Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Ayub 31 >> 

1Dengan sumpah aku telah berjanji, tidak memandang gadis muda dengan berahi.

2Apakah yang dilakukan Allah Yang Maha Kuasa kepada kita? Bagaimanakah Dia membalas perbuatan manusia?

3Dia mendatangkan kecelakaan dan kemusnahan kepada mereka yang melakukan kesalahan.

4Allah tahu segala perbuatanku; Dia melihat setiap langkahku.

5Aku bersumpah bahawa aku tidak pernah bertindak curang, dan aku tidak pernah menipu orang.

6Biarlah Allah menimbang aku dengan penimbang yang sah, dan Dia akan tahu bahawa aku tidak bersalah.

7Jika aku telah berpaling dari jalan yang benar, atau hatiku tertarik kepada hal yang cemar, jika tanganku kotor kerana dosa,

8maka biarlah orang lain makan apa yang aku tabur, dan biarlah seluruh tanamanku hancur.

9Jika aku tertarik kepada isteri jiranku, dan menanti dia sambil bersembunyi di balik pintu,

10maka biarlah isteriku memasak makanan lelaki lain, dan tidur di katil lelaki lain.

11Dosa seperti itu jahat sekali, dan orang yang melakukannya patut dihukum mati.

12Dosa itu membinasakan seperti api neraka, membakar segala yang aku miliki.

13Apabila hambaku mengadu kerana haknya kusalahi, aku mendengar dan memperlakukan dia dengan tulus hati.

14Jika tidak, bagaimana aku dapat menghadap Allah? Apakah yang dapat aku katakan ketika aku diadili Allah?

15Allah yang menciptakan aku, juga menciptakan hamba-hambaku.

16Aku belum pernah enggan menolong orang yang papa, dan belum pernah membiarkan balu hidup putus asa.

17Aku belum pernah membiarkan anak yatim piatu kelaparan, sedang aku sendiri cukup makanan.

18Aku seperti bapa kepada anak yatim piatu, aku selalu membela balu.

19Ketika aku bertemu dengan orang yang berkekurangan, yang terlalu miskin untuk membeli pakaian,

20aku memberinya pakaian daripada bulu dombaku sendiri, maka dia akan memuji aku dengan sepenuh hati.

21Jika aku pernah menipu anak yatim piatu kerana aku tahu bahawa aku akan memenangi perkaraku,

22biarlah lenganku dipatahkan, sehingga dari bahuku dipisahkan.

23Oleh sebab aku takut terhadap hukuman Allah, aku tidak sekali-kali berani melakukan hal itu.

24Aku tidak pernah bergantung pada kekayaanku,

25ataupun membanggakan hartaku.

26Aku tidak pernah menyembah matahari yang bersinar cerah, ataupun bulan yang bercahaya indah.

27Aku tidak pernah terpikat kepada semuanya, dan tidak pernah mencium tanganku untuk menghormati semuanya.

28Dosa itu patut dijatuhi hukuman mati, kerana Allah Yang Maha Kuasa diingkari.

29Aku tidak pernah gembira ketika musuhku menderita, dan tidak pernah suka apabila mereka ditimpa bencana.

30Aku tidak pernah mendoakan kematian mereka; aku tidak pernah berdosa begitu.

31Semua orang yang bekerja untuk aku tahu bahawa orang yang tidak kukenal, aku jamu di rumahku.

32Rumahku terbuka kepada pengembara, dan aku tidak pernah membiarkan mereka tidur di jalan raya.

33Orang lain cuba menyembunyikan dosa, tetapi aku tidak berbuat seperti mereka.

34Pendapat umum tidak aku takuti, dan penghinaan orang tidak kupeduli; aku tidak pernah tinggal di rumah atau diam sahaja, kerana takut akan cacian mereka.

35Tiadakah sesiapa yang mahu mendengar kata-kataku? Aku bersumpah bahawa setiap perkataanku benar. Biarlah Allah Yang Maha Kuasa menjawab aku. Jika semua tuduhan lawanku dituliskan supaya aku dapat melihatnya,

36maka aku akan memasangnya pada bahu, dan mengenakannya seperti mahkota pada kepalaku.

37Aku akan memberitahu Allah segala yang telah kulakukan, dan menghadap Dia dengan yakin dan kepala terangkat.

38Jika aku telah mencuri tanah yang aku bajak, dan aku telah merampasnya daripada pemilik yang sebenar,

39jika aku makan hasil tanahnya dan membiarkan petani yang menanamnya kelaparan dan merana,

40biarlah yang tumbuh di situ, lalang dan duri, dan bukan gandum ataupun barli." Sekianlah kata-kata Ayub.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ayub 31 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel