Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Bilangan 14 >> 

Orang Israel Bersungut

1Sepanjang malam orang Israel menangis kerana cemas.

2Mereka bersungut kepada Musa dan Harun, serta berkata, "Lebih baik kami mati di Mesir atau di padang gurun ini!

3Mengapakah TUHAN hendak membawa kami ke tanah itu? Kami akan mati dalam peperangan, dan anak isteri kami akan ditawan. Tidakkah lebih baik kami balik ke Mesir?"

4Oleh itu mereka bercakap kepada satu sama lain, "Marilah kita pilih seorang pemimpin, lalu balik ke Mesir!"

5Kemudian Musa dan Harun bersujud di hadapan semua orang itu.

6Yosua anak Nun dan Kaleb anak Yefune, dua orang antara pengintip itu, mengoyakkan pakaian mereka sebagai tanda bersedih.

7Mereka berkata kepada umat itu, "Tanah yang kami jelajahi itu sangat baik.

8Jika TUHAN berkenan kepada kita, Dia akan membawa kita ke sana dan memberi kita tanah yang kaya dan subur itu.

9Janganlah berontak terhadap TUHAN, dan janganlah takut kepada penduduk tanah itu. Kita akan mengalahkan mereka dengan mudah. TUHAN menyertai kita, dan Dia sudah mengalahkan pelindung mereka; oleh itu janganlah takut."

10Segenap umat Israel mengancam untuk merejam Yosua dan Kaleb sampai mati, tetapi tiba-tiba umat itu nampak cahaya hadirat TUHAN muncul di atas Khemah-Nya.

Musa Berdoa untuk Umat Israel

11TUHAN berfirman kepada Musa, "Berapa lama lagi umat ini melawan Aku? Sampai bilakah mereka tidak mahu percaya kepada-Ku, walaupun Aku sudah mengadakan begitu banyak mukjizat di kalangan mereka?

12Aku akan mendatangkan wabak dan membinasakan mereka, tetapi Aku akan menjadikan engkau bapa suatu bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada mereka!"

13Tetapi Musa berkata kepada TUHAN, "Ya TUHAN, Engkaulah yang sudah membawa umat ini keluar dari Mesir dengan kuasa-Mu. Apabila orang Mesir mendengar apa yang Engkau lakukan kepada umat-Mu,

14mereka akan memberitahukan hal itu kepada penduduk tanah ini, sedangkan mereka sudah mendengar bahawa Engkau, TUHAN, menyertai kami. Mereka sudah mendengar bahawa Engkau menampakkan diri apabila awan-Mu berhenti di atas kami, dan bahawa Engkau berjalan di hadapan kami dalam tiang awan pada siang hari, dan dalam tiang api pada malam hari.

15Jika Engkau membunuh segenap umat-Mu sekarang, bangsa-bangsa yang pernah mendengar tentang kemasyhuran-Mu akan berkata

16bahawa Engkau membunuh umat-Mu di padang gurun kerana Engkau tidak sanggup membawa mereka ke tanah yang sudah Engkau janjikan kepada mereka.

17Oleh itu, ya TUHAN, sekarang aku mohon, tunjukkanlah kuasa-Mu dan lakukanlah apa yang Engkau janjikan ketika Engkau berfirman,

18‘Aku, TUHAN, tidak cepat murka. Aku menunjukkan kasih dan kesetiaan-Ku yang besar. Aku mengampuni orang yang berdosa dan yang melawan Aku. Biarpun begitu, dosa ibu bapa akan Kubalaskan kepada anak cucu mereka, sampai kepada generasi yang ketiga dan keempat.’

19Oleh itu ya TUHAN, ampunkanlah dosa umat ini, kerana kasih-Mu besar dan tidak berubah, sebagaimana Engkau telah mengampuni mereka sejak mereka meninggalkan Mesir."

20TUHAN menjawab, "Aku akan mengampuni mereka menurut permintaanmu.

21Tetapi Aku berjanji demi diri-Ku dan demi Aku yang hidup dan berkuasa di bumi ini,

22bahawa tiada seorang pun antara umat ini akan pergi ke tanah itu. Mereka sudah nampak cahaya hadirat-Ku dan mukjizat yang Aku lakukan di Mesir dan di padang gurun, namun mereka terus-menerus mencubai Aku, dan tidak mahu mentaati Aku.

23Mereka tidak sekali-kali akan pergi ke tanah yang Aku janjikan kepada nenek moyang mereka. Tidak seorang pun yang melawan Aku akan pergi ke sana.

24Tetapi sikap Kaleb, hamba-Ku itu lain; dia tetap setia kepada-Ku. Oleh itu Aku akan membawa dia ke tanah yang dijelajahinya. Keturunannya akan memiliki tanah

25yang kawasan lembahnya diduduki oleh orang Amalek dan orang Kanaan pada masa ini. Esok kamu harus berpatah balik dan pergi ke padang gurun ke arah Teluk Akaba."

TUHAN Menghukum Umat Israel kerana Bersungut

26TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun,

27"Sampai bilakah umat yang jahat ini bersungut terhadap Aku? Aku sudah mendengar semua sungutan mereka!

28Sekarang berilah mereka jawapan begini, ‘Aku bersumpah demi Aku yang hidup, bahawa Aku akan melakukan tepat seperti yang kamu minta. Aku, TUHAN, sudah berfirman.

29Kamu akan mati dan mayat kamu akan berselerak di seluruh padang gurun ini. Oleh sebab kamu bersungut terhadap Aku, tiada seorang pun di kalangan kamu yang berumur dua puluh tahun ke atas akan pergi ke tanah itu.

30Aku sudah berjanji membenarkan kamu tinggal di tanah itu, tetapi tidak seorang pun antara kamu akan tinggal di situ kecuali Kaleb dan Yosua.

31Kamu berkata bahawa anak-anak kamu akan ditawan, tetapi merekalah yang akan Kubawa ke tanah yang kamu tolak. Tanah itu akan menjadi tempat tinggal mereka,

32tetapi kamu akan mati di padang gurun ini.

33Anak-anak kamu akan mengembara di padang gurun selama empat puluh tahun. Kerana kamu tidak setia, anak-anak kamu itu akan sengsara, sehingga kamu semua mati.

34Kamu akan menanggung akibat dosa kamu selama empat puluh tahun, satu tahun untuk setiap hari daripada empat puluh hari yang kamu gunakan untuk menjelajahi tanah itu. Barulah kamu tahu bagaimana rasanya apabila Aku menentang kamu.

35Aku bersumpah akan melakukan hal ini kepada kamu, umat jahat yang berkomplot untuk melawan Aku. Kamu semua akan mati di padang gurun ini. Aku, TUHAN telah berfirman.’"

36Orang yang diutus oleh Musa untuk menjelajahi tanah itu memberikan laporan yang tidak benar, dan hal itu menyebabkan umat Israel bersungut terhadap TUHAN. Oleh itu TUHAN menghukum mereka dengan penyakit, lalu mereka meninggal.

37(14:36)

38Hanya Yosua dan Kaleb yang masih hidup di kalangan dua belas orang pengintip itu.

Percubaan Pertama untuk Menyerang Tanah itu

39Setelah Musa menyampaikan firman TUHAN itu kepada umat Israel, mereka meratap dengan pilu.

40Keesokan harinya, awal pagi, mereka bersiap-siap untuk menyerang daerah berbukit. Mereka berkata, "Kami mengaku telah berbuat dosa. Tetapi sekarang kami sudah bersiap untuk pergi ke tempat yang ditunjukkan TUHAN."

41Tetapi Musa menjawab, "Mengapakah kamu melawan perintah TUHAN sekarang? Kamu tidak akan berjaya!

42Jangan pergi, kerana TUHAN tidak menyertai kamu. Kamu akan dikalahkan oleh musuh.

43Apabila kamu menghadapi orang Amalek dan orang Kanaan, kamu akan mati dalam pertempuran. TUHAN tidak akan menyertai kamu kerana kamu tidak mahu taat kepada-Nya."

44Tetapi orang Israel masih juga nekad pergi ke daerah berbukit, walaupun Tabut Perjanjian TUHAN dan Musa tidak meninggalkan perkhemahan.

45Kemudian orang Amalek dan orang Kanaan yang tinggal di situ menyerang mereka lalu mengalahkan mereka, dan mengejar mereka sampai ke Horma.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Bilangan 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel