetiaanmu kepada Raja Daud, sahabatmu? Mengapa kamu tidak ikut dengan baginda?"

18Husai menjawab, "Mana mungkin! Hamba memihak orang yang dipilih oleh TUHAN dan oleh semua orang ini, dan oleh semua orang Israel. Orang itulah yang hamba ikuti.

19Lagipun, kepada siapakah hamba mengabdikan diri, kalau bukan putera kepada tuan hamba? Sebagaimana hamba mengabdikan diri kepada ayahanda tuanku, begitu juga hamba akan mengabdikan diri kepada tuanku sekarang."

20Kemudian Absalom berkata kepada Ahitofel, "Katakanlah apa yang harus kita lakukan."

21Ahitofel menjawab, "Pergilah berseketiduran dengan gundik-gundik ayahanda tuanku, yang ditinggalkan untuk menunggui istana. Dengan perbuatan itu, semua orang Israel akan tahu bahawa tuanku sudah dianggap musuh oleh ayahanda tuanku, dan semua pengikut tuanku akan bertambah berani."

22Maka sebuah khemah dipasang untuk Absalom di atas atap istana yang rata itu. Kemudian dengan disaksikan oleh semua orang, Absalom masuk ke dalam khemah itu lalu berseketiduran dengan gundik-gundik ayahandanya.

23Pada masa itu setiap nasihat Ahitofel diterima dengan baik, seolah-olah semuanya firman Allah sendiri; baik Raja Daud mahupun Absalom menurut nasihat Ahitofel.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  2 Samuel 16 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel