Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Samuel 24 >> 

Raja Daud Membanci Penduduk Israel dan Yehuda

1TUHAN murka lagi kepada umat Israel, lalu Dia menyuruh Raja Daud untuk mendatangkan kesukaran kepada umat itu. TUHAN berfirman kepada Raja Daud, "Adakanlah pembancian penduduk Israel dan Yehuda."

2Kemudian Raja Daud memerintah Yoab, panglima perang baginda, "Pergilah bersama dengan para pahlawanmu kepada semua suku Israel di seluruh negeri untuk mengadakan pembancian. Beta ingin tahu jumlah mereka."

3Tetapi Yoab berkata kepada raja, "Semoga TUHAN, Allah tuanku melipatgandakan rakyat Israel sampai seratus kali daripada jumlah sekarang, dan semoga tuanku masih hidup supaya dapat melihatnya. Tetapi untuk apakah tuanku menghendaki pembancian ini?"

4Tetapi raja tetap berpegang pada perintahnya itu. Oleh itu Yoab dan para pahlawannya pergi membanci umat Israel.

5Setelah menyeberangi Sungai Yordan, Yoab dan anak buahnya berkhemah di sebelah selatan Aroer, sebuah kota di tengah-tengah lembah di wilayah Gad. Dari situ mereka pergi ke utara, ke Yaezer,

6lalu terus ke Gilead dan ke Kades di wilayah orang Het. Kemudian mereka pergi ke Dan, lalu dari Dan mereka membelok ke arah barat, ke kota Saida.

7Dari situ mereka pergi ke selatan, ke Tirus, kota yang berkubu itu. Seterusnya mereka pergi ke semua kota orang Hewi dan orang Kanaan, dan akhirnya ke Bersyeba, di bahagian selatan Yehuda.

8Mereka menjelajahi seluruh negeri dalam masa sembilan bulan dan dua puluh hari, lalu mereka kembali ke Yerusalem.

9Mereka memberikan laporan kepada raja tentang jumlah lelaki yang memenuhi syarat untuk menjadi askar: 800,000 orang di Israel dan 500,000 orang di Yehuda.

10Tetapi setelah membanci umat itu, Raja Daud berasa bersalah. Lalu baginda berkata kepada TUHAN, "Ya TUHAN, aku sangat berdosa! Ampunilah aku, kerana tindakanku itu sangat bodoh."

11TUHAN berfirman kepada Gad, nabi yang berkhidmat kepada Raja Daud, "Pergilah dan katakanlah kepada Raja Daud bahawa Aku memberikan tiga pilihan kepadanya. Apa saja yang dipilihnya akan Kulakukan." Keesokan harinya, selepas Raja Daud bangun dari tidur,

12(24:11)

13Gad datang menghadap baginda dan menyampaikan firman TUHAN kepadanya. Nabi itu bertanya, "Yang mana satu pilihan tuanku? Negeri ini ditimpa bencana kebuluran selama tiga tahun, atau tuanku lari dikejar musuh selama tiga bulan, atau negeri ini diserang wabak selama tiga hari? Fikirkanlah hal ini, dan beritahulah hamba jawapan yang akan hamba sampaikan kepada TUHAN."

14Raja Daud menjawab, "Beta dalam keadaan yang sangat mencemaskan! Tetapi beta tidak mahu dihukum oleh manusia. Biarlah TUHAN sendiri yang menghukum kita, kerana Dia penuh belas kasihan."

15Oleh itu TUHAN mendatangkan wabak kepada orang Israel mulai pagi hari itu sampai pada waktu yang telah ditetapkan-Nya. Sebanyak 70,000 orang meninggal di seluruh Israel.

16Malaikat TUHAN telah sampai di tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna, orang Yebusi. Ketika TUHAN nampak bahawa malaikat itu telah bersedia untuk memusnahkan Yerusalem, TUHAN mengubah keputusan-Nya untuk menghukum umat itu. Dia berfirman kepada malaikat yang sedang membunuh umat itu, "Cukup! Berhenti!"

17Raja Daud nampak malaikat yang sedang membunuh rakyat itu, lalu baginda berkata kepada TUHAN, "Akulah yang berdosa kerana aku melakukan kesalahan itu. Tetapi apakah kesalahan bangsa yang malang itu? Hukumlah aku dan keluargaku!"

18Pada hari itu juga Gad datang menghadap Raja Daud dan berkata kepadanya, "Hendaklah tuanku naik ke tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna, dan dirikanlah mazbah bagi TUHAN."

19Maka Raja Daud berangkat, menurut perintah TUHAN yang disampaikan oleh Gad.

20Arauna melihat ke bawah, lalu nampak raja serta para pegawainya naik menuju ke tempatnya. Kemudian Arauna sujud di hadapan Raja Daud,

21lalu bertanya, "Apa maksud kedatangan tuanku?" Raja Daud menjawab, "Untuk membeli tempat mengirik gandum kepunyaanmu, dan untuk mendirikan mazbah bagi TUHAN, supaya wabak ini berhenti."

22Arauna berkata, "Ambil saja tuanku, dan persembahkanlah apa saja yang dikehendaki tuanku, kepada TUHAN. Inilah lembu-lembu untuk dibakar sebagai korban di atas mazbah, dan tuanku boleh menggunakan koknya dan papan-papan tempat mengirik sebagai kayu api."

23Arauna memberikan semua itu kepada raja, seraya berkata, "Kiranya TUHAN, Allah tuanku menerima persembahan tuanku."

24Tetapi raja menjawab, "Tidak! Beta mahu membelinya. Beta tidak mahu mempersembahkan sesuatu yang beta dapat dengan percuma, kepada TUHAN, Allah beta." Raja Daud membeli tempat mengirik gandum dan lembu-lembu itu dengan harga lima puluh keping wang perak.

25Kemudian Raja Daud mendirikan mazbah di situ bagi TUHAN, lalu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN serta korban untuk memohon berkat TUHAN. TUHAN mengabulkan doa Raja Daud, lalu wabak yang melanda Israel itu berhenti.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  2 Samuel 24 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel