Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Tawarikh 1 >> 

Raja Salomo Berdoa Meminta Kebijaksanaan

1Raja Salomo, putera Raja Daud mengukuhkan pemerintahannya atas Israel, dan TUHAN, Allahnya memberkati baginda, serta menjadikan baginda sangat berkuasa.

2Raja Salomo memerintahkan semua pegawai yang mengetuai pasukan yang terdiri daripada seribu orang dan seratus orang, dan semua pegawai kerajaan, semua ketua keluarga, serta segenap rakyat

3supaya mengikut baginda ke tempat ibadat di Gibeon. Mereka pergi ke sana kerana Khemah TUHAN terletak di sana. Khemah TUHAN itu dibuat oleh Musa, hamba TUHAN, di padang gurun dahulu.

4(Tetapi Tabut Perjanjian telah dibawa ke Yerusalem, dan disimpan di dalam khemah yang dibina oleh Raja Daud ketika baginda memindahkan Tabut itu dari Kiryat-Yearim.)

5Mazbah gangsa yang dibuat oleh Bezaleel anak Uri, cucu Hur, juga ada di Gibeon, di hadapan Khemah TUHAN. Raja Salomo dan segenap rakyat menyembah TUHAN di situ.

6Di hadapan Khemah itu raja menyembah TUHAN dengan mempersembahkan korban di atas mazbah gangsa. Baginda mempersembahkan seribu ekor binatang di atas mazbah itu, sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.

7Pada malam itu Allah menampakkan diri kepada Raja Salomo dan bertanya kepadanya, "Apakah yang engkau ingin Aku berikan kepadamu?"

8Raja Salomo menjawab, "Engkau telah menunjukkan kasih yang besar kepada Daud, bapaku. Sekarang Engkau telah mengizinkan aku menggantikan dia sebagai raja.

9Ya TUHAN Allah, tepatilah janji yang Engkau buat kepada bapaku. Engkau telah melantik aku menjadi raja bagi satu umat yang begitu besar bilangannya sehingga tidak dapat dihitung.

10Oleh itu kurniailah aku kebijaksanaan dan pengetahuan yang aku perlukan untuk memerintah mereka. Jika tidak, aku tidak sanggup memerintah umat-Mu yang banyak ini."

11Allah berfirman kepada Salomo, "Engkau telah membuat pilihan yang tepat. Engkau tidak meminta kekayaan, atau harta, atau kemasyhuran, atau kematian musuhmu, ataupun umur panjang untuk dirimu sendiri; sebaliknya engkau meminta kebijaksanaan dan pengetahuan supaya engkau dapat memerintah umat-Ku, dan engkau telah Kujadikan raja mereka.

12Aku akan mengurniakan kebijaksanaan dan pengetahuan kepadamu. Selain itu, Aku juga akan mengurniai engkau kekayaan dan harta yang lebih banyak lagi, serta menjadikan engkau lebih termasyhur daripada raja lain baik pada masa lampau mahupun pada masa hadapan."

Kekuasaan dan Kekayaan Raja Salomo

13Kemudian Raja Salomo meninggalkan tempat ibadat di Gibeon, iaitu tempat Khemah TUHAN, lalu baginda pulang ke Yerusalem. Di sana baginda memerintah Israel.

14Raja Salomo melengkapi angkatan perangnya dengan 1,400 buah kereta kuda, dan 12,000 ekor kuda untuk pasukan berkuda. Sebahagian angkatan itu ditempatkannya di Yerusalem, dan yang lain ditempatkan di berbagai-bagai kota lain.

15Pada masa pemerintahan Raja Salomo, perak dan emas menjadi barang biasa seperti batu di Yerusalem, dan kayu sedar pun banyak seperti kayu ara di kaki bukit di Yehuda.

16Para peniaga yang bertugas untuk raja, mengimport kuda dari Musri dan Kilikia,

17dan mengimport kereta kuda dari Mesir. Kemudian kuda dan kereta kuda itu dieksport kepada raja-raja Het dan raja-raja Siria dengan harga 150 keping wang perak untuk seekor kuda, dan 600 keping wang perak untuk sebuah kereta kuda.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  2 Tawarikh 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel