Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Ayub 34 >> 

1Kamu semua begitu bijak, begitu pandai; sekarang dengarlah kata-kataku ini.

2(34:1)

3Orang tahu makanan yang sedap ketika merasanya; dan kata-kata yang bijak apabila mendengarnya.

4Persoalan ini harus kita periksa, lalu kita putuskan bersama-sama.

5Ayub berkata, ‘Aku tidak bersalah, tetapi Allah tidak memberikan keadilan kepadaku.

6Aku dianggap berdusta, kerana mengatakan aku benar. Aku cedera parah, tetapi aku tidak bersalah.’

7Pernahkah kamu melihat orang seperti Ayub ini? Dia menghina Allah berkali-kali.

8Dia gemar akan orang jahat sebagai teman, dan orang durjana sebagai kawan.

9Dia berkata bahawa tiada gunanya diperkenankan Allah.

10Hai orang pandai, dengarlah! Adakah Allah Yang Maha Kuasa melakukan hal yang salah?

11Dia membalas manusia setimpal dengan perbuatan mereka dan memperlakukan mereka dengan sepatutnya.

12Allah Yang Maha Kuasa tidak melakukan kejahatan; semua orang diberikan-Nya keadilan.

13Adakah Allah mendapatkan kuasa-Nya daripada sesiapa? Adakah sesiapa yang menugaskan Dia untuk menguasai dunia?

14Jika Allah mencabut nyawa manusia, dan mengambil kembali nafas hidup mereka,

15maka matilah semua orang yang bernyawa, dan manusia menjadi debu semula.

16Jika kamu arif, perhatikanlah, pasanglah telinga dan dengarlah.

17Jika Allah membenci keadilan, Dia tidak patut memerintah. Adakah kamu menyalahkan Allah yang adil dan perkasa?

18Allah menyalahkan pemerintah dan raja, apabila mereka berbuat jahat dan derhaka.

19Allah menciptakan setiap insan; Dia tidak menyebelahi raja, atau mengutamakan yang kaya daripada yang miskin.

20Orang mungkin mati pada waktu malam dengan tiba-tiba. Allah menjatuhkan hukuman kepada manusia dan mereka pun binasa; Dia membunuh yang perkasa dengan mudah sahaja.

21Dia memperhatikan kelakuan manusia, dan meneliti semua langkah mereka.

22Tiada kegelapan yang cukup gelapnya untuk menyembunyikan orang berdosa.

23Allah tidak perlu menentukan masa untuk mengadili manusia.

24Dia tidak perlu menyelidiki dan menyiasat penguasa sebelum memecat mereka, dan mengangkat pengganti mereka.

25Kerana Dia tahu apa yang dilakukan mereka, Dia menggulingkan mereka pada waktu malam dan memusnahkan mereka.

26Dia menghukum orang berdosa di hadapan orang ramai,

27kerana mereka tidak lagi mengikut Dia; dan mereka tidak mengendahkan segala perintah-Nya.

28Mereka menyebabkan orang miskin berseru kepada Allah, dan Allah mendengar seruan mereka.

29Jika Allah membuat keputusan untuk diam sahaja, tiada sesiapa pun dapat mengecam Dia. Jika Dia menyembunyikan muka-Nya, tidak sesiapa pun dapat menemukan Dia.

30Maka bangsa-bangsa tidak berdaya untuk menghalang penindas daripada menguasai mereka.

31Ayub, sudahkah engkau mengakui kesalahanmu kepada Allah? Sudahkah engkau berjanji tidak akan berdosa semula?

32Sudahkah engkau meminta Allah menunjukkan kesalahan yang tidak engkau ketahui? Sudahkah engkau bersetuju menghentikan kejahatan itu?

33Oleh sebab engkau tidak menyetujui perbuatan Allah, engkau tidak boleh mengharapkan Dia mengabulkan kehendakmu. Engkaulah yang harus membuat keputusan, bukan aku; beritahulah kami pendapatmu.

34Setiap orang yang berakal pasti akan bersetuju; setiap orang bijak yang mendengar aku akan berkata

35bahawa Ayub bercakap tanpa mengerti, dan bahawa kata-katanya tidak mengandung erti.

36Jika ucapan Ayub ditinjau dengan cermat, akan nyatalah bahawa dia berkata-kata seperti orang jahat.

37Bukan sahaja dia berdosa, malah dia memberontak; dia mengolok-olokkan Allah di hadapan kita.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ayub 34 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel